MEREKA yang mentaati perintah Allah pastinya turut mencintai dan dicintai Rasullullah SAW.
MEREKA yang mentaati perintah Allah pastinya turut mencintai dan dicintai Rasullullah SAW.
Addin

Kita masih lagi berada dalam bulan Rabi' al-Awwal iaitu bulan yang sinonim dengan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Sepertimana manusia lain, Rasulullah SAW dilahirkan dengan sifat yang sempurna namun tanpa kehadiran ayahanda yang meyambut kelahiran baginda. Rasulullah SAW lahir dalam keadaan yatim, namun pastinya semua takdir itu ditentukan dengan hikmah daripada Allah SWT.

Kelahiran Rasulullah ke dunia mempunyai misi yang jelas. Baginda lahir di tengah-tengah masyarakat Arab yang tidak beriman kepada Allah SWT.

Tugas baginda amat besar meskipun perjalanan hidup baginda penuh dengan dugaan lebih-lebih lagi tatkala ayahanda dan bonda baginda meninggalkan kehidupan dunia tanpa berkesempatan membesarkannya.

Allah SWT menjelaskan perihal perutusan Rasulullah menerusi firmannya yang bermaksud: "Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasulullah (Muhammad) dengan membawa kebenaran daripada Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baik bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa', ayat 170)

Hari ini kita tidak berkesempatan menemui Rasulullah SAW. Namun dengan keyakinan dan keimanan yang kukuh, kita mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Baginda SAW.

Setiap sunah baginda sama ada dari segi pengucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat baginda merupakan sumber ilmu utama dalam Islam selain al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda yang dinukilkan dalam kitab al-Muwatta' oleh Imam Malik bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku.

"Justeru, tiada lagi keraguan yang timbul berkenaan segala tindakan Rasulullah SAW dalam apa juga isu atau permasalahan.

Semua yang ditunjukkan dalam perjalanan hidup Baginda merupakan sunah yang perlu dicontohi. Tiada ikon yang lebih utama untuk kita contohi selain daripada Rasulullah SAW. Baginda bukan malaikat atau makhluk asing, baginda adalah manusia seperti kita semua.

Oleh itu, tiada sebarang kejanggalan dalam mengikut setiap perkara yang telah ditunjukkan oleh Baginda.

Ketahuilah bahawa sekiranya kita ingin menjadi hamba Allah yang dikasihi oleh-Nya, maka kita perlu mengikuti setiap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu (umat Muhammad) mengasihi Allah maka ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali 'Imran, ayat 31)

Bagi mencontohi keperibadian Rasulullah SAW serta menambah kecintaan kita kepada Baginda, beberapa perkara perlu diusahakan secara serius dan istiqamah. Pertama ialah mempelajari hadis-hadis yang sahih daripada Baginda serta mempraktikkan kandungannya dalam kehidupan seharian. Setiap perkara berkaitan dengan Islam pasti ada huraiannya dalam hadis Rasulullah SAW. Malah hadis Baginda banyak menjelaskan maksud wahyu Allah SWT.

Sebagai contoh, huraian secara terperinci tentang pelaksanaan ibadah solat banyak dijelaskan oleh Baginda SAW melalui hadis-hadis yang sahih. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Solatlah kalian sepertimana kalian melihat aku solat." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua ialah menghayati sirah atau perjalanan hidup Baginda yang mengandungi pelbagai hikmah dan pengajaran.

Meskipun Rasulullah SAW merupakan insan istimewa di sisi Allah, namun baginda tetap menjalani kehidupan normal seperti manusia lain.

Ada kalanya Baginda gembira dan ada kalanya baginda berdukacita. Namun dengan petunjuk daripada Allah SWT dan usaha Baginda yang cekal, semua perkara dapat ditangani dengan baik sehingga Islam berada pada kedudukan yang tinggi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunahku dan sunah Khulafa' ar-Rashidin yang diberi petunjuk, gigitlah ia dengan gigi geraham (berpegang kepada sunah dengan sekuat hati)." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Ketiga pula ialah mengingati Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW.

Sebenarnya, bagi yang menunaikan solat fardu lima waktu, banyak kali kita berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana ia termasuk dalam bacaan tahiyyat awal dan akhir. Namun, sebagai tanda cintakan Baginda SAW, kita perlu perbanyakkan selawat di luar ibadah solat. Rasulullah SAW menjelaskan ganjaran bagi Muslim yang berselawat ke atas Baginda sepertimana dalam hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah berselawat (memberi kebaikan) ke atasnya sepuluh kali." (Hadis riwayat Muslim)

Selain tiga perkara berkenaan, banyak lagi cara untuk kita menambah kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Sesungguhnya seluruh hidup Baginda dikorbankan untuk memastikan umatnya beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Tidak mampu untuk kita membalas setiap pengorbanan Baginda yang amat tinggi nilainya. Rasulullah SAW pernah menjelaskan betapa umat Baginda sangat beruntung termasuk mereka yang beriman kepada Baginda, mempercayai dakwah Baginda, mencintai Baginda, serta menyebarkan dakwah Baginda meskipun tidak berkesempatan bertemu dengan Baginda.

Kitalah umat akhir zaman yang dimaksudkan Baginda SAW kerana hakikatnya keimanan kita terhadap dakwah Baginda tanpa pernah menyaksikan tubuh Baginda di depan mata. Kita beriman kepada Rasulullah SAW kerana itulah yang diperintahkan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Beruntunglah orang yang melihatku dan beriman kepadaku. Kemudian beruntunglah, kemudian beruntunglah, kemudian beruntunglah bagi orang yang beriman kepadaku walhal mereka tidak melihatku." (Hadis riwayat Ahmad)

Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW terdapat contoh ikutan yang terbaik untuk kita memperoleh kejayaan duniawi dan ukhrawi. Usahlah kita berada dalam keadaan tercari-cari ikon selain daripada Rasulullah SAW, kerana bagindalah insan yang sewajibnya diikuti daripada segenap hal.

Kecintaan kepada Rasulullah SAW mestilah mengatasi kecintaan kita kepada manusia lain. Inilah yang dipesan oleh Baginda SAW menerusi sabdanya bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah) lebih dicintai daripada orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hanya dengan mengingati Allah SWT, kita akan turut mengingati Rasulullah SAW, begitu juga sebaliknya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:01 AM