SERAMAI 100 sukarelawan UMP Kilau yang menyertai program Mobiliti Antarabangsa Kembara UMP 21@Kampung Tammalang Thailand.
SERAMAI 100 sukarelawan UMP Kilau yang menyertai program Mobiliti Antarabangsa Kembara UMP 21@Kampung Tammalang Thailand.
Suliati Asri


SUKARELAWAN Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kilau yang membabitkan pelajar dan staf berbakti di bumi Tammalang, Thailand menerusi program Mobiliti Antarabangsa Kembara UMP 21@Kampung Tammalang Thailand, baru-baru ini.

Bertemakan 'Merapatkan Budaya, Membina Komuniti', program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan dan memperkasakan pelajar di samping meningkatkan pembangunan sahsiah diri dalam menyantuni budaya masyarakat dalam dan luar negara.

UMP mempunyai hubungan erat dengan penduduk yang terjalin sejak 2012 yang menjadikan nama UMP cukup sinonim dengan komuniti Kampung Tammalang.

Namun, disebabkan pandemik COVID-19, aktiviti kesukarelawanan ini terpaksa ditangguhkan.

Justeru, program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang disertai 100 pelajar dan staf daripada pelbagai latar belakang, jabatan dan fakulti, bersatu hati berkampung selama dua hari dalam menjalankan aktiviti bersama keluarga angkat masing-masing.

Lebih bermakna sukarelawan UMP Kilau ini turut menyempurnakan ibadah korban dan akikah dengan menyembelih 15 ekor kambing dan dua ekor lembu hasil sumbangan alumni dan warga UMP serta orang ramai.

Ahli Lembaga Pengarah UMP Madyasir Ahmad Basir menzahirkan rasa syukur dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti itu.

"Banyak perubahan yang dapat dilihat impak daripada kunjungan warga UMP ke sini sejak pertama kali.

"Dari sudut sosioekonomi, penerapan unsur teknologi, bimbingan teknikal dan vokasional sehinggalah kerja-kerja pembaikan yang dibuat mengubah demografi penduduk," katanya selepas merasmikan program ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr Rashidi Abbas, Timbalan Ketua Daerah Satun, Suthiwut Songsawat dan Ketua Eksekutif Pengurusan Organisasi Tammalang, Mamat Long Kunan.

Madyasir berkata, menerusi kunjungan kali ini, delegasi UMP memfokuskan kepada aktiviti pemasangan lampu solar di jalan sekitar sekolah, pembaikan sekolah agama dengan aktiviti mengecat dan memasang papan tulis (whiteboard).

"Kita juga mengadakan gotong-royong memasak kenduri rakyat serta aktiviti kerohanian seperti menyemak bacaan Surah al-Fatihah serta ceramah agama yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMP.

"Kami amat menghargai pengorbanan sukarelawan pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu masyarakat sini walaupun minggu peperiksaan semakin hampir.

"Ciri-ciri pengorbanan inilah yang kita ingin terapkan dalam diri sukarelawan Kilau UMP untuk memperkasakan mahasiswa," ujarnya.

"Terima kasih juga diucapkan kepada RHB Bank, Yayasan Taqwa dan Murs Venture Sdn Bhd atas sumbangan dalam menjayakan program kali ini," tambahnya.

Sementara itu, Suthiwut berterima kasih kepada UMP yang sudi kembali semula mengadakan program di Kampung Tammalang yang masuk kali ke-7.

"Banyak perkembangan yang UMP lakukan di kampung ini dan memberi impak yang positif kepada masyarakat kampung.

"Kami juga berbangga apabila terdapat anak angkat yang masih berhubung dengan keluarga di sini. Malahan, mereka juga turut menyumbang dalam membantu meringankan beban keluarga angkat mereka di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 6:30 AM