KEBIJAKKAN yang terungkap dalam maqasid syariah sepatutnya dicerakinkan oleh minda yang sihat serta kemantapan disiplin ilmu .
KEBIJAKKAN yang terungkap dalam maqasid syariah sepatutnya dicerakinkan oleh minda yang sihat serta kemantapan disiplin ilmu .
Dr Zuraimy Ali

BAGI membina sebuah negara Malaysia yang mempunyai peradaban dan tamadun umat yang kukuh pada zaman mutakhir ini, memerlukan seluruh umat Islam kembali kepada keyakinan yang benar serta ilmu yang benar-benar memandu manusia ke arah jalan kebenaran dan kebaikan.

Allah SWT mengingatkan manusia dengan bersumpah: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."(Surah al-'Asr, ayat 1-3)

Bagi membina tamadun manusia yang hebat memerlukan seluruh ummah menghayati dan seterusnya beramal dengan peringatan ayat al-Quran. Masa yang diberikan oleh Allah SWT sepatutnya dimanfaatkan bagi menambah kefahaman dan menggandakan amal ibadah serta amal soleh.

Kekuatan yang diperlukan oleh ummah ialah dengan berusaha menyatukan kembali pandangan hidup yang sebenarnya kerana laluan kehidupan ini sentiasa terdedah dengan ujian dan kepalsuan. Sebahagian manusia yang gagal memahami maksud dan tujuan di sebalik penciptaan Tuhan buat manusia pasti akan menghadapi kegagalan. Bagi sebahagian yang berjaya memahami maksud dan tujuan pensyariatan Tuhan pasti membina nilai dan adab dalam dirinya seterusnya mampu direalisasikan dengan menjaga hubungan sesama manusia.Hal ini boleh dicapai melalui penciptaan manusia yang dijadikan Tuhan dengan ciptaan yang terbaik dan sempurna berbanding makhluk lain sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah at-Tin ayat 4)

Penciptaan manusia bermula dengan penciptaan yang terbaik. Namun, jika sebahagian manusia gagal memanfaatkan nikmat kesempurnaan ciptaan yang diberikan Tuhan buat manusia ia mampu menjerumus manusia ke lembah kehinaan sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah."(Surah at-Tin ayat 5)

Justeru, syariat yang diturunkan Allah SWT hakikatnya mengangkat martabat dan darjat ummah, namun kegagalan untuk memanfaatkan kurniaan Allah SWT menyebabkan manusia tergelincir dari landasan yang benar. Kegalauan pemikiran dan defisit nilai dan adab mutakhir kini menjadikan matlamat untuk membina tamadun ummah yang hebat pasti tertangguh dan akan melalui fasa kehidupan yang malap. Kebijakan yang terungkap dalam maqasid syariah sepatutnya dicerakinkan oleh minda yang sihat serta disiplin ilmu yang mantap. Namun, kehadiran segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menghakis nilai dan adab Islam pasti sedikit sebanyak menyebabkan ummah saling berbalah serta akhirnya Islam yang akan mendapat tempias dan diberikan persepsi salah oleh sebahagian masyarakat dunia seperti Islamophobia dan terrorist.

Sayugia diingatkan bahawa hampir keseluruhan ayat al-Quran dan inti pati hadis Nabi Muhammad SAW banyak mendidik umat supaya sentiasa mengangkat nilai martabat insan melalui keyakinan dan adab mulia sehinggakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak."(Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu'aib al-Arna'outh menilai hadis ini sebagai sahih dan sanadnya kuat). Justeru, ummah perlu memanfaatkan khazanah syariat dan contoh ikutan akhlak RasululLah SAW yang berjaya membina kekuatan dalaman ummah melalui keyakinan, nilai dan adab yang tinggi. Sementelahan bagi membina kekuatan tersebut memerlukan tekad dan usaha yang padu seluruh ummah untuk bersama kembali bersatu padu melalui ukhuwah persaudaraan Islam yang sudah diikat melalui keyakinan iman yang kukuh dengan meletakkan nilai dan adab sebagai garis pengukur pembinaan tamadun manusia yang luar biasa.

Arakian ketamadunan manusia yang cemerlang tidak akan sepi daripada perbincangan berkaitan keyakinan dan nilai yang dimiliki insan. Hakikatnya gagasan karamah insaniah adalah maqam tertinggi yang ingin dicapai dalam kehidupan manusia. Kemuliaan itu hadir dengan keredaan dari sisi pandangan Tuhan dan menghiasi kebaikan pada pandangan manusia. Justeru, mari seluruh ummah meyakini bahawa jalan penyelesaian bagi segala masalah sudah terbentang di hadapan dan harapan untuk membina kebahagian sudah terjamin melalui keyakinan dan nilai yang dimiliki setiap insan yang dimuliakan Allah SWT dengan mengambil petunjuk-Nya. Bina tamadun ummah dengan keyakinan dan nilai baik bahawa kebaikan syariat mampu memandu manusia ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. Usah membiarkan masa berlalu begitu saja tanpa diisi dengan perkara yang baik. Ini kerana kesempatan berada di bumi Allah hanya sementara dan masa sentiasa mencemburui kita semua. Semoga ada manfaat dan kebaikan buat seluruh umat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia umumnya.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 5:00 AM