KEBERKATAN Ramadan serta ganjaran  diberikan Allah SWT benar-benar dapat menarik minat umat Islam yang mampu memahaminya.
KEBERKATAN Ramadan serta ganjaran diberikan Allah SWT benar-benar dapat menarik minat umat Islam yang mampu memahaminya.

CATATAN sejarah Islam menunjukkan antara perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah selepas berhijrah dari Mekah ialah mendirikan masjid. Hal ini menunjukkan kepentingan sebuah institusi yang menjadi tempat utama penyebaran Islam. Semua aktiviti umat Islam tertumpu
di masjid dan ia tidak hanya melibatkan pelaksanaan ibadah khusus sahaja, sebaliknya semua aktiviti umat Islam berpusat di masjid. Oleh itu, masjid perlu sentiasa diimarahkan agar ia menjadi syiar yang menunjukkan kehebatan umat Islam.

Seperti berlaku pada tahun sebelum ini, setiap masjid di negara kita 'hidup' dengan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan. Tidak seperti bulan lain, jumlah kehadiran jemaah ke masjid pada bulan Ramadan meningkat secara mendadak. Sudah pasti mereka yang datang ke masjid meyakini bahawa Allah SWT sedang membuka pintu rahmat-Nya untuk sesiapa sahaja yang beribadah kepada-Nya.

Kebiasaannya sebelum masuk waktu Subuh, masjid mula dihadiri jemaah yang baru selesai bersahur. Keadaan ini berterusan sehingga lewat malam dengan solat Tarawih, tadarus al-Quran, qiyamullail dan sebagainya. Inilah satu senario hebat berlaku dalam bulan Ramadan. Sesungguhnya keberkatan Ramadan serta ganjaran yang diberikan Allah SWT benar-benar dapat menarik minat umat Islam yang mampu memahaminya.

Kita perlu menginsafi diri sendiri sama ada kita termasuk dalam kategori orang yang berlumba-lumba mengimarahkan masjid atau sebaliknya. Setiap Muslim perlu mengambil peluang mengimarahkan rumah Allah SWT. Pastikan diri cuba untuk berada di masjid atau surau setiap hari, meskipun hanya seketika. Usah lepaskan peluang untuk menjadi hamba-Nya yang berusaha mengimarahkan masjid terutama pada bulan Ramadan.

Termasuk dalam perkara yang sangat baik sekiranya kita dapat berusaha untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. Cubalah pergi ke masjid apatah lagi apabila kita tidak disibukkan urusan makan dan minum pada bulan Ramadan. Bagi yang bekerja, solat fardu Zuhur antara yang boleh diusahakan untuk dilaksana secara berjemaah di masjid. Sesungguhnya pahala besar dijanjikan Allah SWT bagi mereka yang dapat menunaikan solat fardu secara berjemaah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain solat fardu, banyak amal ibadah sunat laing boleh dilakukan secara berjemaah di masjid dalam bulan Ramadan. Antara ibadah sunat hanya terdapat dalam bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawih. Dari sudut bahasa, 'Tarawih' bermaksud berehat atau bersenang-senang. Ini bermakna, solat sunat ini merupakan satu ibadah yang dilakukan dengan tertib dan tenang meskipun bilangan rakaatnya banyak.

Oleh itu, ingin disarankan agar para imam tidak tergesa-gesa semasa mengetuai jemaah menunaikan solat Tarawih. Ia perlu dilakukan secara tertib lebih-lebih lagi bagi meraikan situasi para jemaah yang baru sahaja berbuka puasa. Ada juga masjid memanfaatkan masa rehat semasa solat Tarawih dengan sesi tazkirah ringkas. Usaha ini perlu diberi pujian dan dijadikan ikutan agar majlis ilmu tidak dilupa kerana setiap amal ibadah perlu didasari ilmu.

Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka yang berusaha menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas." (Hadis riwayat Muslim)

Tadarus al-Quran juga antara ibadah yang banyak diadakan di masjid. Ada yang mengadakannya selepas setiap solat fardu, tidak kurang juga mengadakannya selepas selesai solat sunat Tarawih. Amalan baik ini juga perlu kita sertai agar Ramadan dapat diisi dengan ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT. Setiap daripada kita usah takut dengan kualiti bacaan al-Quran masing-masing kerana dengan tadarus al-Quran, ia menjadi satu platform terbaik untuk memperbaiki mutu bacaan di samping mengambil pengajaran daripada ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

Dalam soal mengimarahkan masjid, satu perkara yang ingin disentuh ialah berkenaan dengan penglibatan anak-anak kecil dengan aktiviti-aktiviti di masjid. Usaha ibu bapa membawa anak ke masjid untuk sama-sama menunaikan ibadah merupakan satu usaha yang baik. Anak-anak perlu diberi didikan sejak dari peringkat awal agar hati mereka sentiasa suka melakukan ibadah.

Perkara ini ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Ketika Ibn 'Abbas masih kanak-kanak, beliau menyatakan: "Rasulullah bangun solat malam dan aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri Baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan Baginda." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam masa yang sama, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengingatkan anak-anak agar tidak membuat bising dan mengganggu para jemaah dalam masjid yang sedang melakukan ibadah. Masyarakat juga perlu menegur anak-anak ini dengan cara terbaik agar mereka tidak merasa tersisih ketika berada di masjid. Sememangnya tabiat kanak-kanak perlu ditangani dengan penuh bijaksana, bukan dengan herdikan dan tengkingan yang memalukan.

Jika dikenang kembali, kita pernah terhalang daripada mengimarahkan masjid dan surau semasa negara dilanda Covid-19. Kita tidak dapat pergi ke masjid dan surau termasuk pada bulan Ramadan. Maka sedarlah kali ini kita terus dikurniakan nikmat untuk meraih pahala berada dalam masjid dan surau melaksanakan ibadah secara berjemaah dengan saudara seagama Islam yang lain. Inilah nikmat kurniaan Allah SWT yang wajib disyukuri oleh seluruh umat Islam.

Sebenarnya terlalu banyak aktiviti dianjurkan oleh pihak masjid sepanjang bulan Ramadan. Usah kita lepaskan peluang yang terbuka luas ini untuk sama-sama menghidupkan masjid sepanjang bulan Ramadan. Mudah-mudahan, hasil daripada tarbiah Ramadan ini akan menjadi titik permulaan untuk mendidik diri agar terus mengimarahkan masjid pada bulan-bulan selepas Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran berkenaan para hamba yang mengimarahkan rumah-Nya iaitu masjid dan surau dengan maksud: "Bahawasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk." (Surah at-Taubah, ayat 18)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 5:59 AM