MENJAGA silaturahim sangat dituntut dalam Islam untuk mendapat rahmat Allah serta menyuburkan hubungan sesama manusia.
MENJAGA silaturahim sangat dituntut dalam Islam untuk mendapat rahmat Allah serta menyuburkan hubungan sesama manusia.
Dr Rahimah Saimin

SESEBUAH institusi kekeluargaan perlu membentuk keharmonian dan kemuafakatan. Pepatah Melayu ada menyebut bagai aur dengan tebing yang kerap digunakan untuk mencitrakan hubungan persaudaraan yang erat dan akrab. Meski pun demikian, dilihat pada akhir zaman ini, nilai kasih sayang sesama adik-beradik semakin pudar dan suram apabila faktor materialisme mendominasi. Rasulullah SAW  bersabda  yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan.)" (Hadis Riwayat Muslim)

Apakah nasib generasi akan datang? Mungkinkah akan berlaku tidak lagi menyantuni dan menyayangi adik-beradik hanya kerana harta? Harta adalah perhiasan dunia yang Allah SWT datangkan sebagai satu ujian keimanan kepada hamba-Nya, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan yang baik kekal lagi salih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan." (Surah al-Kahfi: 46)

Adapun mengeratkan silaturahim itu merujuk kepada perihal berbuat baik kepada sesama manusia, bertolong-tolongan, bersikap lemah lembut, nasihat menasihati dan menjaga perasaan. Janganlah disebabkan masalah remeh, pertalian saudara menjadi retak, bermasam muka, saling membenci yang akhirnya hubungan silaturahim dalam keluarga musnah.

Terdapat banyak keistimewaan menjaga silaturahim. Contohnya, kita akan mendapat keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT  mafhumnya: "Dan bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah An-Nisa': 1) 

Inilah masa yang tepat untuk memperhalusi perihal adab dan silaturahim. Pada masa pandemik ini, kita semua mempunyai kekangan dan keterbatasan untuk pulang ke kampung halaman. Ini bukan bermaksud kita putus silaturahim dengan saudara di kampung. Jarak bukan penghalang di era kepesatan teknologi komunikasi. Bertanyalah khabar sekerap mungkin dengan keluarga di kampung melalui panggilan telefon, panggilan video atau nota suara. Bak kata pepatah Melayu 'jauh di mata, dekat di hati.' 

Seringkali kesibukan kerja atau kerakusan dunia menjadi penghalang bersilaturahim. Menghabiskan waktu berdakwah kepada orang lain daripada sibuk dengan keluarga sendiri. Walhal, merekalah yang selayaknya berhak mendapat kebaikan. Allah SWT  berfirman: "Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat." (Surah Asy Syu'ara: 214)

Apa yang ingin diterapkan di sini adalah mentaliti segelintir ibu bapa yang terlalu bersifat ambil mudah atau bersikap endah tak endah untuk melibatkan diri secara langsung dalam perkembangan sahsiah anak-anak.

Anak-anak belajar melalui pemerhatian terus terutama daripada ibu bapa mereka. Peribahasa menyatakan, getah daun akan mengalir ke batang jua dan bagaimana acuan, begitulah hasilnya. Tamsilnya, ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak-anak dalam melahirkan modal insan yang cemerlang bukan duri dalam daging. Anak dilahirkan ke dunia dalam keadaan suci bersih mengikut fitrah. Rasulullah SAW  bersabda mafhumnya: "Maka kedua ibu bapanya yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi."

Menjaga silaturahim adalah perihal yang sangat dituntut dalam Islam untuk mendapat rahmah Allah SWT  serta menyuburkan hubungan sesama manusia. Firman-Nya yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujuraat: 10)

Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga silaturahim. Menyantuni dan menjaga silaturahim akan dipanjangkan umur dan beroleh keberkatan rezeki. Daripada Anas bin Malik  bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin rezekinya dimurahkan dan umurnya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Kisah hubungan Nabi Musa AS  dan Nabi Harun AS  antara perkara menarik untuk diambil pengajaran apabila berbicara tentang silaturahim. Nabi Harun sentiasa mendampingi saudaranya yakni Nabi Musa ketika baginda melakukan dakwah kepada penduduk Mesir, terutama Fir'aun. Hubungan mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah.

Allah SWT  berfirman: "Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu daripada keluargaku. Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya. Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku. Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu." (Surah Taha: 30-34)

Selain itu, kisah Nabi Yusof AS  yang dibenci oleh adik-beradik tirinya, tetapi akhirnya dianugerahkan kemenangan kepada baginda berkat kesabaran dan keimanan. Ini memberi sumber inspirasi untuk mencari kekuatan dalam menempuh ujian menghadapi sikap manusia yang penuh dengan penyakit hati.

Nabi Muhammad SAW  mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar ketika hijrah baginda untuk meneguhkan persaudaraan dan hubungan silaturahim sesama umat Islam. Peristiwa ini menjadi tanda kebenaran bahawa Islam meletakkan persaudaraan sebagai satu fasal dan tuntutan besar.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengeratkan ukhuwah adik-beradik. Antaranya, solat berjemaah, selepas solat jemaah, kita bersalaman dan berdoa bersama-sama. Dengan ini, hubungan kekeluargaan akan diberkati oleh Allah SWT . Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat melalui beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis. Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sembahyang berjemaah adalah lebih utama (baik) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya sentiasa memberi. Justeru, pemberian buah tangan atau hadiah kepada adik-beradik dapat menggembirakan dan merapatkan silaturahim. Adapun dalil atas anjuran membawa buah tangan, dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin: "Dianjurkan membawa oleh-oleh (buah tangan) baik berupa makanan atapun yang lainnya untuk keluarga dan kerabatnya sesuai dengan kemampuannya. Dan hal yang seperti itu hukumnya  sunat. Hal ini kerana keluarga atau kerabat yang di rumah akan melihat pada apa yang dibawa. Hati mereka akan berasa senang dengan kedatangannya dan akan menjadi bertambah bahagia apabila disertai dengan buah tangan yang dibawa." 

Betapa indahnya ajaran Islam yang sentiasa memberi pedoman kepada umatnya untuk berbuat kebaikan sesama manusia. Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga." Jawab Rasulullah SAW: "Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim." (Hadis  Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 5:59 AM