SUKARELAWAN UUM mengajar Bahasa Inggeris
SUKARELAWAN UUM mengajar Bahasa Inggeris
Fazurawati Che Lah


SESIAPA pun tidak menafikan budaya membaca antara kunci kecemerlangan dan mampu mengubah corak kehidupan seseorang.

Apatah lagi melalui pembacaanlah pelbagai ilmu ditimba khususnya insan bergelar pelajar.

Dalam mendepani cabaran kecanggihan teknologi, budaya membaca seharusnya terus disemai kepada pelbagai lapisan usia. Tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa.

Lantas, 36 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah mengambil inisiatif dengan mengadakan aktiviti bermanfaat yang membabitkan masyarakat di negara jiran itu.

Ia membabitkan gotong-royong membaik pulih perpustakaan mini di Perkampungan Tammalang, Satun, Thailand sempena program Ilmu Tautan Kasih yang diadakan baru-baru ini.

Pengarah program, Behoney Low Lee Tong berkata, sebanyak 2,927 buku kanak-kanak pelbagai bahasa yang disumbangkan Perpustakaan Negara, perpustakaan awam dan beberapa sekolah yang diserahkan kepada pihak sekolah agama perkampungan itu.

Katanya, program Ilmu Tautan Kasih anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM itu diadakan selama tiga hari dua malam.

MAHASISWA bertungkus-lumus memasang papan tanda
MAHASISWA bertungkus-lumus memasang papan tanda

“Sepanjang program ini, kami ditempatkan bersama 16 keluarga angkat di kampung berkenaan.

“Idea untuk melengkapkan bahan bacaan di sekolah ini adalah hasil maklumat yang diperoleh daripada rakan yang pernah menganjurkan program kemasyarakatan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Daerah Satun, Sobri Matman ketika merasmikan program Ilmu Tautan Kasih itu berharap dengan sumbangan buku itu bukan sahaja dapat memenuhi keperluan perpustakaan mini di sekolah berkenaan malah memberi manfaat kepada pelajar melalui amalan membaca.

“Kepentingan bahan bacaan dalam sistem pendidikan sangat perlu.

“Langkah MPP UUM ini sangat baik sekali dan diharap dapat meneruskan program ini ke sekolah lain di daerah ini,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Satun, Chedtha Thaowan dan ketua kampung, Nasir Denman.

Selain penyerahan buku dan aktiviti keceriaan pustaka, pelajar sekolah agama itu turut diberikan pendedahan bahasa Inggeris yang diajar sukarelawan dan menyertai aktiviti sukaneka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:40 PM