PESERTA dan fasilitator merakam kenangan.
PESERTA dan fasilitator merakam kenangan.
Nas Norziela Nasbah

Penganjuran Program Saintis Turun ke Desa oleh Komuniti Renaissance of Science Educators (ROSE) Universiti Malaysia Pahang (UMP) mampu meningkatkan tahap celik dan minat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda serta komuniti setempat.

Hal ini terbukti dengan kejayaan program yang berlangsung di Kampung Kuala Wau, Maran baru-baru ini membabitkan seramai 60 murid sekolah rendah dan menengah dari Kampung Kuala Wau.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, program itu satu daripada usaha UMP meningkatkan minat pelajar sekolah dalam bidang STEM.

“Program ini secara langsung dapat mendukung Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan STEM dengan melahirkan murid celik ilmu kerana berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasi konsep STEM dalam penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif.

“Matlamat pendidikan STEM perlu diperkasakan kerana semakin banyak aplikasi teknologi membabitkan mesin dan komputer seperti yang direncanakan dalam Revolusi Industri ke-4,” katanya yang turut merasmikan program itu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Unit Pengurusan Sekolah, Mohamed Bakri Abdul Malek yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kuala Wau (SKKW), Saharul Nizam Bahaman, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais dan Pengarah Program, Ts Dr Saifful Kamaluddin Muzakir @ Lokman.

PROF Ir Dr Wan Azhar (berbaju hijau) mendengar taklimat daripada pensyarah yang terbabit.
PROF Ir Dr Wan Azhar (berbaju hijau) mendengar taklimat daripada pensyarah yang terbabit.

Program gabungan pensyarah, mahasiswa dan alumni Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) membabitkan 15 guru dan 16 keluarga angkat yang dikendalikan 70 fasilitator dalam kalangan mahasiswa UMP yang sedang mengikuti Program Teknologi Bahan, Bioteknologi Industri dan Kimia Industri.

Prof Dr Wan Azhar berharap dengan usaha UMP mendekati komuniti setempat akan lebih ramai ahli akademik, teknologi, alumni dan mahasiswa UMP berganding bahu, berkongsi idea untuk menggalakkan pembangunan bakat dalam bidang STEM.

“Diharap program sebegini akan mendapat perhatian daripada pihak industri untuk turut serta dalam agenda pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, Ts Dr Saifful Kamaluddin berkata, program itu turut melatih peserta berfikir secara kritikal dan logik melalui hasil uji kaji Sains dan Matematik menggunakan sumber yang terdapat di kampung halaman.

“Fasilitator turut membimbing peserta memupuk sikap yakin diri dalam membuat keputusan melalui kaedah hipotesis bersandarkan fakta dan menunjukkan suri teladan terhadap aspek kerohanian termasuklah menanam sifat jujur, amanah, suka berkongsi ilmu juga kepimpinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 1:03 PM