MENDOAKAN saudara Muslim  menjadi  sebab doa kita diterima oleh Allah SWT.
MENDOAKAN saudara Muslim menjadi sebab doa kita diterima oleh Allah SWT.
Mohd Shahrizal Nasir

ALLAH SWT menjelaskan hubungan antara sesama umat Islam yang sangat utuh. Ini berdasarkan firman-Nya yang bermaksud:  "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu); dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."  (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Umat Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain. Setiap umat Islam perlu menyedari bahawa selagi mereka mengaku beriman kepada Allah SWT serta perkara-perkara yang ditetapkan dalam Rukun Iman, maka mereka layak termasuk dalam kalangan Muslim. Umat Islam yang benar-benar menyedari hakikat bahawa mereka bersaudara, maka mereka tidak akan sama sekali saling berbalah, hina menghina, keji mengeji, umpat mengumpat dan sebagainya kerana semua perkara buruk tersebut hanya akan merenggangkan ikatan persaudaraan sesama Muslim.

Rasulullah SAW berpesan mengingatkan umatnya tentang ke

wajipan menjalin hubungan persaudaraan sesama Muslim. Sabda baginda SAW bermaksud:  "Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi para hamba Allah yang bersaudara."  (Hadis riwayat Muslim)

Perbezaan pandangan dalam beberapa perkara berkaitan agama, khususnya yang melibatkan isu  furu'  (cabang) perlu diraikan dengan masing-masing berlapang dada asalkan setiap pandangan didasari dengan dalil yang sahih. Sekiranya perbezaan pandangan berkaitan perkara yang termasuk dalam isu  usul  (utama) dalam Islam pula, ia perlu ditangani oleh mereka yang benar-benar layak dan memiliki autoriti dalam perkara tersebut.

Jika perselisihan pandangan dapat ditangani dengan baik oleh semua pihak, maka tidak mustahil satu jalan penyelesaian dapat dicapai, atau setidak-tidaknya diskusi yang diadakan dalam membincangkan isu tersebut dapat memberi input yang positif kepada masyarakat. Masyarakat sememangnya perlu didedahkan dengan budaya mencari, mendengar dan menilai setiap perkara yang dipelajari sehingga menemui keyakinan terhadap ilmu tersebut. 

Kebenaran pastinya tidak bersifat kabur. Ia mestilah jelas dan dapat diterima akal serta selari dengan hujah-hujah naqli berdasarkan al-Quran dan hadis. Penjelasan daripada para sarjana Islam menerusi kitab-kitab mereka juga perlu dirujuk kerana pandangan mereka lebih utama daripada kita meskipun mungkin ada perkara-perkara yang masih terbuka untuk perbincangan ilmiah pada zaman kini. 

Umat Islam adalah bersaudara. Persaudaraan ini didasari oleh ikatan tauhid yang tidak boleh dinafikan kekuatannya sekiranya ia benar-benar diperakui oleh hati yang yakin terhadap kekuasaan dan keesaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:  "Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain."  (Muttafaq 'alaih)

Kini tiba lagi musim memilih pemimpin. Umat Islam perlu terlibat dalam proses memilih kepemimpinan negara kerana ia satu tanggungjawab. Namun usah terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan sesama umat Islam. Setiap pandangan perlulah dihormati dan jangan ada yang sampai bermasam muka, berbalah, hina menghina, berdusta sesama umat Islam kerana ia boleh menjadi bibit-bibit perpecahan yang akan melemahkan kesatuan umat.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar." (Surah al-Anfal, ayat 46)

Apabila diteliti amalan umat Islam, maka kita akan dapati dalam banyak perkara, umat Islam saling mendoakan kesejahteraan sesama sendiri. Hal ini membuktikan betapa utuhnya hubungan persaudaraan umat Islam yang masing-masing menginginkan kebaikan untuk semua.

Sebagai contoh, mendoakan keampunan dan kesejahteraan umat Islam merupakan antara rukun khutbah Jumaat yang sering diingatkan kepada umat Islam. Sebagaimana yang sering kita doakan ketika khatib menyampaikan khutbah Jumaat, kita pasti mendoakan keampunan untuk seluruh umat Islam. Inilah antara bukti kasih sayang umat Islam yang mengasihi sesama Muslim agar masing-masing mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Begitu juga dalam bacaan  tahiyyat  dalam solat. Setiap umat Islam yang menunaikan ibadah solat pasti mendoakan kesejahteraan ke atas diri mereka dan umat Islam daripada kalangan hamba-Nya yang soleh. Kita menzahirkan doa yang bermaksud:  "Selamat sejahtera atas kami dan juga para hamba Allah yang soleh." Ungkapan tersebut adalah bacaan yang mesti dibaca dalam  tahiyyat  awal dan juga akhir.

Betapa indahnya ketetapan Islam dalam menjaga keutuhan semangat persaudaraan sesama Muslim. Lihat pula pada saranan Rasulullah SAW agar umat Islam menyebarkan ucapan salam sesama mereka. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:  "Tidaklah kalian akan masuk syurga hingga kalian beriman, dan tidaklah kalian dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu, yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkan salam sesama kalian."  (Hadis riwayat Muslim)

Hukum memberi salam adalah sunat, manakala menjawab salam hukumnya wajib. Inilah satu peluang keemasan kepada kita untuk menambah pahala sunat. Amalan memberi salam, meskipun satu ibadah sunat, namun ia adalah sunat yang dituntut untuk diamalkan bagi menzahirkan kasih sayang sesama umat Islam. Hal ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya ada enam perkara: Apabila engkau berjumpa dengannya, engkau berikan salam kepadanya…"  (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, usaha mendoakan saudara Muslim juga menjadi antara sebab doa kita diterima oleh Allah SWT. Seseorang yang inginkan doanya dimakbulkan oleh Allah SWT dengan malaikat mendoakan kebaikan untuknya, maka perbanyakkanlah mendoakan kebaikan saudara Muslim lain dalam keadaan dia tidak mengetahui doa tersebut.

Daripada Abu Darda' bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Tidaklah berdoa seorang Muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat: "Bagi engkau juga beroleh yang seumpama dengannya."  (Hadis riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita berusaha untuk mendoakan kebaikan dan keampunan buat saudara sesama Muslim. Usah jadikan perbezaan pandangan sebagai punca pergaduhan yang berpanjangan. Kita mungkin berselisih pandangan dalam satu isu, namun kita tidak dapat menafikan bahawa banyak persamaan pandangan dalam hal-hal yang lain.

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa ikatan persaudaraan tidak menafikan tanggungjawab sesama Muslim untuk nasihat menasihati dan tegur menegur kesilapan yang dilakukan oleh saudara sesama Islam kerana tujuannya adalah untuk kebaikan semua pihak, sekiranya kita memandang teguran dengan hati yang jernih.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 5:00 AM