PUASA memupuk sifat kehambaan, bersyukur dengan nikmat diperoleh dan mendisiplinkan diri dalam mengendalikan nafsu.
PUASA memupuk sifat kehambaan, bersyukur dengan nikmat diperoleh dan mendisiplinkan diri dalam mengendalikan nafsu.
Oleh Prof Madya Dr Azri Bhari

Ramadan sangat berbeza dengan bulan lain kerana sarat pelbagai amalan yang penuh barakah, bulan diturunkan kitab suci al-Quran dari Luh Mahfuz ke langit dunia seterusnya kepada Rasulullah SAW dan sarat dengan keampunan serta limpahan gandaan ganjaran pahala.

Secara bahasa, puasa bermakna menahan diri, manakala menurut istilah ialah menahan diri daripada makan, minum dan hawa nafsu daripada terbit fajar hingga matahari terbenam.

Kewajiban berpuasa bermula pada tahun kedua Hijriah di Madinah setelah kewajiban solat diturunkan. Terdapat beberapa tujuan dan objektif ibadat puasa Ramadan berdasarkan al-Quran serta hadis.

Pertama, mencapai takwa di sisi Allah SWT atau mendekatkan diri kepada Allah SWT. Langkah untuk menjadikan seseorang hamba lebih dekat dengan Allah SWT adalah memanfaatkan momentum ibadah puasa dengan niat ikhlas.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)

Imam al-Munawi menjelaskan takwa ialah menjadikan diri dalam keadaan berjaga-jaga daripada setiap yang ditakuti. Justeru, takwa adalah menjaga ketaatan kepada Allah SWT daripada seksaan-Nya dan memelihara diri daripada melakukan maksiat yang mengakibatkan pembalasan azab. Orang bertakwa akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga ketika bertindak.

Kedua, membentuk peribadi sentiasa bersyukur. Ibadat puasa dapat menumbuhkan rasa syukur kepada Allah SWT. Seseorang yang menjalani ibadat puasa akan dapat menghayati kelebihan setiap nikmat kekenyangan, kekuatan dan kesegaran yang dirasai ketika tidak berpuasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "…Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah: 183)

Imam Izzuddin Abd al-Salam menjelaskan menjalankan puasa Ramadan boleh membuatkan seseorang bersyukur.

Ketika berpuasa, manusia menjadi tahu nikmat Allah kepadanya iaitu berasa kenyang dan hilang rasa dahaga yang menjadikan seseorang bersyukur kerana kenikmatan tidak diketahui kadar serta nilai tanpa melalui rasa kehilangan nikmat terlebih dahulu.

Ketiga, melatih dan membentuk disiplin diri. Kewajiban berpuasa ini menjadikan setiap Muslim dapat mendisiplinkan diri untuk sentiasa menjalankan perintah dan ketetapan daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Islam dibina di atas lima perkara iaitu bersaksi tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba serta utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan berpuasa Ramadan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, terdapat juga hadis tentang menahan syahwat dengan cara berpuasa kerana dapat melatih dan mendisiplinkan diri seseorang Muslim dalam mengendalikan hawa nafsu.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai pemuda, sesiapa yang mampu untuk berkahwin, berkahwinlah, sesungguhnya berkahwin boleh menundukkan pandangan dan lebih mudah menjaga kemaluan. Sesiapa yang belum mampu berkahwin, maka berpuasalah, sesungguhnya puasa itu adalah mampu mengekang syahwat." (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari)

Keempat, mengharap keampunan daripada Allah SWT. Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang berpuasa semata-mata kerana memohon reda dan keampunan daripada-Nya. Bahkan, Allah SWT bersedia mengampuni dosa hamba-Nya yang lalu.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosanya yang lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelima, meraih dan mendapatkan syurga Allah SWT. Salah satu keistimewaan Ramadan adalah dibuka pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka serapat-rapatnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ketika datang (bulan) Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: "Telah datang Ramadan, bulan penuh barakah, maka Allah mewajibkan kalian untuk berpuasa pada bulan itu. Saat itu pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan diikat dan pada bulan itu pula terdapat satu malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan." (Riwayat Ahmad)

Demikianlah tujuan dan objektif puasa yang ditentukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis untuk menjadi matlamat serta sasaran utama setiap masyarakat Islam yang perlu direbut.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 7:01 AM