SIFAT amanah itu dijadikan prasyarat dalam menilai keimanan seseorang sekali gus menyelamatkan daripada tergolong orang munafik. FOTO AFP
SIFAT amanah itu dijadikan prasyarat dalam menilai keimanan seseorang sekali gus menyelamatkan daripada tergolong orang munafik. FOTO AFP
Muhammad Saufi Hassan

Pada hari yang penuh berkat ini, penulis ingin berkongsi sebuah bingkisan kisah benar dan boleh dijadikan anekdot berkaitan kehidupan masyarakat kita pada hari ini yang sebenarnya masih tidak luntur dengan sifat amanah, jujur selain memenuhi tanggungjawab.

Kisahnya terjadi sekitar dua tahun lalu ketika penulis membeli barangan basah di pasar dengan kedua tangan hampir penuh sambil mengeluarkan dompet serta menyerahkan wang kertas sebelum penjual itu memulangkan baki dan penulis berlalu pergi.

Selang beberapa langkah selepas itu, penjual berkenaan memanggil dengan panggilan biasa dalam masyarakat iaitu "bang, bang, tunggu sekejap, abang bagi duit banyak sangat ni, duit RM50 abang ada dua keping terlekat sekali."

Penulis tersenyum dan berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada penjual itu yang dalam perkiraan penulis baru berusia awal 20-an. Natijah daripada peristiwa itu, setiap kali membeli barangan dapur, pastinya penulis akan memilih kedai berkenaan tanpa gagal.

Itu hanya cebisan kecil kisah kejujuran, amanah dan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang penjual yang berintegriti di celah kisah masyarakat. Melihat kepada perspektif yang lebih luas, tiga sikap ini iaitu amanah, kejujuran dan bertanggungjawab adalah perkara yang mulia dilakukan, namun perlu berdepan dengan dugaan serta cabaran daripada diri sendiri.

"Apakah yang paling berat di dunia ini?" Jawapannya, adalah memegang amanah.

Itu antara enam pesanan Hujjatul Islam, Imam Ghazali tatkala bertanyakan kepada anak muridnya berkaitan perkara yang paling berat di dunia ini.

Jika ditelusuri semula pesanan Imam Ghazali RH berkenaan, pastinya kita menemui jawapannya berkaitan seberat manakah tanggungjawab memikul amanah itu.

Setiap amanah atau tanggungjawab berkenaan, ia datang dengan dua keadaan iaitu nikmatnya apabila darjat kita sebagai manusia diangkat, tetapi ia juga datang bersama-sama dengan cabarannya jika amanah itu tidak dipenuhi mengikut garis panduan Islam.

Umat Islam perlu mengambil ibrah daripada firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Bagaimana Nabi Muhammad SAW meletakkan satu contoh terbaik kepada umatnya dalam memenuhi amanah serta tanggungjawab dan sentiasa bersikap jujur.

Rasulullah SAW juga sangat terkenal dengan sifat amanah sehingga mendapat jolokan nama Al-Amin dalam kalangan masyarakat Arab Quraisy ketika itu.

Jika dilihat dalam erti kata lain bahawa sifat amanah itu dijadikan prasyarat dalam menilai keimanan seseorang sekali gus menyelamatkan daripada tergolong orang munafik.

Rasulullah SAW bersabda: "Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila berkata-kata, dia berdusta; jika berjanji, dia mungkir dan jika diberikan amanah, dia mengkhianati." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT melaknat orang yang mengkhianati amanah sehingga azab seksaan diberikan kepada golongan ini adalah tingkatan paling rendah dalam neraka.

Penulis ingin membawa kepada satu perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan seharian kita iaitu sebagai pengguna dan peniaga sehinggalah kepada satu darjat yang tinggi, sifat amanah, berlaku jujur dan memenuhi tanggungjawab itu memberi natijah yang besar.

Cebisan kisah yang dikongsi pada awal tadi hanyalah sedikit cerminan masyarakat pada hari ini masih wujud lagi sifat kejujuran serta amanah, namun mungkin ia sedikit meluntur akibat pelbagai faktor.

Alangkah indahnya jika semua daripada kita termasuk penulis mencontohi sikap serta sifat seorang pemimpin ulung dalam sejarah Islam yang turut dikenali sebagai Umar Yang Kedua iaitu Umar Ibn Abdul Aziz.

Umar Ibn Abdul Aziz menampilkan ciri kejujuran dalam melaksanakan tugas, amanah dalam kelakuan dan sentiasa memenuhi tanggungjawab yang diberikan.

Antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah. Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan.

Rasulullah SAW menegaskan: "Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya." (Hadis Riwayat Ahmad dan Dailami)

Dalam hadis lain, Baginda SAW bersabda: "Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap orang bawahan dipimpinnya. Seorang lelaki ialah pelindung ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang wanita di rumah suaminya ialah pelindung dan penjaga yang bertanggungjawab terhadap jagaannya. Begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, penulis ingin membawa sedikit bait ayat berbunyi 'biarlah sedikit dengan apa yang ada, jangan mewah dengan barang yang dinista.'

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 7:00 AM