NOR Azam (tengah) dapat kepercayaan Vingada untuk bersama skuad Harimau Malaya. FOTO Asyraf Hamzah
NOR Azam (tengah) dapat kepercayaan Vingada untuk bersama skuad Harimau Malaya. FOTO Asyraf Hamzah
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Pemain tengah, Nor Azam Abdul Azih menganggap kehadiran enam pemain skuad bawah 22 tahun negara (B-22) bersama skuad Harimau Malaya bukan untuk membuktikan siapa lebih bagus.

Sebaliknya, dia percaya semua pemain yang dipanggil termasuk pemain muda perlu bekerjasama memastikan kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, 10 Oktober ini.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih, Nelo Vingada kerana memberi peluang sekali lagi kepada saya mewakili skuad kebangsaan. Ada beberapa lagi pemain daripada skuad bawah 22 tahun turut bersama kali ini, jadi ini satu petanda positif buat kami.

“Bukan saja dari segi keserasian, tapi pemain muda bersedia buat kerja untuk pasukan. Ini bukan persaingan untuk buktikan pemain muda yang mana lebih bagus atau tidak, saya fikir semua pemain tak kira muda atau senior ada tanggung jawab masing-masing dalam menentukan kejayaan pasukan,” katanya.

Nama Azam melonjak naik selepas membantu skuad B-22 kendalian Datuk Ong Kim Swee merangkul pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu.

Selain pemain Pahang berusia 22 tahun itu, turut mendapat kepercayaan Vingada adalah Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Safawi Rasid (JDT), Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang).

Bagi peminat tempatan, ada yang melihat gandingan Azam dan kapten Safiq Rahim di bahagian tengah buat kali pertama adalah sesuatu yang menarik untuk dinantikan.

“Sudah pasti saya mahu bermain dengan Safiq. Dia pemain senior dan banyak yang saya boleh belajar daripadanya. Saya pernah dipanggil bersama skuad kebangsaan Jun lalu tapi saya tidak diturunkan menentang Lubnan jadi saya harap kali ini dapat diberi peluang bermain,” kata Azam.

Anak buah Vingada akan memulakan latihan pusat, Rabu ini selepas aksi menentang Korea Utara dalam Kumpulan B pada 5 Oktober ditangguhkan selepas mendapat larangan ke Pyongyang oleh Kementerian Luar Negeri.

Pada pertemuan di Melaka pada 5 September lalu, Malaysia hanya seri 1-1 dengan Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 7:03 AM