BERGAMBAR kenangan sebaik saja selamat sampai di Thailand.
BERGAMBAR kenangan sebaik saja selamat sampai di Thailand.
PROGRAM berkhatan turut diadakan.
PROGRAM berkhatan turut diadakan.

Seramai 35 siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan program Global Student Outreach(GSO) @ Thailand 2017 di Kampung Tammalang, Satun, Thailand baru-baru ini.

Bertemakan 'With Love We Serve,' ia anjuran Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman (PEKA) 2 dan Sekretariat Generasi Siswa Sihat (GENESIS).

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Kesihatan UMP dan Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) itu memfokuskan kepada 11 subprogram yang turut menerapkan elemen 'memasyarakatkan' teknologi dalam beberapa aktiviti selama tujuh hari berkampung di situ.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata program mobiliti kesukarelawanan ini memberi peluang kepada peserta menjiwai semangat saling membantu dan berkongsi kepakaran dengan kerja lapangan yang boleh memanfaatkan komuniti setempat.

“Ia antara usaha merealisasikan hasrat UMP dalam memperkasakan agenda kesukarelawanan, universiti-komuniti dan ‘memasyarakatkan’ teknologi.

“Pada masa sama, memberi pendedahan bertaraf antarabangsa kepada peserta sekali gus peluang menimba pengalaman dan ilmu baru kepada mereka,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Sobri Matman yang mewakili Gabenor Wilayah Satun.

Turut hadir, Pengetua Kolej Kediaman 2 Nasrul Salim Pakheri dan penasihat program Mohd Ferdaus Musa.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan adalah pemeriksaan kesihatan, menjalankan pemeriksaan pendawaian elektrik rumah dan memasang lampu LED, bergotong-royong dalam kenduri sekampung dan program berkhatan.

Mereka turut membantu kanak-kanak dalam modul pendidikan dan penjagaan kesihatan termasuk cara menggosok gigi dengan betul, penjagaan rambut dan kuku. Selain cara betul penggunaan komputer.

Lebih 1,000 dalam kalangan masyarakat setempat hadir dalam Forum Perdana disampaikan penceramah jemputan.

Tidak ketinggalan UMP turut menyampaikan sumbangan kepada Tadika Nur Al-Naim dan Masjid Kampung Tammalang Hilir Satun dalam bentuk papan putih, meja belajar, al-Quran, naskhah surah Yasin, telekung dan sejadah yang dikumpulkan daripada beberapa badan bukan kerajaan dan orang perseorangan. -Ruhaiza Rusmin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 6:00 AM