PEMAIN JDT bergambar bersama penyokong selepas tamat perlawanan menentang Selangor. FOTO Luqman Hakim Zubir
PEMAIN JDT bergambar bersama penyokong selepas tamat perlawanan menentang Selangor. FOTO Luqman Hakim Zubir
Aziman Rosdi


Selayang: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tewas 1-2 di tangan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tetapi kekalahan itu tidak menghalang Harimau Selatan untuk dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut apabila pencabar terdekat, Kedah turut kecewa selepas tumpas dengan jumlah jaringan serupa di Kuantan.

Berbaki tiga perlawanan, Johor DT tidak lagi boleh digugat selepas mengumpul 45 mata manakala Kedah yang tewas di tangan Pahang, ketinggalan 11 mata di belakang.

Dalam perlawanan malam tadi, Johor DT yang dibimbing Ulisses Morais menurunkan skuad terkuatnya manakala Selangor terpaksa mengetepikan penyerang Rufino Segovia akibat kecederaan.

Bagaimanapun, Red Giants hampir di depan pada minit ke-26 namun jaringan Syahmi Safari dibatalkan pengadil perlawanan Khirul Azuan Kidam kerana kekasaran ke atas penjaga gol Johor DT Izham Tarmizi Roslan.

Kedudukan berubah di minit ke-39 apabila pemain kacukan kelahiran Sepanyol, Natxo Insa menjaringkan gol pertama pasukan pelawat menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti.

Ketinggalan satu gol, anak buah P Maniam cuba bangkit pada separuh masa kedua bermula dengan sepakan deras penyerang Mohd Amri Yahyah yang ditepis keluar Izham.

Namun, hasil lontaran ke dalam pantas Syahmi berjaya digunakan sebaiknya Amri untuk menyumbat gol penyamaan pada minit ke-59.

Kemasukan pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah membawa keceriaan buat penyokong Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan di minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 4:04 AM