PENGADIL menilai kecantikan biri-biri yang dipertandingkan.
PENGADIL menilai kecantikan biri-biri yang dipertandingkan.
Siti Rohana Idris


BUKAN hanya dimandikan tiga kali sehari malah biri-biri jangok (cantik) milik Mohd Yusuf Mustapha ini turut dilumur dengan minyak masak di bahagian tanduknya yang bengkok bagi mencantikkan lagi fizikal haiwan berkenaan.

Rutin harian itu dilakukan Mohd Yusuf, 44, terhadap lapan biri-biri peliharaannya termasuk yang dinamakan Awe (Awang) Putih, Kumbang, Awe Hitam dan Buih.

Fizikal semua biri-biri peliharaannya sangat unik dengan tanduk berkilat, bulu seluruh badan dicukur, tubuh yang tiada sebarang cela dan kecantikannya dijaga rapi bagi persediaan untuk pertandingan.

Mohd Yusuf berkata, pada mulanya dia memelihara seekor sahaja biri-biri dengan tujuan mengisi masa lapang namun apabila menyertai kelab biri-biri dan mengetahui ada pertandingan biri-biri jangok, bilangan haiwan ternakan itu semakin ditambah.

"Setakat ini saya mempunyai lapan ekor biri-biri yang semuanya dipelihara untuk dipertandingkan.

"Saya tempatkan semuanya di kandang belakang rumah dan selain saya, sepupu turut membantu menguruskan biri-biri ini memandangkan saya mempunyai pekerjaan lain iaitu pemandu lori ais," katanya kepada Harian Metro.

Dia ditemui ketika membawa biri-biri kesayangannya, Awe Putih untuk menyertai Pertandingan Biri-biri Jangok sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2023 di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Sebanyak 63 ekor biri-biri 'jangok' dipertandingkan dalam empat kategori iaitu anak, salin 2, salin 4 salin 6 mengikut umur masing-masing.

PEMILIK biri-biri jangok mandikan ternakan 3 kali sehari selain sapukan minyak pada tanduk haiwan.
PEMILIK biri-biri jangok mandikan ternakan 3 kali sehari selain sapukan minyak pada tanduk haiwan.

Kecantikan haiwan itu dinilai dari segi kekemasan tanduk, ekor, muka, telinga, warna, capong sawat, batu sawat (kemaluan), ekor, saiz, kebersihan dan gaya.

Tuah ternyata menyebelahi Awe Putih apabila ia berjaya memenangi tempat pertama untuk kategori Salin 6 (merujuk kepada usia biri-biri).

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, Awe Putih yang berusia dua tahun itu sudah kerap memenangi pertandingan dan jika tidak bergelar juara sekalipun, pasti tempat kedua atau ketiga sentiasa dalam tangan.

Katanya, dia membeli Awe Putih itu dua tahun lalu dan sejak hari pertama, ia sudah dijaga rapi kerana ingin 'groomingnya' menjadi juara pertandingan biri-biri jangok.

"Untuk menjinakkan biri-biri tidak memerlukan masa yang lama dan paling lama sekalipun hanyalah seminggu sahaja kerana pemilik perlu sentiasa berada dengan biri-biri peliharaan mereka selain selalu menggosok serta membelainya.

"Seperti biri-biri saya yang lain, Awe Putih akan dimandikan tiga kali sehari dengan menggunakan sabun dan syampu manakala tanduk juga akan dikilatkan dengan minyak masak selain kuku juga perlu diteliti satu persatu demi kecantikan dan kesihatan mereka," katanya.

Mohd Yusuf yang berasal dari Kampung Landak, Kota Bharu, berkata, ramai yang beranggapan bahawa dia terpaksa mengeluarkan kos besar untuk penjagaan semua biri-birinya itu namun katanya perbelanjaan tidaklah sebanyak mana, sama seperti membela biri-biri lain.

ANTARA biri-biri ‘jangok’ yang dipertandingkan.
ANTARA biri-biri ‘jangok’ yang dipertandingkan.

Katanya lagi, dari segi pemakanan semua biri-birinya diberi makan dedak soya berselang seli dengan rumput sebanyak dua kali sehari iaitu pada tengah hari dan malam.

"Untuk kesihatan pula, saya akan menyediakan vitamin krtana biri-biri adalah haiwan yang tidak mudah terkena penyakit.

"Biasanya haiwan ini hanya mengalami demam atau selesema sahaja dan jika diserang dua penyakit itu, ia dapat dikesan menerusi keadaannya yang lesu atau hidung berair. Jika simptom itu berlaku, biri-biri perlu segera diberikan vitamin," katanya.

Mohamad Yusuf berkata, untuk menyertai mana-mana pertandingan, dia akan membuat persediaan dan persiapan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal.

Ini kerana bermula dari hujung rambut sehingga hujung kaki, biri-biri itu perlu dijaga rapi bagi memastikan ia dapat meraih markah yang tinggi.

"Markah paling banyak adalah terletak di bahagian tanduk disusuli muka, keadaan kebersihan dan fizikal yang gemuk bagi seekor biri-biri.

"Jadi, sebulan sebelum pertandingan saya akan menjaga dengan rapi mana-mana biri-biri yang dipilih.

"Paling penting adalah aspek kebersihan yang perlu dijaga rapi dan pemakanan yang cukup untuk menjaga 'kegemukannya'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 6:20 AM