ORANG ramai beratur dan menulis nama sebelum masuk ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat. FOTO Fathil Asri
ORANG ramai beratur dan menulis nama sebelum masuk ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat. FOTO Fathil Asri
Dr. Azlan Shaiful Baharum

MENGIMARAHKAN atau menghidupkan rumah Allah atau masjid adalah ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat. Allah berfirman maksudnya: "Hanyalah yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain Allah maka merekalah termasuk golongan yang sentiasa mendapat petunjuk (daripada Allah SWT)." Surah at-Taubah, ayat 18

Antara cara yang paling praktikal untuk memakmurkan masjid adalah dengan solat berjemaah dan solat Jumaat. Namun, dalam suasana normal baharu dan ketika kita masih memerangi pandemik Covid-19 ia adalah cabaran besar.

Antara dugaan umat Islam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awalnya ialah larangan menunaikan ibadat secara beramai-ramai di masjid. Ramai yang mengeluh dan meluahkan rasa rindu untuk beribadat di rumah Allah. Ada warganet yang meluahkan perasaan mereka di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Alhamdulillah setelah beberapa bulan, banyak masjid di seluruh negara mula membuka ruang ibadah kepada Muslimin secara berperingkat dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan dan raja atau sultan bagi negeri lain.

Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan semua pihak mematuhi ketetapan ini.

Setelah berbulan-bulan beribadat hanya di rumah masing-masing, sudah tiba masanya sebahagian jemaah menghidupkan rumah Allah dengan solat berjemaah dengan bilangan yang terhad.

Kewajipan menunaikan solat berjemaah walaupun ia sunat muakkad atau sunat yang sangat dituntut, kesannya sangat besar dalam membentuk peribadi seseorang Muslim.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang terkenal bermaksud: "Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat."

Walaupun solat berjemaah boleh dilakukan di mana-mana, sudah tentu berjemaah di masjid adalah yang paling afdal. Nabi SAW bersabda lagi dalam sebuah hadis yang lain bermaksud: "Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju satu daripada rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang difardukan oleh Allah, kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjatnya."

Namun, sebagai rakyat jelata dan masyarakat umum, kita perlu menerima hakikat bahawa pada masa ini solat berjemaah perlu dilakukan dengan bilangan yang terhad. Janganlah sampai ada yang mengatakan ahli jawatankuasa (AJK) masjid melarang solat dan memarahi mereka kerana tidak dibenarkan masuk ke masjid untuk berjemaah. Pihak pengurusan masjid perlu mengikut arahan pentadbiran jabatan agama masing-masing. Mereka juga sedaya upaya berusaha memastikan kawalan pergerakan keluar masuk masjid dilakukan dengan sistematik dan terkawal.

Malangnya, apabila sebahagian besar masjid dibuka untuk solat berjemaah bagi waktu Subuh, Maghrib dan Isyak, jemaah tidak begitu ghairah menunaikan solat berjemaah pada waktu berkenaan sedangkan ia solat yang afdal dilakukan secara berjemaah. Itulah kekecewaan diluahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli al-Bakri dan pegawai pengurusan masjid berkenaan perkara ini.

Oleh itu sewajarnya kita semua muhasabah diri dan memelihara solat lima waktu dengan sebaik mungkin. Ini kerana ia adalah asas utama dalam kehidupan individu Muslim sehinggakan Allah merakamkan mutiara kata Luqmanul Hakim kepada anakandanya dalam al-Quran bermaksud: "Hai anakku! "Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan serta laranglah daripada perbuatan yang mungkar dan sabarlah atas sesuatu (musibah) yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada urusan yang dipastikan (oleh Allah)." Surah Luqman, ayat 17

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 10:37 AM