ALLAH SWT  memerhati dan menilai  tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin.
ALLAH SWT memerhati dan menilai tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin.

SETIAP manusia di muka bumi menggalas amanah Allah SWT sebagai khalifah. Khalifah dalam menjalankan tugas memakmurkan bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya. Apabila bumi ini makmur, natijah daripada pelaksanaan amanah Allah SWT, maka kehidupan dunia akan terus mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Daripada beberapa pengertian 'khalifah' yang diberikan oleh ulama, satu pengertian yang mudah difahami merujuk khalifah sebagai "seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah." (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)

Begitu besar tanggungjawab seorang khalifah Allah SWT. Hakikatnya, meskipun tanggungjawab sebagai khalifah merupakan tanggungjawab setiap insan, tetapi tidak semua mampu melaksanakannya tanpa petunjuk Ilahi. Malah ada insan yang lupa tentang amanah kepemimpinan, lantas melakukan perbuatan yang melanggar ketetapan Allah SWT. 

Ingatlah setiap daripada kita bertanggungjawab atas perkara yang dilakukan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Setiap kamu merupakan pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya." (Muttafaq 'alaih)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27)

Malaysia akan berdepan dengan satu lagi bukti amalan demokrasi melibatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Banyak perkara yang dibincangkan dalam media berkenaan dengan proses PRU-15. Pada waktu ini, perlu menjadi ingatan bahawa semua yang akan terlibat dalam PRU-15 wajib menginsafi mereka memikul tanggungjawab sepenuhnya atas setiap keputusan yang dilakukan. 

Hasilnya nanti pihak yang mencapai kemenangan wajib melaksanakan tanggungjawab yang secara sukarela dipilih oleh mereka sendiri. Tanggungjawab besar memimpin masyarakat perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, setiap pemimpin yang terpilih untuk menjadi pemimpin perlu memimpin dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bulu, meskipun rakyat tersebut tidak memilihnya dalam undi pilihan raya. 

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggunjawab yang dipikul oleh pemimpin. Tibalah masanya nanti untuk pemimpin menjalankan tugas dengan terbaik kerana ia merupakan satu amanah. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." (Surah al-Qasas, ayat 36)

Setiap pemimpin perlu sedar mereka wajib berusaha untuk mempermudahkan urusan orang lain. Jangan hanya manis di bibir menabur janji namun tidak menghiraukan kebajikan rakyat setelah menang menjadi pemimpin. Rasulullah SAW memberi ancaman kepada pemimpin yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan menerusi hadis yang bermaksud: "Ya Allah, sesiapa sahaja yang mengurus urusan umatku, lalu dia menyusahkan umatku, maka susahkanlah dia."  (Hadis riwayat Muslim)

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan meminta apa-apa keistimewaan untuk diri dan keluarganya. Malah dia tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Pemimpin perlu sedar bahawa pelantikannya sebagai pemimpin merupakan satu pertanggungjawaban (taklif) dan bukan satu kemuliaan (tashrif) untuk dimegahkan. Perkara penting ini perlu sentiasa diingatkan sejak sebelum orang yang terlibat menjadi pemimpin. Tiada istilah istimewa apabila dilantik menjadi pemimpin kerana sepatutnya mereka menjadi 'pekerja' kepada rakyat dan bukan sebaliknya. 

Selain itu, antara sifat keji yang perlu ditinggalkan oleh seorang pemimpin ialah sifat 'dusta'. Dengan pelbagai janji yang ditabur semasa kempen pilihan raya berlangsung, ia mesti diusahakan secara serius demi kebaikan rakyat yang dipimpinnya. Pastinya setiap anggota masyarakat berdepan dengan pelbagai masalah dan kesukaran dalam hidup. Maka menjadi tanggungjawab utama seorang pemimpin untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah tersebut, atau setidaknya mengurangkan penderitaan yang ditanggung. 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang beriman, mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan." (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Rasulullah SAW turut mengingatkan pemimpin tentang bahaya tanggungjawab yang tidak dilaksanakan menerusi sabda Baginda yang bermaksud: "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Seorang pemimpin perlu menjadi contoh kepada pengikutnya dan mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemerintahannya menurut acuan Islam. Kepemimpinan Rasulullah SAW berasaskan akhlak mulia hingga mampu menarik golongan bukan Islam untuk memeluk Islam dan mentaati Baginda sebagai ketua negara. 

Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian. Pemimpin akan sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan pemimpin. Oleh itu, pemimpin yang pernah memikul tanggungjawab kepemimpinan negara perlu berfikir berpandukan iman dalam usaha mereka untuk kembali menjadi pemimpin. 

Keadaan negara hari ini merupakan kesan kepemimpinan pemimpin sebelum ini yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab. Sejauh mana pemimpin sebelum ini berjaya meraih reda Allah SWT atau mereka gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin sepertimana yang dikehendaki oleh-Nya. Tepuk dada tanya iman.

Sekiranya pemimpin memiliki sifat-sifat terpuji (mahmudah), sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pastinya akan lahir masyarakat yang harmoni. Dalam konteks Malaysia, akhlak pemimpin boleh sahaja diperhatikan ketika mereka berada dalam Dewan Rakyat. Pemimpin yang gagal mempamerkan akhlak yang mulia tidak akan mendapat bimbingan daripada Allah SWT. 

Malaysia perlu terdiri daripada kalangan pemimpin dan rakyat yang saling sayang-menyayangi, hormat-menghormati serta sentiasa diingati dalam doa. Inilah antara perkara yang boleh mendatangkan kesejahteraan, kemakmuran serta keberkatan negara kurniaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 7:55 AM