Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Perbahasan perkaitan manusia dan lokaliti akhir zaman sebagai tanda kiamat akan membawa susuk tubuh yang terkenal sejak zaman Nabi SAW lagi iaitu Musailamah al-Kazzab di Makkah al-Mukaramah. Individu ini muncul sebagai seorang yang mengaku sebagai nabi dengan membawa dakyah penentangan ajaran Islam. Dengan pengaruh yang kuat dalam kalangan Bani Hanifah, Musailamah al-Kazzab mempunyai ramai pengikut yang terpengaruh dengan kebijaksanaan dalam berbicara sehingga menampakkan segala penipuannya sebagai kebenaran.

Pengisytiharan Musailamah sebagai nabi adalah ketika baginda Nabi SAW berada di Madinah. Dia memulakan pengaruhnya di Makkah dengan membawa al-Quran versinya yang ternyata pelik dan janggal apabila didengari. Apabila dia mendengar al-Quran daripada Nabi SAW, dia terus mengeluarkan ayat daripada versinya.

Ketika Musailamah mendengar bacaan daripada sahabat melalui Surah al-'Ashr (Masa), dia terus mengumumkan al-Quran versinya dengan al-Wabar (Bulu). Kisah ini seperti yang dinulkilkan dalam Kitab Ajaib wa Tharaif Abra At-Taarikh oleh Hassan Ramadhan bahawa Amru bin Ash pernah mengirimkan utusan untuk menemui Musailamah.

Musailamah bertemu dengan Amru dan bertanya: "Apa yang telah diturunkan kepada temanmu (Nabi Muhammad SAW) pada waktu ini?" Soalan itu dijawab oleh Amru dengan berkata, "Telah diturunkan kepadanya suatu surah yang ringkas namun mendalam."

"Surah apa?" tanya Musailamah. Amru kemudiannya berkata, "Telah diturunkan kepadanya Surah al-'Ashr yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran serta nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran (Surah al-'Ashr ayat: 1-3)," jawab Amru.

Musailamah berfikir sejenak, lalu mengangkat kepalanya dan berkata, "Aku juga mendapat surah yang sama jenis." Amru yang berasa ingin tahu lantas bertanya, "Apakah ia?" Musailamah pun menjawab yang bermaksud:

"Wahai bulu, wahai bulu. Sesungguhnya kamu hanyalah sebutan dan muncul. Sedangkan keseluruhanmu adalah lubang."

Dalam satu lagi versi yang lain, Musailamah juga mendakwa satu surah lain yang berbunyi: "Wahai kodok betina anak daripada dua pasang katak. Bersihlah apa yang kamu bersihkan. Air tidak kamu kotori. Dan peminum tidak kamu halangi. Kepala di dalam air, sedangkan ekormu di darat."

Apabila dilihat, perbezaan yang ketara antara surah yang diturunkan kepada baginda Nabi SAW dengan versi daripada Musailamah.

Kemunculan pendusta dan mereka yang mengaku sebagai nabi telah wujud pada zaman Rasulullah. Baginda bersabda maksudnya: "Dan sesungguhnya akan muncul dalam kalangan umatku 30 pendusta yang semuanya mengaku menjadi nabi. Ketahuilah aku adalah nabi terakhir dan tiada lagi nabi selepas aku." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis itu, terdapat tanda yang jelas yang disampaikan oleh Nabi SAW tentang situasi pendusta yang mengakui seorang nabi muncul pada akhir hayat baginda dan berterusan sehingga hari ini.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Akan datang pada akhir zaman (kemunculan) dajjal para pendusta. Mereka akan datang kepada kalian dengan ucapan yang tidak pernah kalian dengar. Bahkan ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka. Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahupun mendatangkan fitnah kepada kalian." (Hadis Riwayat Muslim)

Ulama menjelaskan pada akhir hayat Rasulullah terdapat beberapa orang yang mengaku menjadi nabi dan berterusan selepas kewafatan baginda. Mereka pada asasnya adalah berpura-pura bagi mendapatkan pengaruh dan sokongan orang ramai kemudian bertukar menjadi satu bentuk kepercayaan yang dipelopori oleh golongan terbabit.

Perkaitan antara Musailamah dengan Makkah ini merujuk kepada tempat penyebaran dakyah kesesatan yang menyebabkan ramai penduduk sekitar Tanah Arab mula terpengaruh dan mengikuti ajaran Musailamah yang ternyata sesat serta menyesatkan.

Apabila disoroti, Tanah Haram Makkah Mukarramah ini tempat yang paling mulia di sisi Islam yang terdapat padanya Kaabah iaitu kiblat umat Islam di Masjidil Haram.

Sejak zaman Nabi Ibrahim, Masjidil Haram menjadi tempat tumpuan utama bagi manusia sama ada mereka yang mengikut ajaran sekalian nabi atau golongan jahiliah yang menjadikan patung berhala sebagai sembahan mereka.

Baginda Nabi SAW memberi gambaran bahawa Makkah akan mengalami krisis yang teruk dengan beberapa siri pertempuran dan pembunuhan. Baginda bersabda maksudnya: "Akan berperang tiga pihak di sisi Kaabah, semuanya daripada kalangan putera raja. Tidak ada seorang pun yang bakal beroleh takhta yang direbutkan. Kemudian muncul panji hitam dari arah timur, maka mereka memerangi kamu dengan peperangan yang kamu tidak pernah hadapi. (Kemudian Nabi SAW menyebutkan beberapa perkara yang tidak diingati perawi.) Sekiranya kamu sempat dengannya maka berbaiahlah kepadanya sekalipun terpaksa merangkak di atas salji kerana sesungguhnya dialah khalifah Allah al-Mahdi." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini turut disokong oleh sebuah lagi hadis: "Bakal berlaku perselisihan saat kematian khalifah. Lalu muncul seorang lelaki (Imam Mahdi) daripada Madinah lari ke Makkah. Kemudian dia didatangi oleh penduduk Makkah lalu membawanya keluar dari rumah dalam keadaan beliau enggan. Beliau lalu dibaiah di antara Rukn Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim.

"Selepas itu datang satu pasukan dari Syam untuk memerangi beliau, lalu bumi menelan mereka ketika sampai di kawasan Baida'.

"Apabila manusia melihat peristiwa itu, datanglah para Wali Abdal daripada Syam dan pasukan dari Iraq dan memberi baiah kepadanya.

"Kemudian muncul pula lelaki daripada keturunan Quraisy daripada sebelah bapa dan Kalb daripada sebelah ibu untuk memerangi al-Mahdi, namun berjaya dikalahkan. Maka rugilah mereka yang tidak bersama pada ketika itu.

"Al-Mahdi membahagikan ghanimah, memimpin manusia mengikut sunah Nabi dan istiqamah dengan Islam. Beliau hidup selepas itu selama tujuh tahun." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Menurut hadis di atas, selain pertempuran kelas atasan, Masjidil Haram juga bakal menyaksikan seorang pemimpin dibaiah di hadapan Kaabah. Pemimpin berkenaan bergelar al-Mahdi. Beliau bakal memimpin umat Islam sejagat dalam berhadapan dengan musuh Islam. Umat Islam seluruh dunia diwajibkan berbaiah dengan beliau sekalipun terpaksa merangkak di atas salji.

Sebelum berlaku kiamat, Makkah bakal diserang dan dihancurkan oleh seorang berketurunan Habsyi sebagaimana disebut Hadis Nabi SAW:

"Seorang lelaki (Imam Mahdi) bakal dibaiah diantara Rukn Hajr Aswad dan Maqam Ibrahim. Baitullah tidak akan dibebaskan melainkan oleh penduduknya. Maka apabila dibebaskan maka tidak akan ditanya tentang kebinasaan Arab. Kemudian akan datang kaum Habsyah lalu meruntuhkannya sehingga tidak dapat dibina sesiapa lagi. Merekalah yang akan mengeluarkan khazanah Kaabah." (Hadis Riwayat Ahmad)

Gambaran awal berdasarkan hadis permulaan di atas menjelaskan bahawa kedudukan Musailamah Al-Kazzab adalah munculnya pendusta yang mengaku nabi yang juga satu daripada tanda kiamat. Kemudian dalam masa yang sama, munculnya Imam Al-Mahdi sebagai penyelamat kepada manusia yang semakin lama, semakin hilang daripada landasan agama yang sebenarnya.

Justeru, jelaslah di sini, Musailamah Al-Kazzab manusia yang muncul pada awal tanda kiamat kecil dan Imam Al-Mahdi tanda kiamat besar.

Kedudukan lokaliti pula adalah merujuk kepada Makkah Mukaramah yang juga tempat tumpuan umat Islam sedunia pada ketika ini.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 5:59 AM