KEPEMIMPINAN yang benar dan adil atas landasan syariat Allah SWT pasti menemui kejayaan. FOTO Arkib NSTP
KEPEMIMPINAN yang benar dan adil atas landasan syariat Allah SWT pasti menemui kejayaan. FOTO Arkib NSTP
Dr Zuraimy Ali

Kepemimpinan dan tanggungjawab sebagai pemimpin adalah amanah. Amanah ini adalah tuntutan agama yang menghendaki setiap pemimpin menyempurnakan amanah dengan sebaik yang mungkin demi memartabatkan agama, rakyat dan negara. Setiap pemimpin pasti akan dipertanggungjawab di hadapan Allah SWT dengan segala apa yang telah dilakukan di dalam kehidupan ini. Jika amanah yang diberikan disia-siakan ataupun disalah gunakan demi kepentingan diri, keluarga mahupun kenalan rapat tanpa memikirkan kebaikan dan kebajikan maslahah ummah maka ia pasti akan disoal dan dipertanggungjawabkan di mahsyar kelak.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin di rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya." (Riwayat Muslim)

Memahami pesanan Rasulullah SAW sudah memadai seseorang sentiasa mengambil peringatan dan tanggungjawab melaksanakan kepemimpinan dengan sebaik yang mungkin dengan memastikan urusan mentadbir negara mahupun negeri memerlukan  tata kelola yang baik, kesantunan terhadap rakyat, keterbukaan di dalam menerima pendapat serta meyakini bahawa segala urusan dan amanah kepemimpinan ini pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Justeru, sebagai rakyat yang mempunyai nilai karamah insaniah (kemuliaan insan kerana kukuh berpegang kepada keyakinan nilai dan adab) sewajarnya sentiasa meletakkan neraca (timbangan) keadilan dan kebenaran ilmu sebagai penanda aras terhadap pencapaian dan kejayaan memimpin negara bukan dengan bisikan ataupun adu domba yang menyimpang daripada asas keadilan dan kebenaran.

Ini kerana keyakinan setiap insan bahawa keadilan Allah SWT di muka bumi ini sentiasa tertegak dengan hujah dan fakta. Allah SWT telahpun mengingatkan hamba-Nya dan utusan-Nya iaitu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat-Nya dan melindungi hamba-Nya atas kebenaran bagi melaksanakan amanah di atas muka bumi ini. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasillah cita-cita segolongan daripada mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepada mu amatlah besar." (Surah An-Nisaa' 4:113)

Lihatlah dengan penuh keyakinan dan akuilah bahawa kepemimpinan yang benar dan adil atas landasan syariat Allah SWT pasti menemui kejayaan manakala kepemimpinan yang tidak bersandarkan kepada keyakinan agama pasti menemui kegagalan bahkan hanya menyesatkan diri sendiri dan menghakis kepercayaan orang lain. Justeru, walau sehebat manapun seseorang cuba untuk mengadu domba ataupun menghalang kebenaran yang dibawa akhirnya ia hanya menghasilkan kegagalan demi kegagalan.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar." (An-Nisaa' 4:114). Lihatlah kebesaran dan keagungan Allah SWT menyingkap sikap tabiat seorang hamba yang diredai-Nya. Jika terlihat pada peribadi seseorang pemimpin yang luar biasa maka tiga ciri ini pasti ada pada peribadi seseorang iaitu pemimpin yang sentiasa menyuruh dan melaksanakan amalan sedekah demi kebaikan ummah, membuat kebajikan dan kebaikan untuk rakyat, melakukan islah demi menjaga hubungan sesama manusia. Kesemua ciri ini boleh ditafsirkan melalui konteks kepemimpinan yang diredai Allah SWT bagi tujuan mendapat kebahagian hidup di dunia dan menjamin ganjaran syurga buat pemimpin yang adil dan melaksanakan kewajipan dengan penuh amanah.

Generasi al-Quran ataupun dikenali sebagai  Jilul Quran  yang memahami intipati al-Quran pasti terkesan dengan saranan al-Quran untuk membina kepemimpinan yang diredai Allah SWT dan seterusnya bangkit bersama membawa perubahan baik terhadap sistem pemerintahan negara dan seterusnya melakukan anjakan serta hijrah bersempena dengan sambutan Maal hijrah tahun ini. Semoga negara Malaysia terus cemerlang di bawah gagasan Malaysia Madani dan diangkat kedudukannya di persada antarabangsa.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 7:00 AM