GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Izham Hakim Redzan

Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, bulan yang diturunkan kepadanya al-Quran dan bulan yang banyak dilakukan amalan kebaikan. Perkara ini disebutkan di dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Salman al-Farisi RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW pada akhir bulan Syaaban berkhutbah kepada kami, beliau bersabda: "(Wahai manusia! telah datang pada kalian bulan yang agung dan penuh berkat. Di dalamnya terdapat satu malam yang di dalamnya lebih baik dari 1,000 bulan.

Allah menjadikan puasa pada siangnya sebagai kewajipan, dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunat. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan satu kebaikan seolah-olah dia mengerjakan satu ibadat wajib pada bulan yang lain. Dan barangsiapa yang mengerjakan satu perbuatan wajib seolah-olah dia mengerjakan 70 kebaikan di bulan yang lain. Ramadan adalah bulan kesabaran, dan kesabaran itu balasannya adalah syurga Allah. Ia juga adalah bulan tolong-menolong, di mana di dalamnya rezeki seorang mukmin bertambah. Barangsiapa memberikan makanan berbuka kepada seorang yang berpuasa, maka itu menjadi pengampunan atas dosa-dosanya, penyelamatnya dari api neraka dan dia memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.

Kemudian berkata salah seorang daripada sahabat: (Wahai Rasulullah! tidak semua dari kita memiliki makanan untuk diberikan sebagai makanan berbuka orang yang berpuasa). Maka Rasulullah SAW berkata: (Allah memberikan pahala tersebut kepada orang yang memberikan makanan berbuka walaupun sebutir kurma atau satu teguk air atau sedikit susu. Ramadan adalah bulan yang permulaannya 'rahmat', pertengahannya 'pengampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka)." (HR al-Baihaqi)

Antara petanda kepada keberkatan bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu. Selain itu, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "(Apabila bulan Ramadan datang, maka pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu)." (HR Muslim)

Berkata Imam Al-Izz Bin Abdussalām (w660H) di dalam kitabnya Maqāṣid Aṣ-Ṣawm: "(Maksud terbukanya pintu-pintu syurga adalah disebabkan banyaknya amalan baik dilakukan menyebabkan pintu-pintu syurga terbuka. Manakala, makna tertutupnya pintu-pintu neraka disebabkan kurangnya dosa dan maksiat dilakukan menyebabkan pintu-pintu neraka ditutup. Adapun maknanya syaitan-syaitan dibelenggu kerana mereka tidak mampu untuk menggoda anak adam kerana mereka tidak berhasrat untuk melakukan dosa dan maksiat)."

Bahkan dikhususkan pada bulan yang mulia ini satu pintu daripada pintu-pintu syurga dikenali sebagai  Ar-Rayyān merupakan pintu masuk bagi orang-orang berpuasa di akhirat kelak. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh daripada Sahl bin Saad RA: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyān, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti." (HR Bukhari & Muslim)

Disebabkan bulan Ramadan ini merupakan bulan banyak dilakukan kebaikan, bulan penuh keberkatan, bulan di mana Allah SWT melipatkan ganda amalan kebaikan hamba-Nya dan bulan orang berpuasa di dalam menjadi seperti malaikat ketika mana mereka pada siang harinya berpuasa dan pada malam harinya menyibukkan diri dengan beribadat maka diangkat bulan Ramadan sebagai penghulu bagi segala bulan-bulan. Ini adalah seperti diriwayatkan di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Qhudrī RA, Nabi SAW bersabda: "Penghulu bagi segala bulan ialah bulan Ramadan." (HR al-Bazzār)

Disebabkan keistimewaan bulan ini maka Allah SWT memilih bulan Ramadan sebagai bulan diturunkan padanya al-Quran. Ini seperti yang telah disebutkan di dalam firman Allah SWT: "Bulan Ramadan bulan yang diturunkan al-Quran." (al-Baqarah: 185)

Oleh itu, disunatkan ke atas orang Islam memperbanyakkan membaca al-Quran pada bulan Ramadan. Hal ini kerana puasa dan al-Quran adalah antara perkara yang akan memberi syafaat kepada kita pada hari kiamat kelak. Di dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Amr RA, Nabi SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhanku! Aku telah menahan hambaMu daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahan hambaMu daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, diizinkan kedua-duanya (puasa & al-Quran) memberi syafaat kepada orang yang melakukannya." (HR Ahmad dan Tabarāni)

 Allah SWT telah berfirman di dalam sebuah ayat: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah:186)

Ayat ini menjelaskan tujuan pensyariatan puasa ke atas orang Islam. Bukanlah tujuan pensyariatan puasa adalah menahan diri daripada lapar, minum dan perkara yang membatalkan puasa daripada waktu fajar sehingga terbenam matahari semata-mata, akan tetapi antara maksud utama daripada puasa adalah kesan menahan diri daripada lapar dan dahaga itu, yakni dengan menahan nafsu syahwat dengan berjihad berbekalkan perisai  sabar dan takwa.

 Maka, tidak terzahirnya makna  takwa  dan  sabar  itu kecuali dengan meninggalkan perkara yang sia-sia, mengumpat, mengadu domba, berbohong, berhenti daripada mendengar perkara yang makruh dan haram, merendahkan penglihatan daripada perkara yang dimurkai Allah SWT dan lain-lain lagi. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: "Puasa adalah pelindung, apabila ada seseorang di antara kamu yang berpuasa, janganlah dia berkata yang kotor dan janganlah pula dia bertindak bodoh. Jika seseorang mencela atau berbuat buruk kepadanya, katakanlah: "Saya sedang berpuasa." (HR Bukhari & Muslim)

Inilah hikmah pensyariatan puasa kepada umat Islam. Ada sebahagian daripada ulama tafsir mentafsirkan firman Allah SWT yang telah disebutkan (supaya dengan berpuasa kamu bertakwa) [Al-Baqarah:186] bermaksud semoga kamu menjadikan puasa sebagai pelindung di antara diri kamu dan nafsumu dengan cenderung kepada perkara-perkara yang dilarang, perkara-perkara mungkar dan dosa-dosa. Apa yang dimaksudkan bahawa puasa itu adalah perlindungan daripada dua musuh anak Adam iaitu nafsu dan syaitan.

Manakala, ada sebahagian ulama seperti Imam Imam Al-Izz Bin Abdussalām mentafsirkan bahawa ayat: "Supaya dengan berpuasa kamu bertakwa" - (Al-Baqarah:186). Ia bermaksud dengannya adalah supaya kamu bertakwa dengan menjauhi amalan yang dapat membawa kepada api neraka dengan berpuasa. Ini kerana puasa adalah sebab kepada keampunan daripada dosa yang dapat membawa ke neraka jahanam. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW berfirman di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada hambanya berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan dan menjadikan bulan ini bulan kemenangan kepada hambanya yang lemah di bumi Palestin, Gaza dan seluruh pelusuk dunia.


Penulis Alumni Institut Dar Hadith Hassania Universiti Al-Qarawiyyin, Maghribi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 6:01 AM