RAHMAT Allah SWT akan diperoleh hasil kebaikan dibuatnya ketika di dunia dan berpunca daripada sifat jujur dalam diri.
RAHMAT Allah SWT akan diperoleh hasil kebaikan dibuatnya ketika di dunia dan berpunca daripada sifat jujur dalam diri.
Mohd Shahrizal Nasir

Tidak ada manusia waras ingin hidup sengsara dan menderita atas dunia ini. Semua inginkan kehidupan bahagia. Hubungan baik sesama insan kunci kebahagian termasuk melibatkan keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan masyarakat secara amnya.

Hakikatnya kehidupan kita tidak boleh berjalan lancar tanpa hubungan baik sesama insan. Bercakap soal kehidupan harmoni sesama insan, maka antara tip penting dalam menjaga hubungan ialah sentiasa menyemai sikap jujur dalam diri.

Tidak ada orang suka dikhianati dalam hubungan sesama manusia. Ibu bapa menginginkan anak yang jujur. Majikan juga memilih mempunyai pekerja jujur. Begitu juga dalam hubungan persahabatan, kejujuran perkara paling penting yang dapat menjaga hubungan baik. Tanpa kejujuran maka timbul pelbagai konflik dalam kehidupan seperti perselisihan faham, iri hati, prasangka buruk, rasa dikhianati, hasad dengki, menzalimi orang lain dan sebagainya.

Setiap insan perlu bersikap jujur dalam semua tindakan diambil. Usah takut bersikap jujur meskipun kita tahu mungkin ada pihak tidak suka dengan kejujuran. Sikap jujur antara perkara menandakan kepribadian luhur seorang insan.

Lihatlah peribadi ditunjukkan Rasulullah SAW. Ketika baginda mengurus perniagaan Saidatina Khadijah, baginda sentiasa bersikap jujur dalam tindakannya sehingga baginda disenangi orang ramai. Baginda digelar 'Al-amin' yang bermaksud insan dipercayai sebelum baginda dilantik menjadi rasul lagi. Ternyata kepercayaan diberi segenap lapisan masyarakat terhadap Rasulullah SAW berpunca dari sikap jujur dalam diri baginda.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita tentang jujur dalam sebuah hadis baginda yang panjang, mafhumnya: "Kalian wajib berlaku jujur. Sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebajikan (ketakwaan) dan sesungguhnya ketakwaan akan membawa kepada syurga. Jika seseorang sentiasa berlaku jujur dan selalu berusaha untuk jujur maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang siddiq (yang sangat jujur)."

Baginda meneruskan sabdanya bermaksud: "Kalian harus menjauhi kedustaan. Sesungguhnya kedustaan itu membawa kepada perbuatan dosa dan sesungguhnya dosa membawa kepada neraka. Jika seseorang sentiasa berdusta dan selalu berusaha untuk berdusta, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang kazzab (suka berdusta)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada banyak intipati baik perlu dijadikan panduan termaktub dalam hadis Rasulullah SAW tersebut. Semuanya menjelaskan kebaikan bersikap jujur dan keburukan berdusta. Antara isi penting dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis tersebut ialah:

Pertama: Sifat jujur lawannya dusta. Sifat jujur antara sifat mahmudah (terpuji) manakala dusta termasuk dalam sifat mazmumah (keji). Sesungguhnya perbuatan dusta termasuk dalam perangai orang munafik.

Kedua: Rasulullah SAW menggesa umat Islam agar sentiasa bersikap jujur. Justeru, setiap umat Islam wajib bersikap jujur dalam semua tindakan. Hal ini bukan pilihan, tetapi satu kemestian. Rasulullah SAW melarang umat Islam berdusta atas apa juga perkara. Perkara ini penting dan mesti ditaati setiap umat Islam.

Ketiga: Kejujuran akan melorongkan manusia untuk melakukan lebih banyak lagi kebaikan. Dengan kata lain, jika seseorang bersikap jujur, maka mudah untuk dia melakukan kebaikan lain. Sebaliknya pendustaan melorongkan seseorang kepada keburukan yang banyak. Orang yang berdusta akan terjebak dalam keburukan lain kerana pastinya dia berusaha untuk menutup pendustaan dibuatnya. Maka tanpa ada pilihan, dia mungkin memburukkan orang lain, meninggikan diri sendiri, pecah amanah dan sebagainya. Semuanya dilakukan bagi menyembunyikan tipu helah pendustaan yang dilakukannya.

Keempat: Sifat jujur boleh menjadi sebab untuk seseorang Muslim masuk ke syurga. Syurga tempat bagi orang baik yang meraih rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Rahmat Allah SWT akan diperoleh hasil kebaikan dibuatnya ketika di dunia dan berpunca daripada sifat jujur dalam diri. Sebaliknya, orang yang tercebur dalam lembah pendustaan akan melayakkan dirinya menjadi penghuni neraka.

Kelima: Allah SWT merupakan Tuhan yang sentiasa memerhati dan mengetahui setiap perbuatan hamba-Nya. Allah SWT tidak pernah lalai dalam memberi hak sepatutnya kepada sekalian hamba-Nya. Maka orang yang sentiasa bersikap jujur akan dicatatkan sebagai orang yang sangat jujur. Manakala orang yang sentiasa berdusta akan dicatat sebagai orang yang suka berdusta. Inilah keadilan Allah SWT dalam menilai perilaku para hamba-Nya.

Semua orang inginkan kehidupan yang tenang dan tenteram. Justeru, untuk mencapai keinginan tersebut, bersikap jujur merupakan petua terbaik. Orang yang jujur akan disenangi oleh orang lain. Maka hati orang yang jujur akan sentiasa tenang tanpa cacian dan makian daripada orang lain.

Orang yang berdusta pula sentiasa berada dalam keadaan serba-salah, sentiasa mencari idea tipu helah dan tidak tenteram jiwanya kerana dibayangi kekhuatiran pendustaannya akan diketahui orang ramai. Orang dikenali sebagai seorang pendusta juga sentiasa bergelumang dengan cemuhan daripada orang lain serta tidak akan sesekali mendapat kepercayaan ramai.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Tinggalkanlah apa-apa yang meragukanmu dengan mengerjakan apa-apa yang tidak meragukanmu. Sesungguhnya kejujuran adalah ketenangan dan sesungguhnya kedustaan (akan membawa kepada) keraguan atau kebingungan." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Para pemimpin adalah golongan paling perlu memiliki sifat jujur dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinannya. Pemimpin yang suka berdusta dikira menzalimi orang lain, manakala pemimpin yang jujur termasuk dalam kalangan orang yang adil. Sesungguhnya pemimpin yang adil akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat nanti.

Akhirnya, marilah kita berusaha untuk menjadi orang yang jujur. Hidup ini memerlukan kita bersikap jujur setiap masa. Usah khuatir dipulaukan orang lain hanya kerana kita bersikap jujur. Jadikan jujur sebagai satu prinsip dalam kehidupan kerana Allah SWT menghendaki kita agar termasuk dalam kalangan orang yang jujur.

Renungilah firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan hendaklah kalian bersama orang yang jujur (benar)!" (Surah at-Taubah, ayat 119)

Penulis Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 6:00 AM