BALA yang ditimpakan kepada golongan soleh adalah sebagai ujian manakala untuk mereka yang dimurkai sebagai hukuman. FOTO Mikail Ong
BALA yang ditimpakan kepada golongan soleh adalah sebagai ujian manakala untuk mereka yang dimurkai sebagai hukuman. FOTO Mikail Ong
Dr Mohd Khafidz Soroni

Ada segelintir orang melarang daripada mengatakan banjir besar, ribut taufan atau gempa bumi yang berlaku di sesuatu tempat sebagai bala daripada Allah SWT. Walhal dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, bala disebut sebagai kejadian buruk yang menimpa diri seseorang (seperti kemalangan dan sebagainya) atau sesuatu tempat (seperti gempa bumi, banjir besar, kemarau dan sebagainya).

Bala juga sinonim dengan bencana dan malapetaka. Ayat contoh yang dikemukakan dalam kamus tersebut: 'banjir besar yang melanda bandar raya itu merupakan bala kepada penduduk di kawasan itu' juga menepati pengertian berkenaan.

Ayat ini jelas berbentuk umum dan tidak dikaitkan dengan hukuman ataupun ujian daripada Allah SWT.

Penulis pernah menyebutkan sebelum ini, terdapat sesetengah pihak mudah mendakwa apabila bala berlaku di sesuatu tempat bahawa itu disebabkan perbuatan mungkar dan maksiat yang dilakukan di tempat berkenaan. Maka, ia sebagai azab dan hukuman daripada Allah SWT kepada mereka. Padahal tidak boleh dengan sewenang-wenangnya kita gopoh mengaitkan bala yang berlaku itu sebagai hukuman Allah tanpa bukti yang kukuh. Sesetengah pihak pula mendakwa bala yang berlaku itu bukan kemahuan Allah SWT dan ia hanya berkait dengan kuasa serta fenomena alam semula jadi sahaja.

Sedangkan pernyataan ini cukup berbahaya daripada aspek akidah kerana menafikan sifat iradat Allah SWT walhal semua yang terjadi pasti mengikut kehendak daripada-Nya semata-mata.

Kedua-dua dakwaan itu sebenarnya berlebihan. Dalam al-Quran, kalimah bala (bala') dan kata pecahan Arabnya lebih bermaksud ujian seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah: 155)

Bala juga tidak semestinya dalam bentuk kesusahan kerana bala juga boleh datang dalam bentuk kenikmatan seperti kisah Nabi Sulaiman AS dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: "Ini ialah daripada limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku, adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya." (Surah an-Naml: 40)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan serta kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya: 35)

Sebagai orang yang beriman kita perlu meyakini semua bala yang berlaku adalah daripada Allah SWT. Justeru, kita perlu mengembalikan semuanya kepada-Nya seperti firman Allah SWT bermaksud: "(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.'" (Surah al-Baqarah: 156)

Hakikatnya, bala yang menimpa orang beriman disebut sebagai ujian daripada Allah SWT. Adapun bala yang menimpa orang fasik atau kufur terhadap Allah SWT, ia disebut sebagai hukuman daripada-Nya.

Perhatikan hadis Aisyah RA katanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya apabila Allah menurunkan bala-Nya terhadap penduduk bumi, sedangkan dalam kalangan mereka ada golongan yang soleh, adakah semua turut binasa dengan binasanya mereka itu?" Lalu jawab Nabi SAW: 'Wahai 'Aisyah, sesungguhnya apabila Allah menurunkan bala-Nya terhadap golongan dimurkai, sedangkan dalam kalangan mereka ada golongan soleh, maka semua akan turut binasa bersama mereka, namun kemudian mereka semua akan dibangkitkan (di Akhirat kelak) berdasarkan niat dan amalan mereka". (Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya)

Ini menunjukkan bala ditimpakan kepada orang yang dimurkai itu adalah sebagai hukuman bagi mereka manakala kepada orang yang soleh pula adalah sebagai ujian sahaja. Bahkan, ia menjadi kafarah (penghapus dosa) pula buat mereka sebagaimana hadis Abu Sa'id al-Khudri RA dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Tidaklah seorang Muslim ditimpa sebarang penderitaan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, kesakitan ataupun kegundahan malahan duri yang mencucuknya melainkan Allah akan menghapuskan dosanya disebabkannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, belum dapat dipastikan sejak bila muncul sebahagian orang yang memahami konotasi kalimah bala itu khusus untuk hukuman atau azab daripada Allah SWT. Hingga dianggap satu kesalahan sekiranya dikatakan, 'ribut taufan yang melanda bandar raya itu merupakan bala kepada penduduknya'. Sedangkan, kalimah bala pada asasnya adalah istilah umum sebagaimana yang dijelaskan dan belum ditentukan sama ada ia hukuman ataupun ujian daripada Allah SWT.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:00 AM