Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor P Maniam berdepan situasi kritikal untuk menurunkan barisan terbaiknya bagi dua perlawanan terakhir menentang Sarawak dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) berehat selama lebih sebulan sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau berkata, pasukannya dihimpit dengan masalah kecederaan pemain membabitkan pemain tonggak akibat mengharungi jadual perlawanan padat bulan lalu.

“Rufino (Segovia) (gambar) dan Raimi Mohd Nor cedera, Amri (Yahyah) dan Andik Vermansyah juga mungkin saya akan rehatkan untuk perlawanan dengan Sarawak esok (hari ini) kerana belum cergas sepenuhnya begitu juga dengan Forkey Doe yang mengadu agak kepenatan.

“Jadi saya tiada pilihan selain menurunkan pemain lain untuk perlawanan dengan Sarawak dan berharap pemain yang direhatkan akan dapat beraksi menentang Johor DT.

“Memang saya 100 peratus lega apabila selepas dua perlawanan ini, saingan liga akan berehat agak panjang jadi ia memberi ruang untuk pemain pulih daripada kecederaan dan kembali cergas,” katanya.

Perlawanan lebih penting pastinya pertembungan dengan Johor DT yang bakal menentukan kejuaraan Liga Super buat kelab Harimau Selatan itu andai berjaya meraih tiga mata.

“Bagi saya setiap perlawanan penting, tidak kira kami sudah layak atau tidak, perlawanan dengan Sarawak kami tetap perlu berikan yang terbaik biarpun saya akan menurunkan ramai pemain muda dan selepas itu baru kami akan fikirkan mengenai perlawanan dengan Johor DT,” kata Maniam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:19 PM