BUMI Palestin dahulunya lebih dikenali sebagai bumi Kan’an sempena nama kabilah Kan’an. FOTO AFP
BUMI Palestin dahulunya lebih dikenali sebagai bumi Kan’an sempena nama kabilah Kan’an. FOTO AFP
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Rencana ini akan menjelaskan bagaimana menghadapi naratif yang dimainkan oleh sebahagian pihak bahawa Palestin adalah milik Yahudi atau Bani Israel, maka mereka berhak merampasnya kembali. Untuk menjawab naratif ini, penulis akan menulis beberapa siri. Para pembaca yang ingin mengkaji, boleh merujuk buku yang ditulis oleh Prof Dr Mohsen Mohammad Saleh yang judul terjemahannya, Isu Palestin: Latar Belakang dan Kronologi Perkembangannya Sehingga Tahun 2000, terbitan tahun 2001.

Beliau adalah Profesor dalam bidang Sejarah Arab Moden dan Kontemporari (Kajian Palestin), dan juga mantan Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau pernah menerima Anugerah Bait al-Maqdis (Jerusalem) untuk kategori Ulama Muda Islam pada 1997. Kini beliau selaku pengurus besar al-Zaytouna Centre for Studies and Consultations di Beirut Lubnan yang banyak mengkaji tentang isu Palestin.

Selain itu, para pembaca boleh merujuk buku yang berjudul Konsep dan Kedudukan Bangsa Pilihan Menurut Agama Islam dan Agama Yahudi, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989 yang ditulis oleh Ismail Abdul Rahman.

Menurut Prof Dr Mohsen, bumi Palestin dahulunya lebih dikenali sebagai bumi Kan'an sempena nama kabilah Kan'an. Kabilah ini datang dari semenanjung Arab kira-kira pada 2500 SM secara besar-besaran sehingga mereka menjadi penduduk peribumi Palestin.

Mereka membina 200 kota dan desa antaranya seperti kota Bisan, Asqalan, Aka, Haifa, Khalil, Usdud, Biir Saba'a dan Baitlaham. Mereka menetap di sana sejak sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka disatukan dengan ikatan Islam dan bahasa Arab serta berada dalam naungan pemerintahan Islam selama kira-kira 12 kurun (1200 tahun).

Soalan awal yang ingin ditanya, berapa lama pulakah pemerintahan Bani Israel di Palestin? Soalan ini akan terjawab dalam siri rencana ini dan berikutnya.

Kedatangan Nabi Ibrahim AS ke Palestin pada sekitar 1900 SM membawa ajaran tauhid sehingga baginda wafat di kota yang dikenali sebagai Khalil. Baginda sezaman dengan pemerintahan Raja Sodiq yang turut mentauhidkan Allah SWT serta menjadi teman rapat baginda. Risalah baginda diteruskan oleh anak-anaknya iaitu Nabi Ismail AS di Makkah dan Nabi Ishaq AS di Palestin. Ajaran tauhid Nabi Ishaq AS di Palestin diteruskan pula oleh anaknya iaitu Nabi Ya'qub AS (digelar Israel, bermaksud hamba Allah). Muncul dari keturunannya 12 anak (digelar Bani Israel yakni anak keturunan Nabi Ya'qub AS).

Mereka berhijrah ke Mesir ketika Nabi Yusuf AS berada dalam kerajaan ketika itu. Ketika Firaun memerintah, mereka dizalimi dan diperhambakan sehingga sekitar tahun 1300 SM. Nabi Musa AS dan saudaranya Nabi Harun AS diutuskan untuk menyelamatkan dan memimpin Bani Israel.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya) dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)." (Surah al-Maidah ayat 20)

Menurut kitab Tafsir al-Jalalain yang ditulis oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli (m. 864H) dan Imam Jalal al-Din al-Suyuti (m. 911H), kaum Nabi Musa AS diingatkan tentang nikmat Allah SWT yang belum pernah diberikan oleh-Nya kepada seorang pun di antara umat manusia seperti terbelahnya lautan dan lain-lain. Setelah selamat dari kekejaman Firaun, mereka diperintahkan untuk masuk semula ke Palestin namun mereka tidak mahu. Firman Allah SWT bermaksud: (Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya) dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)". Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang sudah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman." (Surah al-Maidah ayat 21-23)

Berdasarkan Tafsir al-Jalalain, mereka diperintahkan untuk memasuki bumi Syam (yang mengandungi Palestin). Ia merupakan tempat yang telah ditetapkan Allah SWT kepada mereka, jika mereka mengingkarinya, mereka akan rugi. Namun mereka tetap enggan kerana takut kepada saki baki dari kaum 'Ad yang bertubuh tinggi dan kuat di sana.

Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu". Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu". Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu." (Surah al-Maidah ayat 24-26)

Nabi Musa AS sangat kecewa lantas berdoa mengadu kepada Allah SWT. Menurut Tafsir al-Jalalain, mereka dihukum dengan hukuman dilarang memasuki Palestin selama 40 tahun. Mereka sesat di padang pasir di mana setiap kali mereka bergerak ke suatu tempat, mereka akan sampai ke tempat asal di mana mereka bertolak tadi. Maka, ramai yang meninggal dunia melainkan yang berumur bawah 20 tahun. Dikatakan jumlah mereka ketika itu sebanyak 600,000 orang.

Nabi Musa AS ketika hampir wafat memohon kepada Allah SWT agar Bait al-Maqdis didekatkan kepada kaumnya maka doa baginda dimakbulkan. Kemudian Allah SWT melantik Yusya' bin Nun yang pernah menemani Nabi Musa AS berjumpa Nabi Khadir AS, menjadi Nabi dan memerintahkannya untuk memerangi orang-orang zalim di Bait al-Maqdis. Baginda bersama kaum Bani Israel memasuki bumi tersebut dan berjaya memenangi peperangan tersebut pada hari Jumaat.

Dengan mukjizat Nabi Yusya' AS, matahari berhenti bergerak, sehingga mereka berjaya memenangi peperangan dan memasuki Bait al-Maqdis. Dikatakan bahawa, syariat Bani Israel mengharamkan peperangan pada hari Sabtu. Justeru, mereka mesti memasuki Palestin selewatnya hari Jumaat kerana dibimbangi mereka akan kalah ketika masuk hari Sabtu. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya matahari tak pernah ditahan untuk seorang manusia pun, selain untuk Nabi Yusya' bin Nun AS pada hari beliau melakukan perjalanan menuju Bait al-Maqdis." (Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad)

Siri berikutnya akan menjelaskan detik permulaan pemerintahan Bani Israel berdasarkan ajaran tauhid.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 7:07 AM