IBU bapa perlu beri penjagaan lebih untuk kanak-kanak di bulan Ramadan seiring cuaca panas, kering ketika ini.(Gambar hiasan) - FOTO Arkib NSTP
IBU bapa perlu beri penjagaan lebih untuk kanak-kanak di bulan Ramadan seiring cuaca panas, kering ketika ini.(Gambar hiasan) - FOTO Arkib NSTP
Suliati Asri


Sesi persekolahan bagi sesi akademik 2024/2025 kini bermula.

Bagi murid tahun dua hingga enam, pastinya kembali ke sekolah memberikan keterujaan tersendiri kerana mereka tidak hanya kembali kepada rutin harian, tetapi dapat berjumpa kawan-kawan.

Berlainan pula dengan murid tahun satu yang baharu melangkah ke dunia persekolahan sebenar. Pastinya pelbagai reaksi dan 'drama' mencuit hari yang akan dipertontonkan.

Dalam keterujaan kembali ke sekolah, sebenarnya anak-anak ini bakal berdepan cabaran berpuasa dalam cuaca panas dan kering pada musim El Nino ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, berpuasa dalam cuaca panas itu mungkin menyebabkan mereka lebih cepat berasa lapar, letih dan dahaga.

Katanya, jika tidak dipantau dengan baik, kanak-kanak ini mungkin mengalami dehidrasi dan akan menjejaskan kesihatan dan aktiviti mereka.

"Oleh itu, ibu bapa perlu pastikan pengambilan makanan dan minuman kanak-kanak ketika berbuka dan bersahur mencukupi serta lengkap dengan semua nutrisi supaya mereka kekal cergas dan sihat bagi menjalani ibadat puasa,"katanya.

Dr Nor Faiza berkata, bagi murid baru pertama kali berpuasa atau belum biasa berpuasa penuh, ibu bapa perlu galakkan mereka berpuasa secara berperingkat.

"Untuk permulaan, mungkin mereka boleh puasa separuh hari sahaja. Ini bagi membiasakan tubuh mereka beradaptasi dengan keadaan lapar dan dahaga ketika berpuasa.

"Tingkatkan tempoh berpuasa mengikut kemampuan anak-anak," katanya.

Walaupun sedang berpuasa, murid sebenarnya boleh meneruskan aktiviti harian dan kegiatan fizikal lain seperti beriadah.

Ketika sesi persekolahan, guru perlu mainkan peranan membantu murid menghadapi cabaran berpuasa di sekolah.

Dr Nor Faiza berkata, dalam situasi ini, guru perlu peka terhadap keadaan semasa dan murid di sekolah.

WALAUPUN anak-anak berpuasa tetapi mereka masih perlu beriadah. (Gambar hiasan) - FOTO Arkib NSTP
WALAUPUN anak-anak berpuasa tetapi mereka masih perlu beriadah. (Gambar hiasan) - FOTO Arkib NSTP

PELBAGAI aktiviti dalam kelas bagi mengelak anak keletihan ketika berpuasa. (Gambar hiasan) - FOTO Arkib NSTP
PELBAGAI aktiviti dalam kelas bagi mengelak anak keletihan ketika berpuasa. (Gambar hiasan) - FOTO Arkib NSTP

MENU yang ringkas dan cukup nutrisi dapat membantu anak-anak kembali bertenaga selepas seharian berpuasa. - FOTO Pexels
MENU yang ringkas dan cukup nutrisi dapat membantu anak-anak kembali bertenaga selepas seharian berpuasa. - FOTO Pexels

"Jika melihat murid yang puasa itu terlalu lemah, guru mungkin boleh tanya sama ada dia mahu berbuka atau tidak.

"Manakala bagi murid yang terlalu aktif pula, minta mereka menghadkan pergerakan," katanya.

Pihak sekolah dan guru-guru juga boleh melaksanakan sesi pembelajaran lebih menarik dan banyakkan berinteraksi.

"Kurangkan aktiviti luar bilik darjah dan fizikal. Ia boleh digantikan dengan aktiviti ringan di dalam kelas.

"Guru juga boleh menceritakan kisah-kisah menarik dan membina motivasi sebagai sokongan kepada murid.

"Akhir sekali, beri motivasi dan semangat untuk murid meneruskan puasa serta memperbanyakan ibadah dalam bulan Ramadan ini," katanya.

Dari segi pemakanan pula, Dr Nor Faiza berkata, walaupun berpuasa keperluan nutrisi untuk tumbesaran mereka masih perlu dipenuhi.

Semasa bersahur, tidak perlu terlalu bervariasi dan cukup dengan hidangan ringkas, tetapi mengandungi semua zat makanan.

Contohnya, nasi goreng, sandwic, bubur dan mi goreng dicampur sayur-sayuran dan potongan kecil ayam.

Pada penghujung waktu bersahur, berikan anak-anak minuman yang dapat membekalkan tenaga sepanjang hari terutama ketika berada di sekolah.

Kata Dr Nor Faiza, pilihan terbaik ialah susu kerana ia mempunyai semua nutrisi diperlukan tubuh, maka ia boleh membuatkan anak berasa kenyang dan dapat bertahan dengan lebih baik.

"Susu juga memiliki indeks glisemik lebih rendah berbanding kordial, jus buah atau minuman manis yang lain.

"Pengambilan susu dapat membantu anak untuk kekal terhidrat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 7:03 AM