PEMAIN dan pegawai Mexico meraikan kejayaan menjuarai Piala Emas Concacaf di Chicago, Illinois, awal pagi tadi. — FOTO AFP
PEMAIN dan pegawai Mexico meraikan kejayaan menjuarai Piala Emas Concacaf di Chicago, Illinois, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

JONATHAN dos Santos menyumbat gol tunggal membantu Mexico mengatasi Amerika Syarikat 1-0 untuk memenangi Piala Emas Concacaf dengan rekod lapan kali di Soldier Field, Chicago, awal pagi tadi.

Dos Santos, pemain tengah Los Angeles Galaxy, merembat masuk pada minit ke-73 untuk memastikan kemenangan antara dua musuh utama bola sepak Amerika Utara di depan 62,493 penonton.

Kemenangan itu membolehkan Mexico meraih kejuaraan Piala Emas kali kelapan sejak kejohanan bagi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) itu dipertandingkan semula pada 1991.

Namun ia kekalahan mengecewakan buat pasukan lelaki AS, yang berharap untuk melengkapkan kejayaan berganda negara itu selepas pasukan wanita AS memenangi Piala Dunia di Perancis, lewat malam tadi.

DOS Santos (tengah) menjaringkan gol tunggal kemenangan Mexico di Soldier Field. — FOTO AFP
DOS Santos (tengah) menjaringkan gol tunggal kemenangan Mexico di Soldier Field. — FOTO AFP

Gol kemenangan Dos Santos hasil satu gerakan mengagumkan dalam perlawanan sengit yang menyaksikan AS dihukum kerana gagal menggunakan beberapa peluang terdahulu.

Gol penentuan itu hadir selepas satu larian pantas di sayap kanan oleh pemain Mexico, Rodolfo Pizarro.

Perancang tengah Monterrey itu mengumpan kepada penyerang Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez, yang menghasilkan satu kuisan tumit ke kaki Dos Santos yang kemudian melencongkan bola ke penjuru gol melepasi penjaga gol AS, Zack Steffen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 12:35 PM