KEBAJIKAN ahli keluarga adalah antara perkara yang perlu diambil perhatian. - Gambar hiasan. FOTO AFP
KEBAJIKAN ahli keluarga adalah antara perkara yang perlu diambil perhatian. - Gambar hiasan. FOTO AFP
Mohd Shahrizal Nasir

Allah SWT mencipta manusia dalam keadaan sempurna termasuk memiliki keluarga. Setiap daripada kita lahir dalam sebuah keluarga. Tiada seorang pun dalam kalangan kita yang dilahirkan ke dunia sebatang kara tanpa ada keluarga. Hubungan kekeluargaan sesama ahlinya pula ada yang dekat dan ada yang jauh. Bagaimanapun semuanya termasuk dalam satu keluarga.

Sesuatu yang menyedihkan jika ada orang yang menafikan hubungan kekeluargaan. Terdapat individu yang sanggup mengaku tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga yang mungkin tidak sehaluan dengan dirinya atau berlaku perselisihan faham dalam kehidupan.

Percanggahan pandangan, perbezaan prinsip dan sebagainya adalah lumrah dalam kehidupan, namun usah kita memutuskan hubungan kekeluargaan. Sebaliknya Islam amat menggesa umatnya agar menjaga kebajikan sesama ahli keluarga.  Sekiranya kita ditimpa kesusahan, maka ahli keluarga adalah pihak yang kita akan minta pertolongan dan bantuan. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan soal keutuhan hubungan kekeluargaan.

Setiap ahli keluarga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap keluarga masing-masing. Seorang suami bertanggungjawab terhadap isterinya dan seorang bapa bertanggungjawab terhadap anak-anaknya.  Seorang ibu pula mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap anak-anaknya. Begitu juga hubungan melibatkan adik-beradik yang diikat dengan hubungan darah.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:  "Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian juga akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepimpinannya. Seorang imam adalah orang yang bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang wanita bertanggungjawab terhadap urusan di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya."  (Muttafaq 'alaih)

Hadis tersebut memberi gambaran jelas bahawa setiap ahli keluarga khususnya yang menjadi tonggak utama dalam rumah tangga iaitu suami dan ayah perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memacu rumah tangga ke arah mencapai keredaan Allah SWT. Manakala, setiap ahli keluarga mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan institusi keluarga yang dibina mampu mencapai tahap keluarga bahagia.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir."  (Surah ar-Rum, ayat 21)

Kebajikan ahli keluarga adalah antara perkara yang perlu diambil perhatian yang serius. Ada dalam kalangan kita yang sanggup membiarkan ahli keluarga sendiri hidup dalam kesusahan.  Ada pula yang lebih mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri. Bantulah ahli keluarga terlebih dahulu kerana mereka termasuk dalam tanggungjawab kita. Kebajikan mereka adalah antara keutamaan yang perlu diberi perhatian.

Rasulullah SAW ada menjelaskan tentang perlunya membantu golongan yang memerlukan dan dimulai dengan mereka yang menjadi tanggungan sendiri iaitu ahli keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  "Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Sesiapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan bersedekah kepada kaum keluarga yang memerlukan bantuan:  "Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim."  (Hadis riwayat Ahmad)

Perbuatan menyambung silaturahim adakalanya difahami oleh sesetengah orang sebagai perbuatan menjaga hubungan sesama manusia. Sebenarnya hubungan sesama manusia lebih-lebih lagi melibatkan orang Islam disebut sebagai 'ukhuwah'. Manakala, silaturahim melibatkan hubungan kekeluargaan yang berkaitan dengan darah dan keturunan. Oleh itu, dapat difahami bahawa perkataan silaturahim yang mempunyai perkaitan dengan perkataan 'rahim' ibu adalah merujuk kepada tempat berlakunya hubungan kekeluargaan.

Rasulullah SAW ada menyebut tentang perbuatan yang boleh menjadi sebab seseorang memperoleh keluasan rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah SWT, iaitu dengan menjaga hubungan silaturahim iaitu hubungan kekeluargaan. Baginda SAW bersabda yang mafhumnya:  "Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah tali silaturahim."  (Muttafaq 'alaih)

Dalam konteks yang lebih luas, setiap Muslim perlu memastikan setiap ahli keluarga terselamat daripada seksaan api neraka. Hal ini meliputi pelbagai aspek dalam kehidupan seorang Muslim termasuk akidah, ibadah dan akhlak. Kita perlu memastikan akidah ahli keluarga sentiasa berada pada paksi yang betul. Jauhi perbuatan khurafat dalam kalangan ahli keluarga kerana ia membawa kerosakan yang amat bahaya. Sekiranya akidah ahli keluarga tidak dipelihara, maka akan timbul pelbagai kerosakan dalam institusi kekeluargaan tersebut.

Begitu juga dalam aspek ibadah yang juga merupakan asas penting dalam kehidupan keluarga Islam. Setiap ahli keluarga perlu sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain agar aspek ibadah sentiasa menjadi keutamaan dalam keluarga. Tunaikanlah ibadah secara berjemaah dalam keluarga seperti solat fardu dan sebagainya kerana ia boleh mendatangkan seribu satu rahmat daripada Allah SWT.

Akhlak juga perlu diberi perhatian yang serius dalam kehidupan berkeluarga. Sifat-sifat mahmudah atau terpuji seperti hormat-menghormati, tolong-menolong, semangat kebersamaan, kasih sayang sesama keluarga, serta budaya amar makruf nahi mungkar perlu diterapkan dalam kehidupan berkeluarga. Pendek kata, setiap tindak-tanduk ahli keluarga perlu dihiasi dengan akhlak yang baik sepertimana dituntut oleh Islam.

Kita perlu mencontohi akhlak Rasulullah SAW termasuk akhlak baginda dalam hal rumah tangga. Baginda adalah contoh terbaik dalam hal ini meliputi peranan baginda sebagai seorang suami, ayah dan ketua keluarga secara amnya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis tersebut menunjukkan mesej penting tentang keperluan mengutamakan kebajikan keluarga sepertimana yang ditunjuk oleh baginda Rasulullah SAW sendiri. Setiap ketua keluarga perlu memastikan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu mereka perlu digalas dengan sebaiknya.

Sepertimana dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran tentang untaian doa yang mengharapkan kurniaan keluarga bahagia, bermaksud:  "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang bertakwa."  (Surah al-Furqan, ayat 74)

Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:00 AM