HASIL percubaan pusingan pertama yang memberangsangkan.
HASIL percubaan pusingan pertama yang memberangsangkan.
CHEAH di tapak plot percubaan tanaman kubis di tanah rendah yang diusahakannya.
CHEAH di tapak plot percubaan tanaman kubis di tanah rendah yang diusahakannya.
CHEAH (tengah) dan Noorazmi (kanan) bersama kubis yang mencapai berat hampir dua kilogram.
CHEAH (tengah) dan Noorazmi (kanan) bersama kubis yang mencapai berat hampir dua kilogram.
KUBIS yang ditanam di tanah rendah setara dengan yang ditanam di tanah tinggi.
KUBIS yang ditanam di tanah rendah setara dengan yang ditanam di tanah tinggi.
Noor Hidayah Tanzizi

Kubis bulat adalah sayur-sayuran yang biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi.

Tanaman itu juga dikatakan agak mustahil ditanam di kawasan tanah rendah dan bercuaca panas.

Biarpun ia antara komoditi sayur-sayuran utama negara yang popular dan sentiasa mendapat permintaan pasaran, pengeluaran hasil tanaman itu boleh dianggap masih berkurangan.

Pada ketika ini, dianggarkan hanya 60 peratus kubis ditanam dalam negara sementara selebihnya diimport dari China dan Indonesia.

Bagi menjamin bekalan mencukupi bukan saja untuk menampung permintaan dalam negara sekali gus mengurangkan import sayur berkenaan, usaha menanam kubis di tanah rendah giat dilaksanakan selaras dengan saranan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Usaha itu turut dilakukan Jabatan Pertanian Perak yang memulakan percubaan pertama tanaman kubis di tanah rendah sejak tahun lalu di setiap pusat pertanian daerah dengan masing-masing seorang pengusaha terpilih.

Varieti benih digunakan adalah hibrid F1 311 yang khas untuk tanah rendah mengikut kesesuaian tanah, cuaca dan suhu.

Namun, percubaan di daerah Manjung boleh dianggap paling menonjol dengan berat sebiji kubis mencecah hampir dua kilogram (kg) berbanding di tempat lain.

Malah, hasil keluaran percubaan pertama itu juga setara dengan tanaman di tanah tinggi dengan kepadatan isi, bentuk, warna, kosmetik dan beratnya.

Pengusaha, Cheah Song Hui, 32, berkata, dia nekad mencuba tanaman itu kerana potensinya yang tinggi biarpun sedia maklum ia agak berisiko.

Menurutnya, tanaman kubis seluas 0.10 hektar dengan 2,700 biji itu diusahakan atas bimbingan jabatan dan bapanya, Lean Teik, 66, yang berpengalaman menanam sayur berkenaan di Cameron Highlands sebelum ini.

“Berbekalkan pengalaman enam tahun dalam tanaman kucai bersama bapa, saya nekad menanam kubis yang biasanya ditanam di tanah tinggi.

“Ini percubaan pertama kami dan hasil pusingan pertama plot percubaan ini memberangsangkan, namun masih ada lagi dua percubaan sebelum ia berjaya sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Hari Penuaian Kubis Tanah Rendah Pertama di Pusat Pertanian Lekir di Batu 8 Lekir, Sitiawan, Perak, baru-baru ini.

Menurutnya, dia masih dalam proses mengenali dan mempelajari tanaman kubis di tanah rendah kerana tanaman itu mempunyai cabaran tersendiri terutama serangan serangga perosak.

“Hasil pemerhatian didapati, ketika hujan tanaman masih berada dalam keadaan baik namun kawasan tidak boleh banjir dan batasnya juga perlu tinggi.

“Biasanya jika cuaca tidak baik tanaman mudah dijangkiti penyakit dan kubis juga akan menjadi busuk.

“Paling penting pengurusan tanaman yang betul selain kawalan serangga dan kebersihan kawasan dapat membantu mengeluarkan hasil berkualiti,” katanya.

Cheah berkata, dia memulakan tanaman itu pada Disember lalu dan mendapati pengeluaran hasil kubis di tanah rendah lebih cepat berbanding di tanah tinggi.

“Dalam masa 80 hari kubis di sini sudah boleh dituai berbanding di tanah tinggi yang biasanya mengambil masa dalam anggaran 90 hari ke atas.

“Biarpun ditanam di tanah rendah, kubis di sini tetap manis dan pada pandangan saya rasanya juga sama seperti kubis yang ditanam di tanah tinggi,” katanya.

Katanya, ketika ini cabaran yang dihadapi adalah serangan ulat perosak seperti plutella diatasi dengan penggunaan baja tahi ayam dan kimia mengikut keperluan.

“Boleh dikatakan pengurusannya agak rumit dan berisiko, namun sayuran ini mempunyai potensi yang tinggi dan boleh mendatangkan keuntungan kerana ia mendapat permintaan.

“Harapan saya hasil pusingan kedua dan ketiga nanti akan lebih baik dan mencapai sepenuhnya kriteria yang ditetapkan jabatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Perak, Noorazmi Yahya berkata, pemerhatian mendapati hasil kubis di daerah Manjung paling memberangsangkan dengan mencapai berat 1.8kg sebiji berbanding di tempat lain yang di bawah 1.5kg.

“Pusingan pertama plot percubaan tanaman kubis yang dijalankan di sini sudah mencapai 80 peratus mengeluarkan hasil berkualiti.

“Bagaimanapun, masih ada pusingan kedua dan ketiga pada Mac dan Julai ini sebelum mencapai keberhasilan sepenuhnya dan seterusnya menyasarkan tanaman ini dibuka kepada umum pada tahun depan,” katanya.

Katanya, belum ada tanaman kubis secara komersial di tanah rendah melainkan kawasan tanah tinggi di Cameron Highlands, Pahang; Lojing, Kelantan dan Kundasang, Sabah.

“Usaha ini bukan saja dapat mengurangkan kadar import sayur berkenaan malah dapat meningkatkan pendapatan komuniti petani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:57 PM