GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
 Prof  Madya D Mohd Ashrof Zaki Yaakob

Negara kita telah selesai melalui fasa penentuan kepemimpinan negara melalui proses demokrasi yang didukung dan dipersetujui semua pihak. Sepanjang proses demokrasi ini, pastinya banyak perkara telah berlaku termasuk ketelanjuran kata dan perbuatan, lantaran keasyikan politik yang pelbagai dan rencam. Fasa yang berlaku harus dijadikan pengajaran dan iktibar, manakala lembaran baharu perlu dibuka bagi mendepani hari-hari mendatang demi kemakmuran negara tercinta.

Fokus perlu diberikan kepada usaha menyatukan kembali rakyat Malaysia melalui jalinan silaturahim dan perpaduan sesama masyarakat. Selain memikul tanggungjawab melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan adil dan amanah, pemimpin yang telah dipilih juga wajib berperanan menyatukan kembali ummah yang berselisih faham akibat perbezaan fahaman politik. Ia tanggungjawab semua pemimpin tanpa mengira parti politik, menang atau kalah, kerana ia tanggungjawab bersama demi kemakmuran negara.

Pendekatan menjaga hubungan, silaturahim, kesepakatan dan perpaduan dalam masyarakat boleh dilaksanakan menerusi amalan memelihara hubungan baik bagi menjamin kehidupan harmoni dan sejahtera. Nabi Muhammad SAW banyak menunjukkan suri teladan dalam aspek menjaga hubungan sehinggakan orang yang membenci Islam juga mengakui keperibadian Baginda SAW dalam menyantuni mereka ketika menyebarkan ajaran Islam.

Menyambung tali persaudaraan sesama ummah dan masyarakat menjadi kewajipan umat Islam. Melalui pertautan kembali kasih sayang, hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik. Ajaran Islam amat menekankan kasih sayang dan perdamaian kerana mukmin yang baik sentiasa menjalinkan persaudaraan dan menghidupkan silaturahim. Ia dilaksanakan melalui amalan sering bertegur sapa, menziarahi individu yang sakit dan kematian, menderma, kunjung-mengunjung dan memenuhi jemputan. Menyedari kepentingan serta besarnya memperkukuhkan persaudaraan, Islam menegaskan bahawa seseorang Muslim itu tidak dikira sempurna imannya apabila dia merosakkan hubungan persaudaraan sesama Islam.

Ukhuwah Islamiah adalah nikmat kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Nikmat ini dirasai sepenuhnya oleh kaum muhajirin dan ansar yang dipersaudarakan oleh Islam di dalam peristiwa hijrah Madinah.  Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan tidak berbelah bahagi untuk saling menolong, berkasih sayang, saling memaafkan, setia kawan, penyabar dan sentiasa bersikap mulia. Jelas di sini, tiada ukhuwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.

Persaudaraan dalam Islam diletakkan di suatu tempat yang tinggi dalam ajaran Islam. Malah, Allah SWT menjanjikan ganjaran besar kepada orang yang sentiasa menjaga dan mengutamakan hubungan berkenaan. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan, akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba Allah yang bersaudara." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Situasi yang menyedihkan apabila hanya kerana ketaksuban dalam proses demokrasi, dapat dilihat pertembungan dua kumpulan yang saling mengumpat, mencela dan menghina semasa sendiri. Keterlanjuran sebegini jangan dibudayakan dan umat Islam wajib berhenti daripada melakukan tindakan dan percakapan yang dilarang oleh agama dalam apa juga keadaan.

Marilah kembali eratkan tautan ukhuwah sesama saudara seIslam, bak kata pepatah 'air dicincang tidak akan putus'. Bersama kita menjunjung rukun kesopanan dan kesusilaan negara kita dengan menjaga adab, tatasusila dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun kepada mereka yang berbeza ideologi politik. Utamakan ukhuwah Islamiah berbanding ketaasuban yang melampau sehingga sanggup mengabaikan hubungan persaudaraan sesama Islam hanya kerana perbezaan pandangan dan haluan dalam politik kepartian.

Manakah yang lebih utama, mempertahankan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiahkah atau menjunjung politik yang tidak matang? Kematangan berpolitik perlu berlaku dan mempertahankan persaudaraan Islam itu lebih utama daripada mempertahankan sikap berpolitik yang sangat relatif. Bahkan, jika berbeza pegangan akidah sekalipun, hubungan persaudaraan sesama manusia masih tetap perlu diteruskan dan dipelihara. Inilah keutamaan adab dan akhlak ajaran Islam yang mulia.

Politik sebenarnya adalah indah dan bahagia sekiranya mengikut lunas ajaran Islam yang sebenar, namun telah dicacatkan oleh golongan tertentu sehingga terlihat jijik dan kotor, kerana menghancurkan persaudaraan, menghilangkan adab dan akhlak yang baik bahkan mencetuskan gejala fitnah dan tipu daya.

Perbezaan pendapat lumrah dalam kehidupan kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran berbeza. Dalam menangani perbezaan pendapat ini, perkara utama perlu dilakukan adalah meraikan perbezaan pendapat atau pandangan orang lain dengan adab dan sikap  tasamuh, iaitu saling berlapang dada. Firman Allah SWT, "Maka maafkanlah mereka dan lapangkanlah dada kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang melakukan kebaikan." (Al-Maidah: 13)

Jangan membenci sesuatu pihak atas perbezaan, tapi tetaplah menjaga persaudaraan Islam sepanjang masa kerana banyak faedah dan ganjaran dijanjikan Allah SWT. Abdullah bin Salam RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, berikanlah makanan, jalin silaturahim, dan solatlah pada malam hari ketika orang lain sedang tidur. Maka kalian semua akan masuk syurga dengan selamat." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pemimpin wajib berakhlak mulia yang boleh dicontohi, manakala rakyat juga ada akhlak yang perlu diikuti. Akhlak yang utama ialah memelihara persaudaraan Islam. Seluas manapun kita berbeza, adab dan akhlak pasti akan menyatukan kita. Kehilangan pengaruh politik boleh diganti, namun hubungan silaturahim dan persaudaraan Islam yang hilang, ia amat sukar diganti. Daripada Abu Bakrah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada dosa yang lebih pantas disegerakan balasannya bagi para pelakunya di dunia bersama dosa yang disimpan untuknya di akhirat; daripada perbuatan zalim dan memutus silaturahim." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, dalam apa jua situasi, umat Islam wajib menjaga hubungan persaudaraan Islam dan ia adalah perkara yang sangat dituntut dan salah satu daripada cabang iman. Tanggungjawab menyatukan kembali masyarakat perlu dipikul sepenuhnya oleh para pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat. Selain itu, perlu diyakini bahawa orang yang sentiasa menjaga persaudaraan Islam diberikan kelebihan dan keutamaan di sisi Allah SWT selari dengan apa yang telah dijanjikan di dalam al-Quran dan Hadis. Firman Allah SWT: "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Al-Hujurat: 10)


Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 6:01 AM