MEMBACA kisah teladan kepada si cilik ketika berpuasa antara aktiviti yang boleh dilakukan. FOTO Google dan Zai Karno
MEMBACA kisah teladan kepada si cilik ketika berpuasa antara aktiviti yang boleh dilakukan. FOTO Google dan Zai Karno
Hafiz Ithnin

DIAM tak diam nampaknya sudah masuk Ramadan keempat. Pastinya dalam tempoh Perintah

Kawalan Pergerakan (PKP) seisi keluarga dapat bersama-sama menikmati bulan penuh keberkatan ini.

Bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih di prasekolah khasnya, pasti ada yang melihat ragam mereka berpuasa.

Sekiranya si cilik mula menunjukkan minat untuk turut sama berpuasa, ertinya mereka sudah bersedia untuk belajar membiasakan diri menahan lapar dan dahaga sepanjang tempoh ibadah itu.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, jika anak-anak kerap kali bertanya mengenai ibadah berpuasa, ibu bapa perlu memberikan gambaran yang sebenarnya mengenainya secara jujur iaitu menceritakan mengenai keperluan yang perlu dihadapi mereka yang berpuasa.

Beliau berkata, dalam masa sama jelaskan kepada si cilik nikmat berpuasa meskipun perlu menahan diri daripada makan, minum, tidak boleh meninggalkan solat serta menjaga perlakuan sepanjang berpuasa.

"Kita kena jelaskan kepada mereka seperti berpuasa ini pada awalnya mungkin akan terasa sedikit penat jika baru mahu mulakannya, tetapi dengan latihan setiap hari akan menjadikan adik sudah biasa.

"Maklumkan juga ganjaran yang diberikan kepada orang yang berpuasa menurut agama dan selitkan kebaikan berpuasa secara saintifik seperti dapat merehatkan usus yang bekerja setiap hari. Jadi mereka dapat memahami kenikmatan di sebalik cabaran dilaluinya," katanya.

MEMINTA anak untuk menulis amalan baik yang mereka ingin lakukan ketika berpuasa. FOTO Google dan Zai Karno
MEMINTA anak untuk menulis amalan baik yang mereka ingin lakukan ketika berpuasa. FOTO Google dan Zai Karno

Dr Putri Afzan Maria berkata, jika anak sudah memulakan harinya dengan berpuasa sentiasa berikan perhatian penuh kerana si kecil yang baru belajar berpuasa rungutan mengenai lapar dan haus adalah perkara biasa, tetapi jangan abaikan rungutan itu.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan kesihatan diri terutama mental mereka tidak terjejas dengan percubaan untuk berpuasa. Ia juga mengelakkan si kecil merasa trauma.

"Jika mereka berkali-kali memaklumkan sudah tidak tahan untuk meneruskan berpuasa, tidak mengapa berikan mereka peluang untuk berbuka sahaja kerana ia adalah kali pertama mereka baru belajar.

"Untuk menunjukkan prestasi harian mereka berpuasa, ibu bapa boleh membuat buku perkembangan setiap hari yang si kecil perlu tuliskan sendiri. Contohnya, hari pertama suku hari, kedua setengah hari dan seterusnya. Jadi mereka dapat melihat prestasi dari masa ke masa," katanya.

Tambahnya, jika mereka melihat prestasi diri itu, sekali gus dapat memberi semangat kepada si cilik untuk berusaha menambah bilangan masa untuk berpuasa pada hari yang mendatang.

Katanya, ibu bapa juga boleh wujudkan satu sudut Ramadan yang dihias cantik dengan pelbagai aksesori.

Aktiviti mendekorasi sudut itu boleh dilakukan bersama si cilik dan mengambil kira ideanya untuk meletakkan elemen yang disukai.

"Dengan adanya sudut Ramadan dapat memberi semangat kepada si kecil mengenai kedatangan bulan penuh berkat itu.

Jadi mereka boleh merasakan aura keseronokan di dalam rumah kerana terdapat elemen khas diwujudkan ahli keluarga sempena menyambutnya.

"Ketika mendekorasi ruang kediaman kita juga boleh minta pandangan mereka mungkin warna pilihannya kerana dari segi psikologi secara tidak langsung menjadikan anak-anak rasa dihargai dan tidak dikecualikan menikmati Ramadan walaupun kita tahu kemungkinan untuk mereka tidak mampu berpuasa itu ada," katanya.

Katanya, ibu bapa juga boleh sediakan buku catatan amalan yang baik untuk mereka tulis dan perlu lakukan ketika berpuasa supaya ia menjadi

seakan aku janji kepada diri sendiri.

SUDUT Ramadan boleh memberi aura kepada kanak-kanak untuk bersama-sama berpuasa. FOTO Google dan Zai Karno
SUDUT Ramadan boleh memberi aura kepada kanak-kanak untuk bersama-sama berpuasa. FOTO Google dan Zai Karno

"Seperti yang dikatakan pada awalnya, ibu bapa perlu menerapkan elemen penting di dalam ibadah itu yang bukan sahaja menahan diri untuk tidak makan dan minum, malah menjaga peribadi diri.

"Contohnya, kita tanyakan kepada anak mengenai amalan baik apa yang mereka ingin capai pada hari itu dan biarkan mereka tuliskan sendiri tanpa ada campur tangan ibu bapa.

"Jadi sebelum tidur, kita tanya adakah mereka sudah lakukan? Jika diamalkan seperti ditulisnya berikan penghargaan dalam bentuk kata-kata atau gerak fizikal seperti memeluk mereka. Jika tidak dilakukan, berikan kata-kata semangat dan jangan merendahkan kemampuan si kecil," katanya.

Tambahnya lagi, ibu bapa juga boleh membaca kisah meraikan Ramadan yang juga mengisahkan perkara diinsafi seperti perjalanan hidup nabi dan rasul.

"Terakhir, dalam tempoh PKP ini ajak mereka bersama-sama menyediakan hidangan untuk berbuka dan berikan pujian jika si kecil ada membantu menyiapkan menu tertentu bersama supaya mereka rasa dihargai dan ingin terus merasai nikmat Ramadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 6:30 AM