Gua Musang: Jerih payah seorang pemuda mengusahakan tanaman sayur dan buah-buahan secara fertigasi di kawasan seluas 12 hektar akhirnya membuahkan hasil lumayan apabila tanamannya berjaya dipasarkan bukan sahaja di dalam negara, malah turut dieksport ke Singapura.

Chung Chia Khang, 28, yang mesra dengan panggilan Ah Kai meraih kejayaan itu selepas fasa bersusah payah selama tujuh tahun membangunkan ladang fertigasi berkenaan yang terletak di Tanah Tinggi Lojing di sini.

"Saya bermula dengan 1,000 polibeg di kawasan rumah di Kampung Keroh, Kuala Krai dan kini meningkat kepada lebih 100,000 polibeg yang ditanam dengan pelbagai jenis sayur dan buah-buahan seperti kubis, jagung, tomato, saderi, daun bawang, ketumbar, lobak putih, kacang serta 'rock melon.'

"Sayur-sayuran ini dihantar kepada pemborong di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang sebelum dieksport ke luar negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ladangnya di sini.

Chung berkata, sejumlah 40,000 tanaman kubis yang diusahakan di tanah seluas 1.2 hektar juga mula mengeluarkan hasil dengan hampir satu tan kubis dapat dituai setiap hari.

Berkat berbakti pada tanah, beliau mengakui kini mampu menuai hasil sayur-sayuran antara 40 dan 70 tan sebulan dengan pendapatan hingga RM400,000 dan berjaya menubuhkan syarikat, Lojifarmers pada tahun lalu.

Bercerita lanjut, beliau berkata minat terhadap bidang agrotani timbul selepas menyertai kursus pertanian anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Daripada situ beliau bermula secara kecil-kecilan dengan mendapat bantuan daripada program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Risda sebanyak RM10,000 untuk mengembangkan kawasan pertanian.

"Langkah saya memilih bidang pertanian ternyata tepat kerana harga sayur-sayuran di pasaran kini menunjukkan peningkatan, malah tahun lalu naik lebih 50 peratus berbanding setahun atau dua tahun sebelum itu," katanya.

 CHUNG menunjukkan sayur kubis ditanam  di ladangnya di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang. Gambar kecil, Chung (kanan) bersama pekerjanya membungkus sayuran untuk dihantar kepada pelanggan.
CHUNG menunjukkan sayur kubis ditanam di ladangnya di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang. Gambar kecil, Chung (kanan) bersama pekerjanya membungkus sayuran untuk dihantar kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:01 AM