ANTARA peserta yang menyertai program National Plastic Busters Beach-River-Park Clean Up 2023 di Pantai Bukit Keluang, Besut.
ANTARA peserta yang menyertai program National Plastic Busters Beach-River-Park Clean Up 2023 di Pantai Bukit Keluang, Besut.
Nurul Fatihah Sulaini

Seramai 3,330 ahli Pandu Puteri seluruh Terengganu menyerbu sembilan pantai dan sebuah taman awam waterfront untuk mengutip sampah yang dijalankan serentak dalam tempoh tiga jam.

Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Cawangan Terengganu, Mariah Ismail berkata, aktiviti berkenaan dilaksanakan di setiap daerah dan semua negeri.

Katanya, lokasi daerah Kemaman membabitkan Pantai Kuala Kemaman dan Pantai Teluk Mak Nik seramai 1,222 peserta, daerah Besut di Pantai Bukit Keluang seramai 412 orang.

Di Daerah Besut membabitkan peserta sekolah rendah seramai 134 orang, pelajar sekolah menengah seramai 210 dan bakinya guru pengiring.

"Sementara di Daerah Kuala Terengganu iaitu di Pantai Batu Buruk pula seramai 400 orang, Daerah Marang di Pantai Pulau Kekabu seramai 304 orang dan Daerah Dungun di Pantai Teluk Bidara seramai 310 orang.

"Bagi Daerah Kuala Nerus di Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Pulau Redang adalah seramai 295 orang, Daerah Setiu di Pantai Penarik seramai 263 orang serta Daerah Hulu Terengganu di Waterfront Kuala Berang seramai 124 orang," katanya.

ISMA Insyirah
ISMA Insyirah

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program National Plastic Busters Beach-River-Park Clean Up 2023 di Pantai Bukit Keluang, baru-baru ini.

Hadir merasmikan program Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Rosli Abdul Rahman.

Mariah berkata, dalam tempoh tiga jam bermula kira-kira jam 7 pagi sehingga 10 pagi hampir 400 kilogram sampah berjaya dikutip di Pantai Bukit Keluang.

"Program ini membabitkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah termasuk pelajar pra universiti seluruh negeri.

"Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk kesedaran berkenaan bahaya penggunaan plastik terhadap alam sekitar serta memastikan mereka mengambil berat aspek kebersihan kawasan tumpuan awam seperti pantai, sungai dan taman reakreasi," katanya.

Katanya, penggunaan bekas air sendiri menggantikan botol mineral serta bekas polistren kepada kertas pembungkus makanan digunakan untuk mengurangkan pencemaran alam.

"Sementara itu, kami turut menjemput pengasas rumah botol, Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, 79, untuk memberikan motivasi kepada peserta serta turut menyertai program," katanya.

Salah seorang peserta, Nur Afeeya Izzatul Darwisha Shariman, 10, iaitu murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah berkata, dia seronok menyertai aktiviti itu kerana dapat membantu membersihkan pantai.

Rakannya, Isma Insyirah Ismadi, 10, berkata, aktiviti itu dapat mendidik mereka lebih menghargai alam sekitar dan meningkatkan kesedaran tidak membuang sampah sesuka hati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 6:20 AM