KAGAWA (dua dari kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
KAGAWA (dua dari kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Minggu malang Pierre-Emerick Aubameyang berterusan apabila dia terlepas sepakan penalti namun Borussia Dortmund tetap menang 2-1 di Augsburg awal pagi tadi untuk kekal sebagai pendahulu Bundesliga.

Bintang serangan dari Gabon, Aubameyang menyusuli persembahan buruknya ketika kalah aksi Liga Juara-Juara 1-3 di laman sendiri kepada Real Madrid Selasa lalu dengan menyepak lemah ke arah penjaga gol Augsburg, Marwin Hitz 10 minit sebelum tamat.

Di sebalik kegagalan penjaring gol terbanyak Bundesliga musim lalu itu, Dortmund masih mampu menang menerusi gol Andriy Yarmolenko dan Shinji Kagawa dari Jepun meletakkan Dortmund lima mata di puncak.

FRITZ memerhati VAR sebelum menghadiahkan penalti kepada Dortmund. FOTO/AFP
FRITZ memerhati VAR sebelum menghadiahkan penalti kepada Dortmund. FOTO/AFP

Ia penalti kontroversi dihadiahkan oleh video pembantu pengadil (VAR) selepas pengadil Marco Fritz terlepas kekasaran dilakukan Koo Ja Cheol, bekas kapten Korea Selatan ke atas Lukasz Piszczek.

Sebelum itu VAR gagal menghadiahkan penalti kepada Augsburg apabila pertahanan Dortmund, Sokratis jelas menarik jersi pemain tengah Brazil, Caiuby.

Dortmund mendahului selepas hanya empat minit menerusi pemain sayap Yarmolenko sebelum Caiuby menanduk masuk gol penyamaan.

Kagawa menyumbat apa yang terbukti menjadi gol kemenangan pada minit ke-23 dengan satu gol impian apabila dia melambungkan bola melepasi Hitz berikutan gerakan menarik Aubameyang dan Yarmolenko.

“Kami gembira dengan keputusan ini, tapi ia persembahan terburuk sejak saya menjadi jurulatih Dortmund,” ujar bos Borussia, Peter Bosz.

“Kami tidak bermain dengan bagus malah ia lebih teruk selepas rehat.

“Setiap pasukan ada kira-kira dua perlawanan sebegitu setiap musim dan biasanya mereka kalah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 10:53 AM