PEMBELAJARAN agama pada sepanjang masa  penting untuk meningkatkan kefahaman.
PEMBELAJARAN agama pada sepanjang masa penting untuk meningkatkan kefahaman.
Dr Mohd. Khafidz Soroni

Antara tanda akhir zaman ialah kejahilan mengenai agama akan berleluasa dan merata. Daripada Anas bin Malik RA katanya: "Sabda Rasulullah SAW: 'Sesungguhnya, antara tanda kiamat ialah ilmu akan diangkat, kejahilan akan merata, arak akan diminum dan zina akan muncul secara terang-terangan.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Situasi ini tidak mustahil berlaku kerana pada masa kini pun sudah ada contohnya dalam kalangan segelintir masyarakat Islam. Meskipun ulama dan ilmuwan agama ramai bertebaran, institusi pendidikan agama tumbuh bak cendawan serta pelbagai kitab ilmu agama terbit saban masa untuk bahan bacaan atau pengajian.

Namun, kerana pelbagai alasan, sikap malas, cetek akal fikiran, suka melayan keinginan nafsu dan sibuk dengan keduniaan, kesemua itu tidak dihiraukan. Bukan mustahil jika segelintir kecil ini mampu 'menjangkitkan' gaya hidup mereka sehingga kemudian hari kelak mampu pula merealisasikan apa yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Nabi SAW mengingatkan kita mengenai perbezaan antara orang bijak dengan orang lemah. Daripada Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Orang bijaksana itu ialah orang yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Orang lemah pula ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan hanya mengharap kepada Allah (agar mengampuninya)." (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad. Kata at-Tirmizi: Hadis hasan)

Orang lemah suka mengikuti dan melayani hawa nafsunya serta hanya mengharap kepada Allah agar mengasihani dan mengampuninya. Orang seperti ini hanya tertipu dengan dirinya sendiri dan akan termasuk dalam golongan yang paling malang di akhirat kelak. Apa yang menyedihkan, orang seperti ini adakalanya didukung oleh golongan yang mengaku intelektual dengan hujah bahawa agama itu mudah, urusan agama adalah hak individu, agama hanyalah urusan antara seseorang dengan Tuhannya dan sebagainya.

Kita tidak bimbang usaha mempermudahkan kefahaman agama kerana proses pemahaman dalam mana-mana sistem pendidikan memang bermula dengan peringkat rendah dan secara beransur membawa kepada peringkat lebih tinggi.

Namun, menganggap kefahaman agama itu sebagai perkara yang boleh diambil mudah adalah penyakit akal pemikiran yang perlu segera dirawat. Penyakit ini yang boleh mengakibatkan penolakan terhadap institusi ulama kerana menganggap ulama hanya tahu menyusahkan.

Justeru, janganlah kita biarkan 'penyakit' kejahilan mengenai agama ini semakin berleluasa. Terdapat beberapa riwayat hadis yang saling mengukuhkan antara satu sama lain menggambarkan tentang bagaimana tahap kejahilan manusia pada akhir zaman, hinggakan mereka akan melihat perkara yang mungkar itu sebagai kebaikan dan melihat perkara kebaikan pula sebagai mungkar.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Bagaimanakah kalian wahai umat manusia, jika wanita kalian melampaui batas dan pemuda kalian menjadi fasik?" Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah itu benar-benar akan terjadi?" Baginda menjawab: "Ya, bahkan lebih dahsyat daripada itu lagi. Bagaimanakah kalian jika kalian meninggalkan usaha mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran?" Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah itu pun akan terjadi?" Baginda menjawab: "Ya, bahkan lebih dahsyat daripada itu lagi. Bagaimanakah kalian jika kalian melihat perkara munkar itu sebagai kebaikan dan melihat perkara kebaikan itu sebagai kemungkaran?" (Riwayat Abu Ya'la dalam Musnadnya dan at-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad daif)

Juga diriwayatkan daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Bagaimanakah kalian jika wanita kalian melampaui batas, pemuda kalian menjadi fasik dan kalian meninggalkan jihad?" Sahabat bertanya: "Adakah itu benar-benar akan terjadi, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya, bahkan lebih dahsyat daripada itu juga akan terjadi. Bagaimanakah kalian jika kalian tidak mengajak kepada kebaikan dan tidak melarang daripada kemungkaran?" Sahabat bertanya: "Adakah itu pun akan terjadi, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya, bahkan lebih dahsyat daripada itu juga akan terjadi. Bagaimanakah kalian jika kalian melihat perkara kebaikan itu sebagai kemungkaran dan melihat perkara munkar itu sebagai kebaikan?" Sahabat berkata: "Adakah itu pun akan terjadi, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya, bahkan lebih dahsyat daripada itu juga akan terjadi. Allah Taala berfirman: Aku bersumpah dengan zat-Ku, Aku pasti akan memberikan kepada mereka suatu fitnah sehinggakan orang yang baik dalam kalangan mereka pun akan menjadi kebingungan". (Riwayat Ibnu Abi ad-Dunya dalam al-Amr bil Ma'ruf wan-Nahy 'anil Munkar dengan sanad daif)

Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita daripada pelbagai godaan nafsu, syaitan dan dunia.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad, Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 4:59 PM