UMAT Islam perlu memperkukuhkan diri mereka dengan iman dan amal bagi menghadapi cabaran era teknologi AI dalam dunia siber tanpa sempadan
UMAT Islam perlu memperkukuhkan diri mereka dengan iman dan amal bagi menghadapi cabaran era teknologi AI dalam dunia siber tanpa sempadan
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Penggunaan kecerdasan buatan atau  artificial intelligence  (AI) merupakan satu transisi baharu dalam teknologi komunikasi dan informasi yang kini mula dinormalisasikan sedikit demi sedikit dalam kalangan masyarakat. Teknologi AI ini adalah simulasi kepintaran otak manusia dengan pelbagai kemampuan untuk menyelesaikan masalah, malah mampu belajar memperbaiki mutu kerjanya dari semasa ke semasa sehingga dapat berfungsi lebih cekap dan sempurna bagi melaksanakan sesuatu tugasan.

Teknologi AI ini pada dasarnya tidak menjadi satu ancaman sekiranya digunakan dengan cara dan etika yang betul. Namun sebaliknya, jika ia jatuh di tangan orang yang salah atau mereka yang mempunyai agenda tertentu, teknologi ini boleh menjadi satu elemen yang berbahaya. Dalam sektor pendidikan tinggi misalnya, sudah terdapat kebimbangan terhadap peningkatan budaya plagiarisme dan mahasiswa yang malas berfikir dan mengkaji kerana hanya bergantung kepada teknologi AI. 

Dalam arena politik antarabangsa dan tempatan, teknologi ini boleh dimanipulasi bagi menjatuhkan reputasi pihak lawan sekiranya tidak dikawal selia dengan baik. Lebih membimbangkan lagi sekiranya membabitkan aspek agama sehingga tidak mustahil jika ia nanti mampu menggoyahkan kesatuan dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat Islam. Ini kerana musuh Islam sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan dan menghancurkannya. Maka, sudah tentu mereka akan menggunakan secara maksima segala teknologi yang ada. 

Justeru, umat Islam perlu memperkukuhkan diri mereka dengan iman dan amal yang mantap bagi menghadapi cabaran era teknologi AI dalam dunia siber tanpa sempadan ini. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah kamu sekalian dengan pelbagai amalan sebelum datangnya pelbagai fitnah, seperti bahagian malam yang gelap gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di petang harinya. Di petang hari seorang lelaki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan sedikit habuan dunia." (Riwayat Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi)

Serangan pemikiran terhadap Islam, bukan sahaja datang daripada golongan kafir, tetapi juga datang daripada golongan yang bertopengkan Islam. Pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam seperti ajaran sesat, sekularisme, liberalisme, hedonisme, feminisme, LGBT dan sebagainya bebas menyatakan pandangan, malah ada yang gemar mempersendakan ajaran Islam. Demikian juga percampuran antara benar dan salah, tulen dan palsu, hak dan batil, baik dan buruk serta syubahat menjadi semakin sukar untuk ditangani. Kesemua inilah yang melahirkan fitnah siber. 

Tidak mustahil jika fitnah siber ini boleh menjadi tidak terkawal dan akhirnya menjadi semakin buruk sehingga mencetuskan huru-hara, peperangan dan pembunuhan. Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAWbersabda: "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga banyak fitnah muncul, pendustaan berleluasa, pasar-pasar menjadi dekat, waktu semakin singkat dan banyak berlaku al-harj." Ada yang bertanya: "Apakah itu al-harj?" Baginda menjawab: "Pembunuhan."  (Riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Fitnah siber melalui gabungan teknologi AI dan media sosial juga boleh mengakibatkan kesan negatif yang parah. Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah, pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat pada waktu itu akan diberikan amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap pada waktu itu ialah Ruwaibidhah." Ada sahabat bertanya: "Apakah dia Ruwaibidhah itu?" Nabi SAW menjawab: "Orang lelaki hina yang berbicara pada urusan orang ramai." (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)   

Fitnah siber ini juga mungkin yang diisyaratkan dalam hadis 'Abdullah bin 'Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Antara tanda dekatnya hari kiamat ialah orang-orang yang jahat akan diangkat, orang-orang yang baik akan dihina, percakapan akan bebas dibuka, amalan akan disimpan dan akan dibacakan kepada kalangan kaum itu 'al-mathnah'  serta tiada seorang pun di kalangan mereka yang mengingkarinya." Ada yang bertanya: "Apakah dia al-mathnah  itu?" Jawab baginda: "Sesuatu yang dituliskan selain kitab Allah  'azza wajalla."  (Riwayat at-Tabarani dan al-Hakim, katanya: Sahih)  

Sedarlah bahawa fenomena yang kita lihat kini telah pun diperingatkan oleh Nabi SAW sejak lama dahulu. Justeru, persiapkanlah diri kita dengan ilmu dan amal sebelum datangnya fitnah yang lebih besar, iaitu fitnah dajal. Orang yang mampu melepasi kesemua fitnah sebelumnya  insya-Allah  akan selamat apabila melalui fitnah dajal. Maka, bagaimana dapat selamat orang yang gagal mengharungi kesemua fitnah tersebut sebelumnya?

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 6:00 AM