MAHASISWA UPSI bergambar bersama pelajar SMKBB2020 yang terbabit dalam Program Pemantapan Asas Seni Naif.
MAHASISWA UPSI bergambar bersama pelajar SMKBB2020 yang terbabit dalam Program Pemantapan Asas Seni Naif.
Suliati Asri


Seramai 74 pelajar tahun akhir Pendidikan Seni dari  Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkongsi kemahiran dengan pelajar Sekolah Menengah Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020) menerusi Program Pemantapan Asas Seni Naif, baru-baru ini.

Program dikendalikan  Kumpulan Seni (Euonía) itu dilaksanakan untuk memenuhi tugasan Kursus Profesional Praktis Jabatan Seni Reka dan Bentuk dengan kerjasama SMKBB2020. Ia membabitkan penyertaan 29 pelajar  tingkatan empat sekolah berkenaan.

Pensyarah Penasihat Ts Dr Muhamad Firdaus Ramli berkata, seni naif adalah konsep pengkaryaan yang dihasilkan tanpa terikat dengan unsur seni yang matang.

Katanya, menerusi program bertemakan Perpaduan itu, ia dapat memberi peluang kepada peserta menjayakan pembelajaran meliputi aspek media, teknik dan proses apresiasi karya seni naif.

"Program Pemantapan Seni Naif 'Perpaduan' ini dianjurkan bagi memperoleh ilmu aspek media, teknik dan proses serta pengalaman ketika menjalankan pengurusan acara sekali gus memanfaatkan ilmu semasa bengkel dijalankan.

"Malah program ini juga adalah salah usaha bagi menghayati perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia dengan menggunakan aliran seni naif sebagai medium ekspresi dengan bantuan fasilitator," katanya.

"Demonstrasi pengkaryaan seni naif melalui program ini juga membuka pemahaman peserta mengenai aliran seni itu," tambahnya.

SETH Asyraf Fajarudin
SETH Asyraf Fajarudin

Pengarah program, Seth Asyraf Fajarudin berkata, program itu bertujuan menarik perhatian pelajar dan memberi persediaan melakukan aktiviti dalam kumpulan.

Program seni naif ini turut memenuhi keperluan kemahiran pelajar tahun akhir Pendidikan Seni di samping menjalankan acara di luar premis kuliah.

"Sepanjang program ini berlangsung, pelajar diberi taklimat dan pengenalan terhadap aliran seni naif iaitu yang boleh diaplikasikan ke dalam penghasilan karya secara formal atau pun tidak formal.

"Di samping itu, persepsi mengenai aliran seni naif dihasilkan mengikut tema Perpaduan menggunakan media pen Artline dan warna pensel.

"Program seni naif ini turut mengangkat kesederhanaan dan kejujuran dalam latihan pengkaryaan artistik dengan aspek formal melalui lukisan diterapkan unsur serta prinsip yang standard," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMKBB2020, Che Sabry Deraman berkata, program perkongsian melalui penghasilan karya seni naif itu memberi impak terhadap kreativiti pelajarnya selain memberi pemahaman mengenai etika pendidikan dan disiplin profesional semasa pengendalian program.

Katanya, program seni naif itu sangat membantu pelajar untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam penghasilan karya seni.

"Dengan penganjuran program ini, mahasiswa UPSI juga dapat membina kemahiran berkomunikasi dan perundingan melalui aktiviti amali bersama pihak sekolah.

"Program yang dikongsikan in juga mampu menjadi inisiatif kepada mahasiswa dari Program Pendidikan Seni untuk menempuh alam pekerjaan dan mempunyai kemahiran dalam merancang sesuatu program secara profesional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 6:08 AM