MARIN (tengah) ledak gol untuk Mexico.
MARIN (tengah) ledak gol untuk Mexico.
AFP

San Diego, AS: Mexico memulakan kempen mempertahankan Piala Emas apabila mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas El Salvador pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan C semalam.

Barisan pemain muda Mexico yang menyasarkan untuk memenangi piala berprestij itu buat kali kelapan bermula baik menerusi jaringan Hedgardo Marin, Elias Hernandez dan Orbelin Pineda.

Mexico beraksi tanpa beberapa pemain utama yang beraksi pada Piala Konfederasi di Russia bulan lalu.

Pengurus pasukan Juan Carlos Osorio hanya dapat menyaksikan perlawanan itu dari ruang hospitaliti di Stadium Qualcomm selepas dikenakan hukuman penggantungan enam perlawanan kerana berang dengan pegawai pada Piala Konfederasi.

Pembantunya Luis Pompilio Paez diberi tanggungjawab membimbing barisan pemain kurang berpengalaman itu ketika menentang El Salvador yang meraih gol saguhati menerusi sepakan percuma Nelson Bonilla pada minit ke-10 selepas Marin meletakkan Mexico di depan dua minit terdahulu.

Hernandez kembali meletakkan Mexico di depan sebelum rehat menerusi rembatan kencang pada minit ke-29.

Pemain gantian Orbelin Pineda mengukuhkan kedudukan Mexico dengan menyumbang gol ketiga pada minit ke-55. Gol itu hadir selepas Hernandez melakukan hantaran cantik yang kemudian disempurnakan Pineda.

“Memulakan kempen dengan kemenangan amat penting,” kata Paez.

“Kemenangan ini memberi keyakinan kepada kami dan ia lebih mudah memperbaiki kelemahan apabila mencatat kemenangan berbanding tewas.

“Kami lebih banyak bertahan pada babak pertama tapi mengubah rentak permainan selepas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 4:51 AM