KUALA TERENGGANU 12 APRIL 2021. Ahli Jawatankuasa Melihat Anak bulan  melakukan cerapan anak bulan  bagi menentukan permulaan Ramadan bagi umat islam di Puncak Bukit Besar hari ini. Umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini bermula esok pada 13 April bersamaan 1 Ramadhan 1442 (Hijrah). STR/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU 12 APRIL 2021. Ahli Jawatankuasa Melihat Anak bulan melakukan cerapan anak bulan bagi menentukan permulaan Ramadan bagi umat islam di Puncak Bukit Besar hari ini. Umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini bermula esok pada 13 April bersamaan 1 Ramadhan 1442 (Hijrah). STR/GHAZALI KORI
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Apabila memasuki bulan Syaaban, maka setiap orang Islam pastinya akan memulakan persiapan untuk menghadapi bulan Ramadan yang mulia. Antara persiapan yang paling penting ialah mempersiapkan diri bagi menghadapi segala ujian dan cabaran berpuasa pada Ramadan.

Puasa Ramadan bukanlah sekadar ibadat yang memerlukan kesabaran untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga, tapi menuntut setiap Muslim untuk menjaga diri daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT sama ada melalui perkataan, perbuatan mahupun hati.

Rasulullah SAW dalam banyak hadis menegaskan mengenai adab atau etika di bulan Ramadan. Antara pesanan paling penting untuk diambil peringatan ialah sebagaimana hadis baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam menghadapi ujian ketika bulan Ramadan, persediaan rapi sudah pasti menjadi bekalan paling berguna. Perkara pertama yang perlu disediakan ialah kesediaan untuk mengharungi setiap hari bulan Ramadan dengan berpuasa. Berpuasa bermakna meninggalkan makan dan minum pada siang hari pada bulan Ramadan daripada pagi sehingga petang. Sepanjang masa lebih kurang 12 ataupun 13 jam, mereka tidak dibenarkan makan atau minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Puasa Ramadan diwajibkan ke atas setiap Muslim. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Dalam persiapan menghadapi bulan Ramadan juga terdapat banyak hadis yang merujuk kepada puasa sunat bulan Syaaban. Antaranya ialah hadis daripada Abu Salamah (RA) yang bertanyakan Aisyah (RA) tentang puasa Rasulullah SAW, beliau menjawab: "Baginda biasanya berpuasa sampai kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus). Dan beliau berbuka sampai kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka. Dan aku tidak melihat beliau berpuasa yang lebih banyak dibandingkan pada bulan Syaaban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Syaaban semuanya dan biasanya beliau berpuasa pada bulan Syaaban kecuali sedikit." (Hadis Riwayat Bukhari)

Biasanya bulan Ramadan adalah bertepatan dengan musim panas. Inilah juga sebenarnya maksud asal daripada perkataan Ramadan yang membawa makna panas. Iaitu pada awalnya menjadi kelaziman musim panas itu adalah musim ataupun kebetulan dengan bulan Ramadan. Situasi itu juga mungkin menjadi cabaran apabila berpuasa dengan tidak makan dan tidak minum walaupun mungkin merasai kelaparan atau dahaga yang lebih daripada musim biasa.

Menjadi kelaziman pada bulan Ramadan juga, suasana kemeriahan dapat dilihat di seluruh pelosok dunia. Semua masyarakat Islam di seluruh dunia mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadan dengan sepenuh kemampuan yang mereka ada. Ada yang sanggup bercuti sepanjang Ramadan semata-mata untuk menumpukan kepada ibadat bagi memenuhi bulan Ramadan.

Di samping ada juga pihak yang melonggarkan atau mengurangkan masa bekerja harian yang biasa untuk memberi peluang kepada pekerja untuk mendapatkan masa yang lebih bagi bersedia untuk menghadapi bulan Ramadan. Manakala di beberapa tempat, mereka menghias masjid atau surau dan menceriakan tempat ibadat ini semata-mata untuk menghadirkan rasa atau suasana bulan Ramadan yang mulia.

Bertepatanlah dengan anjuran Nabi SAW supaya kita bersedia menerima kehadiran bulan Ramadan ini. Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat, Allah mewajibkan puasa di bulan tersebut, dibukanya pintu-pintu syurga dan ditutupnya pintu-pintu neraka, dan dibelenggunya para syaitan, di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, barangsiapa yang tidak mendapatkan kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia adalah orang yang tidak mendapatkan kebaikan." (Hadis Riwayat Ahmad)

Ini adalah contoh manifestasi ibadat yang ditunaikan di dalam bulan Ramadan ini dengan ganjaran berlipat ganda daripada Allah SWT. Tujuan utama adalah untuk memberi motivasi kepada umat Islam bagi mengambil peluang ganjaran pahala yang berlipat ganda ini semasa bulan Ramadan. Ini juga menjadi satu keistimewaan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW. Ganjaran pahala yang berlipat ganda ini akan menjadi pendorong kuat untuk umat Islam beribadat lebih khusyuk dan ikhlas.

Merujuk kepada persediaan menghadapi bulan Ramadan, perlu diambil perhatian bahawa di samping menyiapkan diri dengan kemampuan untuk berpuasa, penting juga persiapan ilmu untuk menghadapi bulan Ramadan dengan mengulangkaji perkara berkaitan dengan ibadat puasa secara khusus. Peluang dan kesempatan yang ada perlu digunakan untuk mengulangkaji hal ehwal berkaitan ibadat puasa seperti merujuk kembali konsep dan perkara berkaitan seperti rukun puasa, syarat wajib puasa, perkara disunatkan ketika berpuasa, perkara membatalkan puasa dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan minum, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan perkataan keji." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, setiap Muslim apabila menghampiri bulan Ramadan mestilah berusaha untuk mempersiapkan diri dengan sebaiknya bagi menghadapi ibadat puasa dan bersedia menunaikan ibadat lain semasa bulan Ramadan demi mencapai ganjaran besar daripada Allah SWT. Seterusnya, akan mencapai hikmah daripada ibadat puasa ini iaitu membawa kepada takwa.

Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 6:15 AM