Dr Mohd Khafidz Soroni

ANTARA perkara yang cukup membimbangkan di era media sosial kini ialah rasa ketidakpedulian terhadap aspek dosa dan maksiat yang dilakukan oleh lidah dan jari jemari manusia. Seolah-olah apa yang diluahkan tidak akan dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hampir saban hari kita melihat perbuatan memfitnah, mengumpat, mencaci maki, menghina, membuli, mempersenda, mencarut dan pelbagai lagi akhlak buruk semakin berleluasa. Padahal Rasulullah SAW bersabda: "Mencaci seorang Muslim itu adalah satu perbuatan fasik." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika ada orang fasik yang membawa khabar berita tentang sesuatu perkara atau diri seseorang, maka khabar berita itu terus diterima bulat-bulat tanpa usul periksa, bahkan dianggap bukti yang sudah patut dan layak diputuskan hukuman berdasarkannya. Walhal, Allah SWT menyuruh kita supaya bertabayyun dan jangan berprasangka. Rasulullah SAW bersabda: "Waspadalah kamu sekalian daripada berprasangka, kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sedusta-dusta percakapan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah kamu sekalian tahu apakah itu mengumpat?" Sahabat menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda membalas: "(Iaitu) kamu membicarakan tentang saudaramu dengan sesuatu yang dia benci." Seseorang bertanya: "Bagaimanakah menurut tuan jika memang terdapat pada saudaraku itu seperti apa yang aku ucapkan?" Baginda menjawab: "Jika memang terdapat padanya seperti apa yang kamu ucapkan, maka bererti kamu telah mengumpatnya. Namun, jika tidak terdapat padanya, maka bererti kamu memfitnahnya." (Riwayat Muslim)

Sebenarnya, pilihan untuk menjauhi perbuatan keji ini ada di tangan kita. Hanya terpulang kepada diri kita sama ada mahu memilih yang baik atau buruk, pahala atau dosa dan syurga atau neraka. Cabaran untuk memilih antara dua pilihan ini hakikatnya kita hadapi setiap hari sebagaimana sabda Rasulullah SAW:‎‏ "Setiap manusia akan keluar ‎pada waktu pagi dalam keadaan meniagakan dirinya, sama ada dia akan memerdekakannya atau ‎membinasakannya."‎ (Riwayat Muslim) ‏

Imam an-Nawawi mengulas: "Maka, ada orang yang menjual dirinya kepada Allah Taala dengan mentaati-Nya, lalu dia memerdekakan dirinya daripada azab. Dan ada orang yang menjual dirinya kepada syaitan dan hawa nafsu dengan menurutinya, lalu dia membinasakan dirinya."

Justeru, wajib kita berusaha untuk memerdekakan diri kita daripada api neraka, walaupun kita terpaksa memilih 'sikap lemah' dan tidak popular. Kata Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang kepada kamu sekalian suatu zaman yang mana seseorang perlu memilih antara sikap lemah dan sikap zalim. Maka, sesiapa yang sempat hidup pada zaman itu, maka hendaklah dia memilih sikap lemah berbanding sikap zalim." Menurut al-Haithami dalam Majma' az-Zawa'id: "Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Ya'la daripada seorang syeikh daripada Abu Hurairah RA, dan baki perawinya adalah thiqah."

Syeikh yang tidak dinyatakan namanya itu disebut oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak sebagai Sa'id bin Abi Jubairah dan kata beliau: "Sahih sanadnya." Penilaiannya diikuti oleh al-Hafiz az-Zahabi, meskipun status Sa'id belum dapat diketahui jelas. Namun, terdapat sokongan terhadap matan hadis berkenaan daripada kata-kata Huzaifah bin al-Yaman RA yang diriwayatkan oleh Nu'aim bin Hammad dalam kitab al-Fitan.

Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman meletakkan hadis berkenaan di bawah tajuk 'meninggalkan sifat marah, menahan kemarahan dan memberi kemaafan ketika rasa berkuasa'. Manakala dalam kitab az-Zuhd al-Kabir, beliau berkata: "Justeru, jalan orang yang mencari akhirat adalah dia perlu memilih sikap lemah ke atas sikap zalim dan jangan menjadi seperti seekor anjing yang membaham, walaupun dia terpaksa dibaham."

Memilih 'sikap lemah' ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah orang yang kuat itu ditentukan dengan bergusti, tetapi sesungguhnya orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah, sikap ini turut diberikan ganjaran pahala. Abu Zar RA pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tidak mampu melakukan sebahagian daripada amalan?" Baginda SAW menjawab: "Kamu hendaklah menahan kejahatanmu terhadap orang lain kerana itu pun adalah sedekah daripadamu ke atas dirimu sendiri." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, bertindak bijaklah dalam menggunakan media sosial. Janganlah rela dan tega menghumbankan diri ke lembah kebinasaan. Insaf dan berfikirlah secara waras. Jadilah seorang yang benar-benar mukmin sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencaci, melaknat, bersifat keji mahu pun bermulut celupar." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:59 AM