Vingada (kanan) bersama pembantunya Tan Cheng Hoe (kiri) selepas sidang media. FOTO STR/OWEE AH CHUN
Vingada (kanan) bersama pembantunya Tan Cheng Hoe (kiri) selepas sidang media. FOTO STR/OWEE AH CHUN
Aziman Rosdi


SKUAD Harimau Malaya bakal mengharungi tiga aksi persahabatan antarabangsa sebagai persediaan menentang Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September depan.

Selepas tewas 1-2 dengan Lubnan pada kempen kelayakan Kumpulan B di Larkin 13 Jun lalu, anak buah jurulatih Nelo Vingada akan kembali beraksi dalam aksi persahabatan dengan Syria di Melaka pada 22 Ogos, bertemu Macau di Macau (25 Ogos) dan Myanmar di Yangon (29 Ogos).

Menurut pengendali dari Portugal itu, tiga aksi pemanas badan itu adalah medan terbaik untuk beliau mempersiapkan pasukan berbanding ketika menentang Lubnan.

"Sebelum ini menentang Lubnan, saya hanya mempunyai masa seminggu untuk mengumpul kesemua pemain, kali ini saya mempunyai lebih masa untuk melatih pasukan.

"Kita pernah menentang Macau dalam aksi persahabatan di Melaka tahun lalu dan kita seri 0-0, jadi kita boleh buat perbandingan mengenai prestasi pasukan sekarang.

"Dan pada saya Macau dah Hong Kong tidak jauh berbeza jadi ia perlawanan yang baik untuk pasukan sebelum perlawanan kedua kelayakan September depan," kata Vingada dalam sidang media hari ini.

Sesi latihan pusat skuad kebangsaan akan bermula pada 14 Ogos ini dengan Vingada merancang untuk memanggil 24 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:03 PM