SAJIAN pai biri-biri yang menarik.
SAJIAN pai biri-biri yang menarik.
DR Justin Lee
DR Justin Lee
Nurul Husna Mahmud


PENGGUNAAN biri-biri terutama bagi kualiti premium seperti biri-biri muda Australia dilihat memberi kelainan terhadap kelazatan sajian.

Ia dikatakan lebih mudah empuk dan 'berjus' menjadikannya pilihan bagi kebanyakan kaedah masakan baik untuk hidangan berkuah mahupun panggang.

Biarpun ramai menggemari hidangan terbabit, namun jumlah yang mahir dalam penyediaan hidangan berasaskan daging biri-biri masih menjadi persoalan. Dikatakan isu itu sering dibangkitkan sesetengah pelanggan yang ragu-ragu selain khuatir hidangan disediakan berbau hamis.

Kesannya mengganggu keenakan kerana bau kurang menyenangkan termasuk hamis daging kekal sehingga hidangan selesai disediakan.

Tidak terkecuali juga ada segelintir bimbang daging dimasak menjadi liat kerana kaedah memotong yang salah.

Menyedari situasi itu, Chef Lambassador Eric Siew dan Chef Steven Wong dari Hotel Hiltan Kuala Lumpur tampil berkongsi panduan bermanfaat.

Ia menerusi bengkel masakan penyediaan pai biri-biri anjuran True Aussie membabitkan lebih 20 peserta yang juga pengamal media tempatan.

Penulis juga teruja apabila berpeluang mempelajari teknik bermula dengan penghasilan kerak pai sehingga kepada pilihan herba dan rempah sesuai dengan profil tekstur dan rasa daging. Ia bagi membantu penyediaan hidangan enak untuk dinikmati bagi sajian petang ataupun utama.

CHEF Eric tidak lokek berkongsi tip dan resipi penyediaan hidangan biri-biri.
CHEF Eric tidak lokek berkongsi tip dan resipi penyediaan hidangan biri-biri.

Pesuruh Jaya Tinggi Australia, Dr Justin Lee yang turut menyertai sesi penyediaan pai biri-biri bersama media melihat, Malaysia antara prospek penting dalam pasaran daging merah dari negaranya terutama kambing yang meningkat saban tahun.

"Malaysia antara pasaran penting bagi produk daging merah Australia dan antara penyumbang kepada 38 peratus bekalan kambing yang dieksport dalam pasaran dunia. Malah, pada tahun lalu, Malaysia mengimport kira-kira 27,000 tan daging kambing yang bernilai RM670 juta.

"Bagi memastikan produk daging dieksport Australia ke Malaysia antara terbaik, kami sentiasa mematuhi syarat ketat termasuk aspek keselamatan dan status halal daging berkenaan bermula dari ladang sehingga sampai ke pelanggan.

"Hasrat kami, semua peringkat golongan berpeluang menikmati sajian daging ini pada kualiti terbaik dengan memastikan setiap hidangan disediakan memberi manfaat dari segi nikmat iaitu enak dan baik kepada kesihatan," katanya.

Chef Eric yang tampil berkongsi pengalaman penyediaan daging itu mengakui, kualiti daging merah dari Australia antara terbaik dalam penyediaan sebarang hidangan.

"Sajian biri-biri antara yang terbaik kerana mudah empuk selain mempunyai tektur menarik baik rasa mahupun visual. Secara tidak langsung kualiti itu menggambarkan tahap protein baik dalam kandungan daging, sekali gus boleh meningkatkan kualiti hidangan disediakan.

"Seperti hari ini hidangan pai menggunakan daging biri-biri muda, kombinasi iaitu tekstur daging yang berjus dan mudah empuk membantu menjimatkan masa penyediaan. Malah, kemanisan daging tidak terjejas atau tenggelam dengan kombinasi sayur-sayuran atau sos yang digunakan.

"Ibaratnya ia melengkapi rasa sajian supaya lebih enak dan memuaskan. Dari aspek kesihatan, melihat warna merah semula jadi daging menunjukkan ia diternak dengan makanan persekitaran yang baik tanpa hormon.

ANTARA pengamal media yang mengikuti cara penyediaan pai inti biri-biri.
ANTARA pengamal media yang mengikuti cara penyediaan pai inti biri-biri.

"Selain itu, ciri-ciri daging yang empuk dan lembut menunjukkan haiwan itu tidak stres ketika diternak," katanya.

Katanya, kombinasi rempah atau ramuan yang minimum, sedikit lada hitam dan bawang putih menjadi idea klasik untuk sajian daging berkenaan.

"Sajian biri-biri muda Australia tiada isu hamis kerana pembekalnya mementingkan aspek kebersihan dan penjagaan seawal dari ia diternak sehingga kepada karkas.

"Tidak perlu perapan berat atau sarat, bau daging biri-biri masih boleh diterima dan tidak mengganggu ketika menikmati sajian. Malah, penternak juga mengamalkan amalan ladang lebih lestari, sekali gus meningkatkan kualiti daging untuk pasaran di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:20 AM