MAHASISWA menyumbangkan masa serta tenaga dalam aktiviti sukarelawan sempena Ramadan lalu.
MAHASISWA menyumbangkan masa serta tenaga dalam aktiviti sukarelawan sempena Ramadan lalu.
Suliati Asri


Pelajar menerusi institusi pengajian tinggi masing-masing juga tidak terkecuali untuk turut sama melakukan pelbagai program sukarelawan bagi membantu mereka yang memerlukan sempena Ramadan lalu.

Selain membantu mereka yang memerlukan, program yang dilaksanakan juga dapat menerapkan pelbagai nilai tambah bagi pelajar.

Ini kerana sebagai pelajar, pembelajaran itu tidak semestinya datang dari bilik kuliah sahaja.

Ramadan lalu juga, pelajar dan staf Universiti UCSI tidak hanya berpeluk tubuh melihat pelbagai pihak menjalankan aktiviti kebajikan, tetapi sebaliknya turut sama menyumbangkan masa serta tenaga.

Ketua Bahagian Aktiviti dan Rekreasi Pelajar UCSI Kevin Low Lok Wui berkata, menerusi aktiviti sukarelawan yang disertai kali ini, pelajar didedahkan dengan kegiatan dijalankan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Kechara Soup Kitchen.

Menerusi program sukarelawan itu, kata Kevin, pelajar dibawa untuk bantu Kechara Soup Kitchen mengagihkan barangan makanan ke rumah kebajikan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

AKTIVITI sukarelawan dan kebajikan membuka ruang kepada pelajar mendekati komuniti dan membantu mereka yang memerlukan.
AKTIVITI sukarelawan dan kebajikan membuka ruang kepada pelajar mendekati komuniti dan membantu mereka yang memerlukan.

"Menerusi aktiviti ini, kami mahu menunjukkan kepada pelajar bahawa membantu orang lain itu ada banyak cara dan ini salah satunya," katanya.

Menerusi program itu, seramai 17 pelajar daripada pelbagai jurusan di Universiti UCSI terbabit membantu mengagihkan barang makanan ke Rumah Kita, Pusat Pendidikan Shalom, Sekutu Pelarian Chin (ACR), Pusat Jagaan Kanak-kanak Diamond dan Pusat Jagaan Warga Emas Tong Sim.

Kevin berkata, usaha yang dijalankan itu juga adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kewujudan NGO yang aktif membantu golongan kurang bernasib baik seperti Kechara Soup Kitchen.

Malah katanya, aktiviti seumpama itu dapat membuka ruang kepada pelajar mendekati komuniti bukan sahaja golongan yang kurang bernasib baik bahkan mereka yang terbabit sebagai sukarelawan itu sendiri.

"Pembelajaran itu tidak semestinya datang dari bilik kuliah semata-mata. Ada banyak cara lain. Saya harap banyak manfaat dan ilmu yang pelajar peroleh untuk program kali ini," katanya.

PELAJAR UCSI menyampaikan sumbangan kepada komuniti yang memerlukan.
PELAJAR UCSI menyampaikan sumbangan kepada komuniti yang memerlukan.

UCSI juga bakal menyelaraskan semua program kesukarelawanan melalui satu payung iaitu Program Kesukarelawanan Pelajar (SVP) tidak lama lagi.

Antara program yang bakal dilaksanakan ialah pengagihan makanan dan saringan kesihatan percuma serta derma darah.

Sejak dulu pelajar di UCSI sentiasa aktif dengan pelbagai aktiviti kesukarelawanan termasuk yang terbaharu pengumpulan makanan dan pembersihan rumah mangsa banjir, kerja sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta kempen derma darah.

Sementara itu, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) Negeri Melaka pula baru-baru ini berganding bahu melaksanakan Program Imarah Ramadan (IMRAN) iaitu program menyediakan Bubur Lambuk Perdana.

Program ini membabitkan 224 pelajar dan pensyarah Jabatan Pelancongan & Hospitaliti sebagai tenaga kerja.

ALIFF Ikmal (kanan) memberi penerangan kepada barisan MPP sebelum melaksanakan misi menyantuni anggota barisan hadapan.
ALIFF Ikmal (kanan) memberi penerangan kepada barisan MPP sebelum melaksanakan misi menyantuni anggota barisan hadapan.

Sebanyak 10 periuk besar disediakan yang mana dapat menghasilkan 4,000 bungkusan bubur diedarkan kepada semua warga kerja PMM, PTPTN, agensi kerajaan sekitar Merlimau dan kepada masjid atau surau.

Menerusi pengagihan bubur lambuk ini, ia sedikit sebanyak dapat membina hubungan erat antara PMM dengan agensi di Merlimau.

Pembabitan pelajar PMM dalam sukarelawan juga secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada aktiviti sukarelawan yang pastinya meninggalkan pengalaman berharga buat mereka.

Pengarah PMM, Norizam Sekak berkata, cef yang bertugas dalam memastikan kualiti masakan bubur lambuk PMM pada kali ini ialah pensyarah yang pernah menjuarai Pertandingan Bubur Lambuk Menara KL pada 2017.

"Alhamdulillah, ini adalah salah satu kepakaran yang PMM ada bagi memberi manfaat kepada masyarakat terutama bagi kawasan Merlimau.

ALUMNI KKSY menyediakan juadah yang akan diagihkan sempena Program Gemala Sahur KKSY.
ALUMNI KKSY menyediakan juadah yang akan diagihkan sempena Program Gemala Sahur KKSY.

"Proses memasak dan pembungkusan bubur lambuk itu berlangsung dalam suasana yang meriah di Perkarangan Dewan Platinum," katanya.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula diwakili Majlis Perwakilan Pelajar UPSI menyantuni barisan hadapan yang terdiri daripada anggota polis, bomba dan petugas kesihatan dengan mengagihkan juadah sahur sempena Ramadan lalu.

Timbalan Naib Canselor, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, pihak universiti amat prihatin terhadap petugas barisan hadapan untuk menangani pandemik Covid-19 biarpun negara sudah memasuki fasa endemik.

"Program Imarah Sahur Santuni Frontliners ini adalah salah satu medium untuk menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus menjaga warga daerah Muallim supaya berada dalam kesejahteraan," katanya.

Bagi Penasihat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Aliff Ikmal Anuar berkata, seramai 27 anggota barisan kepimpinan MPP dan pegawai terbabit dalam menjayakan misi ini membabitkan lapan hentian.

WALAUPUN hanya mengagihkan bubur lambuk, namun ia memberi nilai tambah tersendiri kepada pelajar yang turut serta sebagai sukarelawan.
WALAUPUN hanya mengagihkan bubur lambuk, namun ia memberi nilai tambah tersendiri kepada pelajar yang turut serta sebagai sukarelawan.

Katanya, sumbangan juadah sahur itu juga adalah tanda bahawa warga UPSI khususnya MPP cakna dengan kebajikan petugas barisan hadapan.

"Program kali kedua yang dilaksanakan MPP UPSI ini akan dijadikan program tahunan sebagai inisiatif bagi sentiasa mengenang jasa dan penat lelah petugas barisan hadapan," katanya.

Malah, program ini turut membabitkan beberapa agensi luar seperti Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim River, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Slim River, Majlis Belia Daerah Muallim dan Balai Polis Tanjung Malim.

Walaupun diadakan dalam tempoh singkat, namun urusan pengagihan makanan berjaya dilaksanakan dengan lancar.

Pegawai Daerah Muallim, Mohamad Fitri Hassan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPSI khususnya kepada MPP UPSI kerana melaksanakan program ini.

"Saya berharap semua pihak dapat mengambil pelbagai inisiatif sebagai tanda menghargai jasa barisan hadapan yang sudah menjalankan tanggungjawab berat selama pandemik berlaku.

"Tidak dilupakan kepada semua barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjalankan amanah diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

"Program ini sebenarnya memberi kesedaran kepada kita untuk menyambut perayaan kali ini dengan lebih menghayati makna Aidilfitri dan bukan mengikut tradisi," katanya.

Sementara itu, menerusi Program Gemala Sahur KKSY sempena Hari Nuzul Quran dan Ramadan, Persatuan Alumni Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menyediakan 150 pek juadah sahur kepada petugas barisan hadapan, pengawal keselamatan dan pekerja yang bekerja pada syif malam sekitar kawasan Selayang dan Kuala Lumpur dalam memudahkan urusan mereka dalam bersahur.

Program Gemala Sahur KKSY ini adalah inisiatif persatuan alumni KKSY untuk menyantuni dan berkongsi rezeki serta menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, pengawal keselamatan dan mereka yang memerlukan.

Pada masa sama program ini juga adalah untuk memperkuatkan ukhuwah dan silaturahim antara alumni serta pensyarah selain pegawai bagi bergotong-royong memasak juadah sahur dan bersama-sama mengagihkan kepada orang ramai.

Antara penerima juadah sahur pada program ini adalah petugas di Hospital Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan pengawal keselamatan serta stesen minyak dan klinik di sekitar Selayang dan sekitar Kuala Lumpur.

Pengerusi Persatuan Alumni KKSY, Muhammad Izzat Adzmey berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam program Gemala Sahur KKSY ini dan diharap segala kebaikan yang diusahakan akan diberi sebesar-besar ganjaran daripada Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 6:20 AM