TEKNOLOGI terkini termasuk di media sosial dikhuatiri menjadi faktor penyumbang kepada gejala zina.
TEKNOLOGI terkini termasuk di media sosial dikhuatiri menjadi faktor penyumbang kepada gejala zina.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Jika kita amati pada satu sisi masyarakat Islam mutakhir ini wujud perkembangan kesedaran agama yang agak baik. Sebagai contoh, ini dapat dilihat pada sifat prihatin mereka dengan jihad yang berlaku di Gaza, kempen solat Subuh seperti solat Jumaat, pemantapan integriti pegawai penguat kuasa, pemerkasaan mahkamah syariah, penolakan terhadap pemikiran songsang, pertumbuhan sekolah agama atau tahfiz, peningkatan kadar zakat dan sebagainya.

Namun pada satu sisi yang lain, terdapat segelintir masyarakat yang seolah-olah tidak ambil peduli dengan semua itu dan lebih sibuk dengan keseronokan duniawi serta runtunan hawa nafsu mereka semata-mata. Soal agama diketepikan atau memahami agama daripada sudut yang amat sempit sekali. Ini mengakibatkan kesan negatif yang serius berhubung masalah moral, gejala sosial dan jenayah syariah.

Persaingan antara sisi hak dan batil ini meskipun telah lama ada sejak wujudnya pertentangan antara Adam AS dan Iblis, namun perkara ini akan lebih berleluasa pada akhir zaman. Daripada Anas bin Malik RA katanya: "Sabda Rasulullah SAW: 'Sesungguhnya, antara tanda kiamat ialah ilmu akan diangkat, kejahilan akan merata, arak akan diminum dan zina akan muncul secara terang-terangan.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perbuatan zina adalah satu dosa besar yang jelas disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah al-Isra': 32)

Meskipun larangan ini jelas, realitinya bergantung kepada iman setiap individu. Orang yang nipis imannya atau imannya mudah keluar masuk, apatah lagi yang tiada iman dalam hatinya mempunyai potensi untuk mudah terjebak kepada perbuatan keji ini. Abu Hurairah RA berkata: "Sabda Nabi SAW: 'Tidaklah seseorang itu berzina ketika sedang berzina, dia dalam keadaan Mukmin. Tidaklah seseorang itu minum arak ketika sedang meminumnya, dia dalam keadaan Mukmin. Dan tidaklah seseorang itu mencuri ketika sedang mencuri, dia dalam keadaan Mukmin.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: 'Apabila seseorang hamba berzina maka keluarlah iman daripadanya, sedangkan dia seumpama payung ke atasnya. Apabila dia meninggalkannya maka iman itu kembali semula kepadanya.'" (Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi dan al-Hakim, katanya: Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)

Nabi SAW pernah diperlihatkan gambaran keadaan ahli neraka, antara sabdanya: "Kemudian aku dibawa lagi kepada satu kaum yang amat dahsyat bengkaknya, sangat buruk rupanya dan paling busuk baunya seolah-olah mereka itu berbau tandas. Maka, aku bertanya: Siapa mereka ini? Lalu dijawab: Penzina lelaki dan perempuan." (Riwayat Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, at-Tabarani, al-Hakim dan al-Baihaqi. Hadis sahih)

Bukan sahaja zina, liwat atau seks songsang juga termasuk dosa besar yang ditegah oleh syarak. Daripada Jabir RA katanya: "Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti ke atas umatku adalah perbuatan kaum Lut.'" (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Semoga Allah melaknati orang yang melakukan perbuatan kaum Lut", baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, at-Tabarani dan al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)

Sebab itu golongan yang menjadi faktor pendorong ke arahnya juga mendapat laknat. Ibn Abbas RA berkata: "Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki." (Riwayat al-Bukhari)

Imam az-Zahabi (wafat 748H) menggolongkan perbuatan menyerupai ini dalam dosa besar yang ke-28 dalam al-Kaba'ir wa Tabyin al-Maharim.

Kini, media sosial dan penyiaran filem berbayar yang tidak bertapis turut dikhuatiri menjadi faktor penyumbang kepada gejala keji ini. Justeru, pihak berkuasa perlulah memantau dengan ketat perkara ini agar tidak memberi kesan negatif yang serius pada kemudian hari nanti. Ini kerana pelaku perbuatan keji ini tidak mengira sama ada daripada golongan terpelajar atau tidak kerana kedua-duanya tetap sama mempunyai hawa nafsu.

Walaupun bijak dan terpelajar, sekiranya tidak mendapat taufik daripada Allah SWT bukan mustahil untuk terjerumus melakukannya. Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan mereka ini dengan bangganya mendukung perbuatan keji yang dilakukan oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Golongan ini kebiasaannya 'menghalalkan' pemikiran mereka dengan menolak autoriti hadis, institusi ulama dan memahami al-Quran dengan akal serta hawa nafsu semata-mata. Adakah mereka ini sudah cukup berani untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak?

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:00 AM