BIRI-biri dilepaskan pada waktu petang untuk meragut rumput di kawasan berhampiran.
BIRI-biri dilepaskan pada waktu petang untuk meragut rumput di kawasan berhampiran.
Muhamaad Razis Ismail


SEBAIK menamatkan pengajian di universiti antara perkara terawal yang dilakukan graduan adalah mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, penularan pandemik Covid-19 ke seluruh dunia pada 2019 menyebabkan hampir semua sektor terjejas, sekali gus mengakibatkan graduan terpaksa menganggur.

Mohd Iqbal Zainol, 29, berasal dari Pokok Sena, Kedah antara graduan yang terkesan.

Enggan mengalah, lepasan Ijazah Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini bersama adiknya, Khairul Amri, 26, dan abangnya, Khairul Azwan, 40 menceburi bidang penternakan kambing dan biri-biri pada 2020.

Baru-baru ini mereka tular di media sosial apabila menggunakan dron untuk memanggil balik biri-biri pulang ke kandang.

Mohd Iqbal berkata, dia sendiri tidak menyangka akan terjun dalam bidang penternakan kerana ia amat jauh daripada bidang yang dipelajari di universiti.

"Abang saya yang bekerja sebagai pengurus projek di Selangor mencadangkan untuk terbabit bidang penternakan kerana dilihat 'jalan' keluar paling cepat dan mudah tanpa membabitkan modal yang tinggi. Pada ketika itu kami tiada pengetahuan mendalam dalam bidang ternakan, namun nekad mencuba.

"Berbekalkan modal kira-kira RM50,000 yang dikeluarkan abang dan isterinya, kami menubuhkan syarikat KAZ Agronomy Resources untuk berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Kemudian kami membina kandang atas dusun milik ayah seluas 0.24 hektar dan membeli beberapa kambing serta biri-biri untuk memulakan ternakan," katanya ketika dihubungi.

DRON memudahkan proses memanggil balik biri-biri yang dilepaskan.
DRON memudahkan proses memanggil balik biri-biri yang dilepaskan.

Menurutnya, hanya selepas terbabit dalam bidang ini, baru mereka menyedari ia bukan bidang yang mudah kerana ia menuntut perbelanjaan dan komitmen tinggi.

"Di awal pembabitan, kami tersilap langkah apabila tidak menyediakan keperluan makanan kerana ternakan ini makan banyak.

"Selepas beberapa bulan kami mengambil keputusan untuk tidak terus menternak kambing dengan hanya memberi fokus kepada biri-biri kerana sifatnya yang berkumpulan lebih mudah dijaga dan dikawal serta mengurangkan kos ternakan.

"Bermula dengan 10 biri-biri, kini kami mempunyai 86 ekor yang diternak dengan menggunakan kaedah semi intensif," katanya.

Katanya, biarpun ternakan dilepaskan pada setiap hari, mereka perlu menyediakan sekurang-kurang 150 kilogram rumput napier dan 50 kilogram dedak sebagai makanan.

"Rumput diberikan seawal 10 pagi sebelum ia dilepaskan meragut di kawasan sekitar pada sebelah petang selama empat jam. Kemudian apabila ternakan kembali kandang, rumput yang dicampur dengan dedak diberikan.

"Pada sebelah malam, kami perlu memeriksa keadaan biri-biri dan makanan sekali lagi diberikan sekiranya ia masih lapar. Apabila hujan, jumlah makanan meningkat sekali ganda berikutan ternakan tidak boleh dilepaskan seperti biasa," katanya.

Melihat, kos makanan yang meningkat pada setiap bulan, mereka menyewa sebuah tanah kosong milik masjid berhampiran seluas 0.57 hektar untuk dijadikan tapak penanaman rumput napier sebagai sumber makanan.

"Menerusi langkah ini, kami dapat mengurangkan kos makanan yang sangat tinggi pada setiap bulan," katanya.

MOHD Iqbal sentiasa memastikan biri-birinya dalam keadaan baik.
MOHD Iqbal sentiasa memastikan biri-birinya dalam keadaan baik.

Bagi menambah pengetahuan dalam penternakan, dia menyertai pelbagai kursus anjuran JPV termasuk pengurusan kandang dan kesihatan serta pemakanan ternakan.

"Pada masa sama, kami banyak belajar daripada penternak yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.

"Kami turut memanfaatkan internet untuk belajar menerusi media sosial termasuk YouTube dan Facebook," katanya.

Dia berkata, biri-biri berusia lima bulan mula dijual kepada pelanggan yang biasanya untuk dijadikan sebagai induk.

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada penternak luar Kedah termasuk Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada harga RM30 sekilogram," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan penggunaan dron untuk 'memanggil' biri-biri pulang ke kandang, idea itu tercetus daripada adiknya, Khairul Amri yang amat meminati peralatan itu.

"Kami cuba menggunakannya untuk memanggil balik biri-biri dan ia sangat berkesan, sekali gus dapat menjimatkan masa dan tenaga.

"Biri-biri yang berada agak jauh, akan bergegas pulang sebaik mendengar dron terbang di kawasan sekitar," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, dia menyasarkan mampu menghasilkan kira-kira 200 induk biri-biri untuk memenuhi permintaan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:49 AM