PERISTIWA ini mengingatkan kita bagaimana mukjizat Nabi Sulaiman AS yang bergerak pantas ke satu tempat menggunakan angin.
PERISTIWA ini mengingatkan kita bagaimana mukjizat Nabi Sulaiman AS yang bergerak pantas ke satu tempat menggunakan angin.
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Penulis telah menjelaskan secara ringkas kekeliruan berkenaan Mikraj dalam artikel bertajuk 'Pusat Fatwa Mesir Menjawab Kekeliruan tentang Mikraj' yang disiarkan pada 17 Februari 2023. Ia lebih fokus kepada ringkasan apa kaedah yang salah dan apa kaedah yang betul ketika berinteraksi dengan beberapa perkara  mutashabihat  (zan al-dilalah/samar-samar) berkaitan peristiwa Israk Mikraj yang  mutawatir  (qat'i al-thubut) tersebut. Artikel ini merupakan kesinambungan daripada artikel tersebut bagi menyempurnakannya lagi.

Perlu ditegaskan terlebih dahulu, peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa berstatus  mutawatir  yang wajib dipercayai oleh umat Islam. Perjalanan yang melibatkan roh dan jasad baginda SAW dengan penuh mukjizat mencarik adat (khariq al-'adah) dari Makkah menuju Masjidil Aqsa di Palestin kemudian beralih arah menuju ke Sidrah al-Muntaha di langit ketujuh dalam tempoh sebahagian malam sahaja.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' (17:1) yang bermaksud:  "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Peristiwa ini mengingatkan kita bagaimana mukjizat Nabi Sulaiman AS yang bergerak pantas ke satu tempat menggunakan angin. Perjalanan yang biasanya mengambil masa sebulan dapat disingkatkan, contohnya jika bertolak bermula tergelincir matahari (waktu Zuhur), maka Nabi Sulaiman AS akan sampai ke destinasinya menjelang terbenam matahari (waktu Maghrib).

Ia disebut dalam kitab  Tafsir al-Jalalain  berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Saba' (34:12) yang bermaksud:  "Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan…" 

Begitu juga karamah seorang alim wali Allah memberi khidmat kepada Nabi Sulaiman AS yang pantas memindahkan singgahsana Ratu Balqis dalam satu kerdipan mata sahaja. Firman Allah SWT dalam surah al-Naml (27:39) yang bermaksud:  "Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan daripada Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"  Menurut kitab  Tafsir al-Jalalain, beliau bernama Asif bin Barkhiya.

Di samping syarak, pergerakan yang pantas ini juga dalam hukum akal yang salim seperti yang termaktub dalam kitab akidah, merupakan perkara harus pada akal sahaja dan bukan perkara mustahil pada akal. Justeru, syarak dan akal yang salim boleh terima perkara tersebut. Maka, umat Islam dilarang untuk menafikannya.

Sepatutnya, umat Islam hanya perlu memfokuskan kepada perkara  muhkamat  dan mengambil iktibar darinya. Namun, terdapat pihak yang sering membicarakan perkara  mutashabihat  yang asalnya perlu diimani sahaja dan maknanya diserahkan kepada Allah SWT tanpa memahaminya secara literal dengan kaedah  tafwid ma'na  dan  zahiruhu ghairu murad. Sebaliknya, mereka fahaminya secara makna literal dengan kaedah  zahiruhu murad  dan  tafwid kaifiyyat  sehingga menimbulkan kekeliruan umat Islam. Maka, perlu ada pihak yang bangkit menegur dengan hikmah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Jika kalian melihat orang yang mencari-cari apa yang samar (mutashabihat) daripadanya (nas-nas), maka merekalah golongan yang Allah maksudkan, justeru waspadalah dengan mereka."  (Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari). Maka, berdasarkan nas ini, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terlibat dengan golongan yang memfokuskan ayat-ayat  mutashabihat  bahkan tertukar dengan mendakwanya sebagai ayat  muhkamat  pula sehingga tersilap dalam memahami sifat-sifat Allah SWT.

Semua ulama bersepakat sememangnya Nabi SAW bermikraj ke Sidrah al-Muntaha di langit ketujuh. Ia perkara  muhkamat  yang jelas dan wajib dipercayai, namun di sana juga terdapat perkara  mutashabihat  yang mana jika tersilap faham, kita akan terjebak dengan fahaman bidaah dolalah  tajsim  (menjisimkan Allah SWT). Berkenaan perkara ini, Pusat Fatwa Mesir memaparkan fatwa di laman sesawang rasminya dengan tajuk  al-ma'na al-sahih li qurb al-nabiyy 'alaihi al-solat wa al-salam min Allah ta'ala fi rihlah al-mi'raj  (Makna yang sahih berkenaan dekatnya Nabi SAW dengan Allah SWT ketika perjalanan Mikraj) dan  al-maqsud bi mi'raj al-nabiyy ila al-sama'  (Maksud Mikraj Nabi SAW ke langit) pada 3 Oktober 2018.

Pusat Fatwa Mesir memetik pandangan ulama tafsir muktabar bernama Imam al-Tha'labi (m. 427H) dalam kitabnya yang berjudul  al-Kashf wa al-Bayan 'an Tafsir al-Quran  berkaitan tafsiran ayat surah al-Najm (53:9). Menurutnya, dekatnya Allah SWT dengan hamba-Nya dan dekatnya hamba-Nya dengan Allah SWT adalah secara dekat martabat, kedudukan dan penerimaan doa bukan secara berjarak dekat. Jarak dekat ini termasuk ciri-ciri kejisiman yang mana Allah SWT Maha Suci daripada perkara tersebut. Kemudian ahli tafsir tersebut mengaitkannya dengan ayat al-Quran daripada surah al-Baqarah (2:186) dan surah al-Waqi'ah (56:85).

Pusat Fatwa Mesir juga memetik pandangan ulama tafsir muktabar lain bernama Imam al-Qurtubi (m. 671H) dalam kitab  al-Jami' li Ahkam al-Quran  ketika mentafsirkan surah al-Anbiya' (21:87). Beliau membawakan pandangan Abu al-Ma'ali tentang hadis yang berbunyi (atau matan seumpamanya):  la tufaddiluni 'ala Yunus ibn Matta  (Jangan kalian melebihkanku mengatasi Nabi Yunus AS bin Matta). Menurutnya, Nabi Muhammad SAW yang diangkat hingga ke Sidrah al-Muntaha tidak boleh dikatakan lebih dekat jaraknya kepada Allah berbanding Nabi Yunus AS yang berada di dasar laut dalam perut ikan dan ini menunjukkan Allah SWT tidak berada di sesuatu arah. Contoh lain yang dapat dilihat pada tafsir Imam al-Qurtubi meskipun tidak disebut oleh Pusat Fatwa Mesir iaitu pada surah al-Fajr (89:22) ditafsirkan Allah yang Maha Agung tidak boleh disifati dengan perubahan atau berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Selain itu, ulama tafsir lain yang turut dipetik oleh Pusat Fatwa Mesir ialah Imam al-Razi (m. 606H) menerusi kitab tafsirnya,  Mafatih al-Ghaib. Menurutnya, antara hujah yang digunakan oleh pihak yang menetapkan tempat bagi Allah SWT ialah ayat al-Quran surah al-Ma'arij (70:4). Beliau menjelaskan ayat itu perlu ditakwilkan dengan maksud yang layak kerana mustahil bagi Allah SWT itu ada tempat dan arah. Takwil sebagaimana yang dijelaskan dalam artikel lepas merupakan salah satu daripada kaedah muktabar Ahli Sunah Waljamaah untuk berinteraksi dengan ayat  mutashabihat  yang biasanya digunakan ketika darurat di samping kaedah  tafwid  ma'na  dan  zahiruhu ghairu murad.

Kesimpulannya, ketika Rasulullah SAW bermikraj maka jarak baginda adalah berada hampir dengan Sidrah al-Muntaha di langit ketujuh bukan bermaksud baginda dekat jaraknya dengan zat Allah SWT dan bukan juga Allah SWT berada atau bertempat di sana. Sebagaimana situasi Nabi Musa AS ketika berjumpa Allah SWT di Gunung Tursina di Sinai Mesir untuk menerima kitab Taurat, bukanlah bermaksud jarak Nabi Musa AS hampir dengan zat Allah SWT dan bukanlah juga Allah SWT berada atau bertempat di sana. Sebaliknya hanya Nabi Musa AS yang berada atau bertempat di sana. Allah SWT tidak memerlukan tempat untuk Dia bertemu atau berinteraksi dengan sesiapa pun.

Penulis pernah menonton video penceramah Malaysia yang mendakwa arasy menjadi kosong kerana Allah SWT turun ke Gunung Tursina untuk berjumpa Nabi Musa AS. Ini menunjukkan syubhat mendakwa Allah SWT bertempat atau berubah-ubah tempat. Disebabkan syubhat inilah maka persoalan ini ditimbulkan, namun jika syubhat ini tiada, maka tiada keperluan untuk menjawabnya. Lebih molek fokus kepada hikmah pensyariatan solat, menghayati pertemuan Nabi SAW dengan para nabi AS, penyaksian syurga neraka dan sebagainya dalam peristiwa Israk Mikraj.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 5:59 AM