FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Mohd Hasrul bin Shuhari

Menurut Ismail Abdul Rahman dalam bukunya yang berjudul Konsep dan Kedudukan Bangsa Pilihan Menurut Agama Islam dan Agama Yahudi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kerajaan Nabi Daud AS kekal sekitar 40 tahun yang merupakan permulaan zaman kegemilangan Kerajaan Bani Israel. Berdasarkan catatan Prof. Dr Mohsen Mohammad Saleh dalam bukunya Isu Palestin: Latar Belakang dan Kronologi Perkembangannya Sehingga Tahun 2000, Nabi Daud AS memerintah bermula sekitar tahun 1004 SM sehingga tahun 963 SM (diakui terdapat perbezaan tahun Sebelum Masihi dalam kalangan penulis, namun ia tidak terlalu jauh yakni sekitar kurun yang sama).

Kemudian, pemerintahannya diambil alih anaknya iaitu Nabi Sulaiman AS juga selama sekitar 40 tahun seperti dalam catatan Ismail Abdul Rahman tadi. Di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman AS, Palestin menerima pelbagai aktiviti pembinaan, pembangunan dan kemajuan yang sangat hebat.

Allah SWT telah memudahkan Nabi Sulaiman AS dengan bantuan jin, haiwan dan angin. Ini merupakan mukjizat Nabi Sulaiman AS kurniaan Allah SWT setelah baginda AS berdoa memohon dikurniakan pemerintahan yang luar daripada kebiasaan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Katanya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya."

Maka (Kami kabulkan permohonannya) Kami mudahkan baginya menggunakan angin bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke mana sahaja hendak ditujunya; Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu. (Serta Kami katakan kepadanya): "Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu). Dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia di sisi Kami, serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak)." (Surah Sad ayat 35 – 40) Firman Allah SWT dalam surah yang lain yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman. Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami diberikan serba sedikit daripada tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (daripada Allah) yang jelas nyata." Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, daripada jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing." (Surah al-Naml ayat 15 – 17) Nabi Sulaiman AS boleh bergerak pantas ke satu tempat menggunakan angin.

Perjalanan mengambil masa sebulan disingkatkan separuh hari. Contohnya, jika bertolak bermula tergelincir matahari (waktu Zuhur), maka Nabi Sulaiman AS akan sampai ke destinasinya menjelang waktu Maghrib.

Ia disebut dalam kitab Tafsir al-Jalalain berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya. Sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan…" (Surah Saba' ayat 12) Nabi Sulaiman juga dibantu oleh para wali Allah SWT yang lain meskipun baginda AS sendiri boleh melakukannya jika diizinkan Allah SWT.

Contohnya, karamah seorang alim wali Allah memberi khidmat kepada Nabi Sulaiman AS yang pantas memindahkan singgahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata sahaja berbanding Jin Ifrit yang hanya boleh memindahkannya dalam tempoh Nabi Sulaiman AS bangkit dari tempat duduknya. Menurut kitab Tafsir al-Jalalain, maksud bangkit dari tempat duduknya ialah setelah selesai majlis Nabi Sulaiman AS bermula pagi hingga tengah hari.

Ertinya, jika Jin tersebut membawa singgahsana bermula waktu pagi, maka ia hanya sampai menjelang waktu tengah hari. Tetapi Nabi Sulaiman AS ingin pemindahan itu dilakukan lebih pantas sepertimana yang disebut juga dalam Tafsir Ibn Kathir. Menurut Tafsir al-Baghawi, majoriti ulama tafsir menyatakan individu yang berjaya memindahkannya secara lebih pantas adalah bernama Asif bin Barkhiya.

Beliau digelar al-Siddiq yang mengetahui nama Allah yang agung (Ism al-A'zam) di mana apabila beliau berdoa dengan nama Allah SWT tersebut nescaya akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Menurut Tafsir al-Qurtubi, jika pemindahan ini dilakukan Nabi Sulaiman AS maka ia dikenali mukjizat, jika dilakukan wali Allah seperti Asif bin Barkhiya yang juga orang soleh dari Bani Israel maka ia dikenali sebagai karamah.

Terdapat pelbagai riwayat mengenai bagaimana pemindahan itu berlaku, salah satunya menurut Tafsir al-Jalalain bahawa Asif meminta Nabi Sulaiman AS memandang ke langit, ketika itu Asif pun berdoa kepada Allah SWT dengan Ism al-A'zam agar singgahsana itu dipindahkan.

Ketika Nabi Sulaiman AS mengembalikan semula pandangan ke arah asalnya maka baginda AS mendapati singgahsana tersebut telah berada di hadapannya.

Tafsiran ini dijelaskan pada Firman Allah SWT yang bermaksud: Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" Berkatalah Ifrit daripada golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah." Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah: "Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Surah al-Naml ayat 38 - 40).

Pemerintahan Bani Israel ketika itu dipimpin barisan kepemimpinan sangat hebat diketuai Nabi Sulaiman AS. Bayangkan bagaimana sesebuah negara penjawat awam mahupun sektor swastanya terdiri daripada wali Allah, jin dan haiwan yang boleh mematuhi arahan ketua negara. Bahkan dengan izin Allah SWT pemimpinnya mampu bergerak pantas dengan perantaraan angin ke mana sahaja.

Maka, tidak hairanlah di zaman Bani Israel pada era pemerintahan Nabi Sulaiman AS dianggap zaman kemuncak kegemilangan Bani Israel di tanah Palestin.

Siri berikutnya akan menjelaskan bagaimana berakhirnya pemerintahan Bani Israel dan berapa lama pemerintahan mereka. Ini menjadi antara fakta penting menjawab naratif dakwaan tanah Palestin milik Israel.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 7:01 AM