PUASA dapat membina kecerdasan minda dan menghasilkan emosi positif serta memberi kekuatan kerohanian.
PUASA dapat membina kecerdasan minda dan menghasilkan emosi positif serta memberi kekuatan kerohanian.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Alhamdulillah, kita diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk berada pada bulan Ramadan bagi tahun 1444 Hijrah. Bulan Ramadan merupakan bulan keberkatan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT dengan pelbagai keistimewaan antaranya dilipat gandakan amalan, terdapatnya Lailatul Qadar dan bulan diturunkan al-Quran. Selain itu, Ramadan adalah bulan diwajibkan umat Islam berpuasa.

Hal ini seperti dalil dalam al-Quran yang bermaksud: "Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah ayat 183). Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: "Telah datang kepada kalian bulan yang penuh berkat, diwajibkan kepada kalian ibadah puasa, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapatkan kebaikannya bererti ia benar-benar terhalang (daripada kebaikan).

Puasa membawa maksud menahan diri daripada makan minum serta tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar (Subuh) sehingga terbenam matahari (Maghrib). Apabila dilihat dengan definisi puasa ini, boleh dilihat bahawa puasa itu sebenarnya memupuk diri berdisiplin.

Istilah menahan diri dalam definisi puasa mempunyai makna yang amat besar dalam membentuk disiplin. Dalam berpuasa, umat Islam dilarang makan dan minum, dilarang juga melakukan perkara yang akan membatalkan puasa seperti melakukan hubungan suami isteri di siang hari, merokok, memasukkan sesuatu sehingga sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka dan lain-lain. Jika ia tidak diikuti, maka akan membawa kepada kesan puasa seseorang itu tidak sah dan tidak diterima oleh Allah SWT. Jadi sudah tentu orang yang berpuasa secara automatik perlu berdisiplin agar amalan puasanya diterima dan memperoleh ganjaran daripada Allah SWT.

Selain itu, daripada dalil al-Quran yang dinyatakan di atas, kesan daripada ibadat puasa yang berdisiplin akan membawa kepada ketakwaan. Apabila berbicara tentang ketakwaan, ia merangkumi semua perintah Allah sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan Allah SWT. Hal ini merangkumi tuturkata, emosi, minda, hubungan siaturrahim dan sebagainya.

Justeru itu, bertitik tolak dari ini, jadikan Ramadan tranformasi untuk mendisiplinkan diri dalam kehidupan harian dalam kehidupan kita. Selama sebulan kita melalui pentarbiahan ibadat puasa ini, dapatlah digariskan bentuk disiplin yang boleh terhasil iaitu:

1. Mendisiplinkan diri untuk mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh agama sama ada melalui peraturan yang telah digariskan oleh syarak dan yang telah disusun oleh ulil amri bagi memastikan kehidupan umat selari dengan kehendak agama.

2. Mendisiplinkan diri untuk menjaga kesihatan fizikal, mengawal pemakanan agar kesihatan menjadi lebih baik dan mengelak daripada penyakit yang hadir melalui pemakanan yang tidak dikawal.

3. Mendisiplinkan emosi dan minda. Puasa dapat membina kecerdasan minda dan minda yang positif akan menghasilkan emosi positif serta memberi kekuatan kerohanian. Ketika kita berpuasa, kita dapat mengelakkan diri daripada berfikiran negatif, seterusnya menghindarkan kita daripada bertutur kata yang negatif sekali gus menjauhkan kita daripada bersangka buruk.

4. Mendisiplinkan diri untuk menjaga hubungan silaturahim. Perkara ini dapat dikecapi dengan banyak menerapkan suruhan Allah SWT dengan banyak bersedekah, lebihkan memberi daripada menerima serta sentiasa ikhlas.

Kesimpulannya, pentarbiahan Ramadan melalui ibadat puasa akan membuatkan diri seseorang itu berdisiplin. Disiplin amat penting dan ia merupakan nilai yang sangat releven pada setiap dimensi hidup kita.

Daripada soal peribadi sehinggalah cabaran-cabaran kemasyarakatan, disiplin merupakan anak kunci yang menentukan kejayaan atau kemunduran kita.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 7:00 AM