KEMPEN Subuh Macam Jumaat mampu menjadikan masjid seluruh negara dihidupkan dengan rasa kasih sayang untuk hidup dalam kehidupan berjemaah serta menanam sikap saling mengingati.
KEMPEN Subuh Macam Jumaat mampu menjadikan masjid seluruh negara dihidupkan dengan rasa kasih sayang untuk hidup dalam kehidupan berjemaah serta menanam sikap saling mengingati.
Dr Zuraimy Ali

UMUM mengetahui kempen yang dicetuskan oleh seorang artis selebriti mengajak  umat Islam untuk solat Subuh berjemaah macam solat Jumaat merupakan saranan yang baik dan merupakan langkah berpahala kerana mendidik masyarakat lebih bersatu padu di samping meningkatkan rasa ketakwaan kepada Allah SWT. Ini memberikan contoh ikutan baik bagi yang menyeru manusia ke arah kebenaran dan kesabaran dalam melaksanakan ibadah solat berjemaah di masjid walaupun seruan dan saranan baik itu hadir daripada seorang artis yang sudah tentu mempunyai ramai pengikut dalam kalangan anak-anak muda. Hal ini mampu memberi kesan baik terhadap hati nurani anak-anak muda. Seruan dan kempen ini sangat baik dan ianya bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: 'Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-'Asr 103: Ayat 1-3)

Ini mampu menjadikan masjid seluruh negara dihidupkan dengan rasa kasih sayang untuk hidup dalam kehidupan berjemaah dan dapat menanam sikap saling ingat mengingati dalam urusan menjaga hubungan dengan Pencipta. Selain mampu memupuk rasa kasih sayang dalam kalangan jemaah yang hadir, langkah ke masjid merupakan langkah paling mulia kerana kehadiran ke masjid bagi membina kekuatan iman dan seterusnya diberikan ganjaran pahala ketimbang langkah ke tempat yang tidak memberikan manfaat pada jiwa dan roh kesatuan. Ini bersesuaian dengan hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefarduan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim)

Bagi menjadikan kempen Subuh Macam Jumaat, pihak berkuasa dan jawatankuasa masjid perlu merancang dengan bijak bagi menarik lebih ramai ahli kariah untuk hadir ke masjid bagi mengimarahkan masjid dengan program yang lebih berkesan. Mengambil contoh, ada beberapa masjid memberikan insentif kepada pelajar sekolah wang tunai tambahan atas sikap melazimi solat Subuh sebelum ke sekolah. Walaupun insentif tersebut kecil namun ianya memberi kesan dorongan dan semangat pelajar-pelajar untuk meningkatkan amalan di samping memberikan semangat hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu dengan tekun.

Setiap langkah demi langkah ke masjid memberikan pahala dan mengangkat kemuliaan (karamah) seseorang di sisi Allah SWT. Namun jika langkah yang diambil tidak memberikan kepada kekuatan untuk menambahkan iman dan amal sudah pasti langkah tersebut gagal manakala pelaksanaan terhadap kempen Subuh macam Jumaat hanya akan menemui kegagalan. Dalam menimba pengalaman baru sudah tentu perancangan terhadap langkah memperkasakan institusi masjid menjadi keutamaan semua pihak. Peranan ini memerlukan tanggungjawab semua pihak bagi memastikan pelaksanaan ini sentiasa menjadi agenda penting bagi umat Islam.

Selain kempen Subuh Macam Jumaat, kempen untuk mengajak ummah ke arah kempen 'tahajud cinta' perlu diberikan penekanan serius oleh pihak jawatankuasa masjid bagi menjadikan masjid sebagai cara mendidik masyarakat membina kekuatan kerohanian pada waktu lewat malam sebagai persediaan awal untuk membiasakan masyarakat dengan amalan solat tahajud dan menambahkan kecintaan terhadap Pencipta. Pihak jawatankuasa masjid boleh merancang program kempen tahajud cinta dengan pendekatan yang lebih berkesan dengan mendidik ummah untuk terus konsisten dalam usaha memupuk ketinggian rasa cinta terhadap Pencipta melalui pengisian yang bermanfaat terhadap pembinaan kerohanian insan khususnya anak-anak muda.

Jika pendekatan yang betul melalui langkah yang tepat, tidak mustahil ummah akan terdidik dengan mendalam rasa kasih dan sayang untuk mendekatkan diri terhadap Allah SWT. Namun, dalam marcapada kian terhakis dengan nilai dan adab maka semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi meningkatkan iman dan amal umat Islam melalui kebhinekaan wahana demi memastikan kesatuan dan kebersamaan menjayakan kempen tersebut berjalan secara berterusan di era Malaysia Madani.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 5:59 AM