UPM lahir eksekutif perladangan yang mahir dalam aspek pengurusan serta pengoperasian
UPM lahir eksekutif perladangan yang mahir dalam aspek pengurusan serta pengoperasian
Suliati Asri


PELAN Tindakan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi menyatakan kemerosotan pengeluaran hasil komoditi utama seperti sawit, getah dan koko disebabkan ketidaksuburan tanah, serangan penyakit dan perosak, amalan pertanian yang tidak konsisten, kekurangan tenaga kerja dan saiz ladang tidak ekonomik.

Antara cabaran utama yang mempengaruhi sektor agrikomoditi adalah kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing kurang mahir.

Masalah kritikal dihadapi majikan dalam bidang perladangan adalah kekurangan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap minyak sawit Malaysia oleh negara luar.

Kelewatan dalam memenuhi keperluan tenaga kerja di ladang sawit menyebabkan produksi minyak sawit menjadi perlahan dan ini melambatkan eksport ke negara pembeli minyak mentah sawit.

Selain itu, keperluan adanya graduan bidang perladangan yang kompeten dalam pengurusan, pengoperasian dan mahir dalam mengurus sumber manusia di sektor perladangan untuk menjana pengeluaran serta pendapatan sektor perladangan ini.

Menyedari keperluan industri perladangan akan graduan yang bijak pandai dalam sains dan teknologi serta berkemahiran dalam pengurusan dan pengoperasian ladang, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian diwujudkan untuk melahirkan eksekutif perladangan yang mahir dalam aspek pengurusan dan pengoperasian perladangan termasuk sumber manusia.

Dalam menyahut cabaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia untuk menghasilkan graduan bijak pandai dan berfikiran kritis dalam sektor perladangan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan ijazah Bacelor Sains Pengurusan Perladangan (BSPP) mod 3u1i.

Menerusi program ini, pelajar mengikuti pengajian di universiti pada tiga tahun awal, disusuli praktikal 'kehidupan sebenar di ladang' pada tahun akhir pengajian selama dua semester.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Tanah Fakulti Pertanian UPM, Dr Daljit Singh Karam Singh berkata, program BSPP pertama kali ditawarkan kepada pelajar kohort pertama sesi kemasukan semester pertama 2015/2016 yang bergraduat pada Oktober 2019.

Menurutnya, setakat tahun lalu, empat kohort program BSPP bergraduat dan hampir semua pelajar mendapat tawaran bekerja serta memulakan kerja sebaik saja tamat semester terakhir.

"Program BSPP dengan Kepujian ini dibentuk hasil perbincangan serta pandangan daripada pelbagai pihak terutama industri perladangan.

"Perbincangan itu perlu bagi memastikan semua elemen yang perlu dikuasai pengurus ladang ditekankan dalam silibus pengajian antaranya pengurusan dan pengoperasian ladang dan pengurusan sumber manusia," katanya.

Selain itu, Dr Daljit berkata, pelajar juga perlu mempelajari beberapa elemen penting yang perlu dikuasai termasuk Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

"Sebagai contoh, penggunaan baja adalah amat penting bagi menggalakkan tumbesaran pokok secara sihat.

"Kami ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam penanaman, malah pelajar juga boleh mengaplikasi pengetahuan sains dan teknologi perladangan kepada pekerja ladang," katanya yang juga Pengerusi Semakan Semula Struktur Kurikulum BSPP dengan Kepujian.

Menerusi program ini, pelajar berpeluang menjalani latihan industri di syarikat terkemuka dan arif dalam bidang ini termasuk IOI, Sime Darby, Genting Plantation, Sawit Kinabalu, KLK Berhad dan Kiara Jubli Sdn Bhd.

Dr Daljit berkata, pelajar yang mengikuti kursus ini dipilih berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang.

"Pelajar juga dipilih berdasarkan kebolehan daya tahan dari segi mental dan fizikal kerana mereka bukan hanya duduk dalam pejabat, malah kena turun padang memantau keadaan ladang dan pekerja.

"Selain itu, elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut diterapkan dalam semakan semula program ini," katanya.

Pelajar BSPP, Muhammad Firdaus Khairulhafiz berkata, dia memilih kursus ini kerana mempunyai pengalaman asas dalam pengurusan pertanian dan perladangan ketika mengikuti kursus diploma di UPM.

Oleh itu, katanya, apabila ditawarkan mengikuti kursus ini pada peringkat bacelor, dia tidak teragak-agak mendaftarkan diri.

"Bidang ini memberi peluang kerjaya yang luas kerana negara kita menyedari akan kepentingan bidang perladangan terutama kelapa sawit dan getah dalam menjamin sekuriti makanan negara.

"Dengan pengalaman dan ilmu yang ditimba menerusi program ini, saya yakin mampu memberi semula kepada masyarakat apabila sudah menamatkan pengajian kelak," katanya yang kini menjalani latihan industri di Estet Pamol Barat milik IOI di Kluang, Johor.

Bagi pelajar tahun pertama BSPP, Mirhafizah Mirzaman pula, dia mengikuti program ini kerana mahu membuktikan bidang ini tidak terhad untuk lelaki sahaja.

"Pada pendapat saya, sumbangan lelaki dan wanita dalam meningkatkan industri perladangan negara kita amat penting.

"Saya sendiri terpanggil untuk memberi yang terbaik selaku pelajar BSPP supaya ia dapat menarik lebih ramai lagi wanita menceburi bidang pengurusan perladangan ini," katanya.

Kejayaan dalam membentuk graduan perladangan yang bersedia untuk bekerja ini tidak terletak semata-mata di bahu universiti.

Usaha sama serta tunjuk ajar yang penuh dedikasi daripada pihak industri perladangan juga adalah adalah tunjang utama graduan BSPP dengan Kepujian daripada UPM mahir selepas menamatkan pengajian.

Pengurus Kiara Jubli Sdn Bhd, Mohd Sufi Mohd Zain berkata, syarikat mengalu-alukan kehadiran pelajar perladangan yang ingin menimba ilmu sambil menjalankan latihan industri di estet mereka yang terletak di utara Semenanjung.

"Program BSPP dengan Kepujian ini amat penting kerana industri ini memerlukan graduan yang holistik serta bijak mengurus sesebuah ladang dengan efisien.

"Kami sentiasa terbuka membantu UPM dan mana-mana institusi pengajian tinggi yang ingin mendedahkan pelajar mereka kepada aktiviti yang dijalankan di industri perladangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 7:00 AM