MARILAH kita  mengikut sunah Baginda Rasulullah SAW dengan memperbanyak puasa sunat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, bertaubat, beristighfar dan bersedekah sebagai persediaan menyambut Ramadan.
MARILAH kita mengikut sunah Baginda Rasulullah SAW dengan memperbanyak puasa sunat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, bertaubat, beristighfar dan bersedekah sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

ALHAMDULILLAH kita telah masuk ke bulan yang ke-8 dalam Islam iaitu bulan Syaaban.  Sebulan sebelum menempuhi bulan yang dinanti, penghulu segala bulan iaitu Ramadan.  Bulan Syaaban adalah salah satu bulan  latihan atau 'pemanas badan'  yang mempunyai keistimewaan  yang tersendiri. Ini kerana dalam bulan ini terdapat satu malam yang dikenali  dalam bahasa Arab  sebagai  Nisfu Syaaban  atau pertengahan bulan Syaaban.

Menurut Imam As-Syafie, malam  Nisfu Syaaban merupakan salah satu malam yang penuh berkat, rahmat dan doa dimakbulkan. Beliau berkata  dalam kitabnya Al-Um:  "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Hari Raya Aidiladha, malam Hari Raya Fitrah, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban. Oleh  yang demikian,  hidupkanlah  malam tersebut dengan berzikir, membaca al-Quran dan amalan  lain  untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan Allah  SWT." 

Setiap amalan yang dilakukan manusia sentiasa berada dalam pengetahuan Allah SWT tidak kira pada malam apa sekalipun. Apatah lagi malam yang istimewa seperti ini.  Firman Allah  SWT  dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: "Oleh itu ingatlah kepada-Ku dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur akan nikmat-Ku." 

Selain itu, bulan Syaaban adalah antara bulan yang disukai oleh Rasulullah  SAW.  Baginda  SAW  memperbanyak puasa sunat berbanding bulan-bulan yang lain. Daripada Aisyah  RA telah berkata: "Aku tidak pernah melihat  Rasulullah  SAW berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban." (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Sebagai umat Islam,  kita mesti mengikut Sunnah  Baginda Rasulullah  SAW  dengan memperbanyak puasa sunat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, bertaubat, beristigfar  dan bersedekah.  Ia juga  penting sebagai  persediaan spiritual untuk  menyambut bulan Ramadan  selepas itu.  Allah berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat 30 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, sesungguhnya kami tidak mensia-siakan pahala sesiapa yang memperbaiki amalannya." Amalan yang baik sudah pasti balasannya juga baik dan sebaik-baik balasan adalah syurga. Ia disediakan untuk orang yang beriman dan bertaqwa.

Selain itu, kita hendaklah  memperkukuhkan  ukhuwah  sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana berkaitan  dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Lenyapkanlah  permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa sesama manusia selagi mereka  tidak  saling bermaafan.  Buangkanlah  perasaan dendam dan dengki sesama Muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya. 

Di samping itu,  kita perlu beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan.  Istiqamah bererti melakukan sesuatu ibadah dengan tatacara yang betul mengikut panduan al-Quran dan Sunnah.  Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. 

Selain itu, elemen 'istimrariah' atau  sentiasa melakukan amal ibadah tersebut  setiap  hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.  Kata bidalan Arab: "Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang terputus-putus."

Akhir sekali, kita hendaklah sentiasa  memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa kecil  sama ada  melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Allah SWT berfirman di dalam surah Hud ayat 3 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar." 

Melihat  kelebihan  yang terdapat  pada  bulan Syaaban,  selok-eloknya  kita  mengambil kesempatan dan peluang keemasan  ini dengan  semaksimum  mungkin. Jangan kerana sibuk dengan urusan duniawi seperti  tugasan di  pejabat, sekolah, keluarga, anak-anak  dan sebagainya  menyebabkan  kita terleka dan seterusnya  terlepas  merebut keistimewaannya  begitu sahaja. 

Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sunat pada bulan Syaaban tentu mereka berasa mudah dan ringan untuk mengerjakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun begitu, perlu dipastikan sesiapa yang masih mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diselesaikan, pastikan ia dilunaskan sebelum tibanya bulan yang barakah tersebut.

Sementara kita masih sihat dan bertenaga maka  lakukanlah muhasabah diri, sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dan membuat penilaian prestasi amalan setiap hari.  Adakah  ia selari bertepatan dan  selari dengan  kehendak  al-Quran dan Sunnah. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 122 yang bermaksud: "Dan adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dia semula dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi untuk ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar daripadanya?  Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang kafir itu akan kebaikan  apa yang telah  dilakukan  mereka."

Marilah kita merebut peluang keemasan ini dengan melakukan sebanyak mungkin ibadah kepada Allah SWT sama ada ibadah yang umum ataupun khusus. Ini semua penting kerana saat ini kita berpeluang untuk mencari keredaan Allah SWT dan menebus segala kesalahan dan kekhilafan yang silam. Yakinlah bahawa manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Akan tetapi perlu kita berazam menghindarinya dan tidak mengulanginya.  Momentum perlu dipertingkat, ibadah diperhebat, iman diperkuat, supaya hidup kita semua terus membawa berkat.

Penulis ialah Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:35 AM