GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Rizal Azman Mohd Rifin

Islam sangat mengambil perhatian berhubung aspek perhubungan sosial. Hal itu kerana menerusi perhubungan yang mesra baik sesama muslim mahupun dengan masyarakat lain, pastinya akan melahirkan ekosistem sosial yang harmoni dan tenteram.

Agenda membawa negara dan masyarakat ke arah sejahtera, aman dan makmur tentu menemui jalan sukar jika sikap berpuak, sentiasa bertelagah dan suka menaratifkan yang negatif.

Masing-masing seakan-akan berlumba-lumba melondehkan apa sahaja untuk pendengaran dan tatapan visual umum. Tiada lagi erti istilah dosa dan pahala, kerana segala dilakukan tanpa segan-silu. Situasi sedemikian seperti kita akan hidup selamanya tanpa memikirkan segala diucapapa yang dituliskan suatu waktu nanti akan dihisab untuk pengadilan oleh Yang Maha Adil.

Mungkin kerana terlalu ghairah menarik perhatian umum, segala di lubuk hati disembur keluar tanpa disaring sama ada bahan ucapan itu mendatang pahala atau mengundang dosa. Keadaan semasa menunjukkan betapa ramai masyarakat seperti terlalu meminati cerita negatif dan hakikat itu memungkin si penyampai makin hilang pertimbangan iman kerana yang penting supaya ia menampakkan gaya pemidato fasih berbicara kata, mahir menghujah apa sahaja fakta, dan petah penuh gaya.

Ia jelas mempamerkan betapa suasana semasa tidak lagi harmoni. Kehidupan dalam masyarakat bagai dipecahkan kepada banyak bahagian. Sudah banyak antara titipan ajaran diperkenal Nabi kita, Muhammad SAW sudah tidak diendah, sebaliknya perkara bertentangan dengan kehendak Baginda yang sering berlaku dan dilakukan.

Sahabat karib Rasulullah SAW, Abu Hurairah ada memberitahu Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang masuk syurga. Baginda SAW menjawab, 'Takwa kepada Allah dan baik akhlaknya.' Lalu kemudiannya Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab, 'Mulut dan kemaluan.' (Hadis diriwayat at-Tirmizi, status hadis hasan manakala Ibnu Hibban menyatakan ini hadis sahih)

Hadis ini seharusnya memberi peringatan buat kita betapa bahayanya mulut dibiar tanpa kawalan. Ini amaran supaya kita sentiasa berwaspada dalam setiap tutur kata. Ucapan mahupun tulisan terkandung sesuatu yang berunsurkan fitnah, buruk sangka atau fakta palsu perlu dielak kerana ia jelas bertentangan sama sekali dengan seruan agama.

Demi kepentingan masyarakat agar tertegak gaya hidup yang harmoni sejahtera maka Baginda SAW meninggalkan kepada kita banyak panduan, sama ada dalam bentuk tunjuk-ajar kehidupannya, seruan dalam bentuk pesanannya.

Misalnya, Baginda SAW ada mengingatkan kita dengan bersabda, 'Hendaklah kamu bercakap benar (jujur) kerana sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang itu sentiasa bercakap benar dan berusaha untuk selalu jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah sifat dusta kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada keburukan dan keburukan itu membawa kepada neraka. Seseorang itu sentiasa berdusta dan berusaha untuk selalu berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.' (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sesungguhnya, Muslim yang paling baik sentiasa menjaga lidahnya dan tangannya dari mengganggu orang lain. Dua anggota tubuh badan manusia iaitu lidah dan tangan sering menjadi asbab kepada pelbagai salah-laku dan perlanggaran etika hidup sehingga mengganggu keharmonian masyarakat.

Justeru, hendaknya kita semua tegar menegakkan kehidupan tidak berlawanan dengan apa yang ditunjukkan Nabi SAW dalam kehidupan. Bawa bersama dalam diri iman dan takwa kerana ia mampu menjadi 'alat kawalan peribadi' terbaik untuk melayari alam duniawi ini.


Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shahr

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 6:01 AM